EPL 2019/20: Manchester United ‘Berpeluh’ Sebelum Diselamatkan Gol Penyamaan Greenwood

Manchester United bernasib baik selepas pemain gantian, Mason Greenwood menjaringkan gol penyamaan pada lewat permainan untuk mencatat keputusan seri 1-1 menentang Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford.

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer mengekalkan skuad yang sama ketika mereka menumpaskan Manchester City pada minggu lepas. Paul Pogba masih belum cergas sepenuhnya untuk diturunkan pada perlawanan ini.

Pengurus sementara Everton, Duncan Ferguson pula membuat perubahan dengan Djibril Sidibe, Theo Walcott, Morgan Schneiderlin, Gylfi Sigurdsson semuanya diketepikan kerana kecederaan dan digantian dengan Seamus Coleman, Yerry Mina, Tom Davies dan Bernard.

Solskjaer menyambut ulangtahun beliau mula mengambil alih peranan utama di Old Trafford selepas menjadi pengurus interim menggantikan Jose Mourinho yang dipecat pada tahun lepas.

United mendapat beberapa peluang awal dengan peluang terbaik daripada percubaan Jesse Lingard. Sepakan percuma Marcus Rashford yang mengelirukan turut diselamatkan penjaga gol, Jordan Pickford. Namun akhirnya Everton terlebih dahulu mendahului perlawanan.

Bermula dengan hantaran lintang dari Leighton Baines dari sebalah kanan, Dominic Calvert-Lewin melompat untuk membuat tandukan dan cuba dicabar David De Gea, namun tumbukan penjaga gol Sepanyol itu tersasar dan bola terus terjatuh ke arah kaki Victor Lindelof kemudian masuk ke dalam gol United.

Semakan pengadil yang dibuat menerusi VAR menunjukkan tiada sebarang kekasaran yang dibuat ke atas De Gea dan gol tersebut disahkan.

Pada babak kedua di minit ke-65, Solskjaer membuat perubahan dengan mengeluarkan Lingard dan memasukkan penyerang remaja, Mason Greenwood yang cemerlang dalam beberapa perlawanan sebelum ini untuk menambah impak di bahagian serangan.

Percaturan itu ternyata berbaloi selepas pemain berusia 18 tahun itu menjaringkan gol penyamaan 12 minit kemudian menerusi rembatan lerek di hadapan kotak penalti menunju sudut kanan gawang gol Everton.

Tamat perlawanan, kedudukan kekal 1-1 dan memberikan Duncon Ferguson sesuatu untuk dibanggakan selepas melihat peningkatan yang ketara ditunjukkan pemainnya selepas melalui ‘zaman gelap’ dalam beberapa perlawanan terakhir Marco Silva selaku pengurus. Menang ke atas Chelsea dan seri dengan Manchester United tentunya prestasi yang amat menakjubkan.

Keputusan itu menyaksikan Everton kekal di kedudukan ke-16 sementara The Red Devils pula turut tidak berganjak di tangga keenam liga.

United selepas ini akan menanti Colchester dalam saingan Piala Carabou peringkat suku akhir di tempat sendiri sebelum berkunjung ke Watford pada Ahad.

Leave a Reply