Dua jaringan pada lewat permainan menjelmakan pengakhiran yang cukup bermakna buat Chelsea setelah berjaya menumpaskan seteru tetangga, Arsenal 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20 di Stadium Emirates, malam tadi.
Kemenangan ke-11 itu nyata menjadi penawar kedukaan buat Chelsea selepas skuad bimbingan Frank Lampard tumpas pada perlawanan ‘Boxing Day’ lalu.
Pierre-Emerick Aubameyang bagaimanapun terlebih dahulu menceriakan penyokong tuan rumah pada minit ke-13 selepas tandukan terbang daripada kapten berusia 30 tahun itu gagal diselamatkan Kepa Arrizabalaga.
Kelebihan satu gol itu kekal hingga minit ke-82 dan semuanya menjadi mimpi ngeri buat Arsenal berselang seminit kemudian apabila Jorginho kembali menyamakan kedudukan.
Jaringan tersebut hadir berpunca daripada kesilapan penjaga gol, Bernd Leno yang gagal mengeluarkan bola dalam kawasan penalti hasil sepakan percuma daripada Mason Mount.
Jorginho yang langsung tidak dikawal pertahanan dengan mudah menolak masuk bola ketika pintu gol Arsenal sudah pun terbuka luas.
Bagaikan mendapat tonik berguna, Chelsea terus memberikan tekanan ke kubu Arsenal dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-87.
Tammy Abraham muncul wira setelah percubaan leret hasil serangan balas pantas berjaya melepasi celah kaki Leno untuk menghadiahkan gol kemenangan buat The Blues.
Kemenangan derbi London itu menyaksikan Chelsea kekal di tangga keempat dengan 35 mata manakala Arsenal berada di kedudukan ke-12 selepas hanya mengumpul 24 mata daripada 20 perlawanan dilalui.
Kredit foto: Chelsea