Satu gol pada setiap separuh masa dari Alexander Lacazette dan Pierre Emerick-Aubameyang terbukti cukup berharga untuk Arsenal menewaskan Burnley 2-1 di Emirates Stadium. Perlawanan ini turut menyaksikan gol Reiss Nelson dibatalkan oleh VAR dan persembahan cemerlang Dani Ceballos di jentera tengah.
Dalam perlawanan pertama musim 2019/20 di Emirates Stadium ini, Unai Emery memberi penampilan penuh pertama kepada pertahanan terbarunya, David Luiz dan Ceballos. Dari minit pertama, jelas pertahanan Brazil ini memberi sebab positif mengapa beliau dipilih Emery berbanding Skhodran Mustafi.
Dengan Arsenal jelas mahu memulakan serangan dari belakang, pengalaman dan keupayaan teknikal Luiz membuat hantaran jauh dari zon defensive third membolehkan tuan rumah melepasi tekanan tinggi Burnley.
Arsenal mendapat gol pertama menerusi sepakan penjuru. Ceballos yang dipertanggungjawabkan untuk mengambil set-pieces – menggantikan Granit Xhaka yang cedera – menyepak ke arah near post.
Bola tersebut disambut oleh Lacazette. Bagaimanapun beliau membelakangi gol, dengan dua pemain Burnley mengawal ketat pergerakan beliau. Lacazette bagaimanapun berjaya melepasi kawalan Erik Pieters melalui satu pusingan badan sebelum melepaskan rembatan rendah yang masuk ke celah kangkang Nick Pope.
Pendahuluan Arsenal itu bagaimanapun tidak bertahan lama. Ashley Barnes menyamakan kedudukan buat Burnley 2 minit sebelum rehat. Hantaran Dwight McNeil, biarpun terbias, berjaya disudahkan oleh Barnes – hasil kedudukan David Luiz yang membuatkan penyerang Burnley itu onsaid.
Reiss Nelson berjaya mengembalikan pendahuluan Arsenal beberapa minit selepas itu selepas berjaya menyudahkan gerakan hantaran lincir yang menarik. Tetapi VAR membatalkan gol tersebut kerana ofsaid.
Penjaga gol Burnley, Nick Pope perlu dipuji kerana beberapa kali menafikan hasrat Arsenal untuk menjaringkan lebih banyak gol. Dengan Arsenal menikmati sehingga 94% penguasaan bola sejak mula separuh masa kedua, Pope bertindak cemerlang menafikan percubaan deras Aubameyang pada minit ke-60.
Pope bagaimanapun tidak berupaya menyelamatkan gol Aubameyang 3 minit kemudian. Berpunca daripada tekanan Ceballos yang memenangi bola daripada Johann Berg Gudmundsson, bola tersebut dikutip oleh penyerang Gabon itu sebelum meledak penyudah tajam dari luar kotak penalti.
Separuh masa kedua turut menyaksikan Emery memasukkan pemain termahal kelab, Nicolas Pepe. Penyerang sayap Ivory Coast itu jelas masih belum cergas sepenuhnya, tetapi tetap mampu membuatkan penyokong Arsenal ghairah melalui skil dan tekniknya.
Ceballos pula kemas di bahagian tengah dan bakal memberi Emery pening kepala. Persembahan keseluruhan pemain pinjaman dari Real Madrid ini sangat menggalakkan kecuali satu detik bertahan yang lemah ketika gol Barnes. Pasangan tengah beliau, Matteo Guendouzi juga cemerlang.
Dengan kemenangan ini, Arsenal telah menang 2 perlawanan pembukaan liga berturut-turut – satu pencapaian yang kali terakhir dilakukan mereka pada musim 2009/10.