EPL 2019/20: Liverpool Terus Kebal di Anfield, Manchester City Kecewa Dengan VAR

Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool mencatat kemenangan 3-1 ke atas juara bertahan Manchester City hasil jaringan Fabinho, Mohamed Salah dan Sadio Mane sekaligus memastikan mereka terus kekal di puncak liga dengan perbezaan lapan mata.

Kemenangan ini juga melebarkan lagi rekod pertemuan kedua pasukan di Anfield menyaksikan Manchester City hanya pernah menang sekali sahaja di gelanggang keramat itu sejak tahun 1981.

Satu-satunya kemenangan City di Anfield dalam tempoh 38 tahun ialah pada Mei 2003 di mana mereka mencatat kemenangan 2-1 dalam saingan Piala FA hasil dua jaringan dari Nicolas Anelka.

Jurgen Klopp membuat empat perubahan daripada kesebelasan utama yang meraih kemenangan ke atas Genk tempoh hari dengan Andy Robertson kembali di posisi bek kiri, kapten pasukan, Jordan Henderson serta dua penyerang Roberto Firmino dan Sadio Mane juga kembali memulakan perlawanan.

City pula bermain tanpa penjaga gol utama Ederson dan digantikan dengan Claudio Bravo yang beraksi perlawanan EPL pertamanya dalam sejak 18 bulan lepas. David Silva, Oleksandr Zinchenko, Leroy Sane dan Aymeric Laporte juga masih dalam senarai kecederaan.

John Stones bergandingan dengan Fernandinho di bahagaian pertahanan tengah sambil diapit Kyle Waker dan Angelino. Rodri yang baru sahaja cergas ditugaskan mengawal jentera tengah pasukan. Sergio Aguero dan Raheem Sterling kedua-duanya diturunkan dalam perlawanan ini.

Hanya enam minit selepas perlawanan dimulakan, Fabinho menceriakan penyokong tuan rumah setelah rembatannya dari jarak jauh dari melepasi jangkauan Bravo untuk memberikan gol pendahuluan Liverpool.

City ternyata kecewa kerana hanya beberapa saat sebelum itu, mereka mendesak pengadil untuk memberikan sepakan penalti selepas mendakwa bola terkena tangan Trent Alexander-Arnold. Setelah membuat semakan VAR, gol tetap diberikan kepada Liverpool.

Minit ke-13, Mohamed Salleh menjadikan kedudukan 2-0 hasil gerakan berpasukan yang dimulakan Alexander-Arnold yang membuat hantaran lintang kepada Robertson yang kemudiannya menyerahkan bola kepada Salah untuk membuat penyudah.

Pengadil meminta pendapat dari pengadil VAR kerana pemain Manchester City mendakwa Salah berada di kedudukan ofsaid, namun gol tersebut disahkan oleh pengadil.

Tamat babak pertama, Liverpool selesa dengan kelebihan dua gol. Sementara pembantu jurulatih Manchester City, Mikel Arteta dilihat tidak berpuas hati dan bercakap kepada pegawai perlawanan keempat mengenai insiden bola terkena tangan Alexander Arnold.

Drama VAR berkenaan ternyata merentap semangat pemain City dan merencatkan corak permainan mereka di atas padang.

Bermula separuh masa kedua, City dilihat terlebih dahulu mengatur serangan, namun mereka dikejutkan dengan gol ketiga Liverpool yang dijaringkan menerusi tandukan Sadio Mane yang menerima hantaran lintang cantik oleh Jordan Henderson.

City tidak berputus asa mencari gol pertama mereka. Raheem Sterling yang melepasi tiga pemain membuat percubaan namun dihadang oleh Dejan Lovren. Beberapa sepakan sudut yang diambil De Bruyne juga gagal dimanfaatkan sebaiknya.

City turut cuba untuk mendapatkan sepakan penalti selepas Sterling mendakwa ditolak dari belakang oleh Mane, namun semakan VAR menafikannya.

Minit ke-78, Bernardo Silva menghidupkan sisa perjuangan City dengan gol pertama pasukannya. Angelino yang membuat hantaran rendah berjaya disudahkan Silva menewaskan Alisson.

Lima minit selepas itu, sekali lagi Manchester City mahu sepakan penalti diberikan kepada mereka selepas mendakwa bola terkena tangan Alexander-Arnoled namun dinafikan oleh pengadil.

Pep Guardiola kelihatan berang di tepi padang dan merasakan pasukannya berhak mendapat dua sepakan penalti dalam perlawanan ini.

The Citizen terus mengasak sehingga ke penghujung perlawanan dengan melancarkan serangan demi serangan namun dinafikan dengan kekebalan barisan pertahanan Liverpool.

Tamat perlawanan, Liverpool kini selesa di puncak liga dengan sembilan mata mengatasi Manchester City dan lapan mata mengatasi Leicester City dan Chelsea. Misi pemburuan trofi EPL pertama dilihat semakin mudah buat The Reds. City pula tergelincir ke tangga keempat dengan 25 mata.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN