Rekod tanpa kalah Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di bawah kendalian pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer akhirnya lebur selepas tumpas 0-2 di tangan Arsenal pada aksi yang berlangsung di Emirates Stadium, awal pagi tadi.
Bukan itu sahaja yang berjaya dileburkan, malah Arsenal juga telah berjaya mencalarkan rekod 100% kemenangan The Red Devils di gelanggang lawan sejak dibimbing pengendali kelahiran Norway itu.
Manchester United terlebih dahulu memberikan ancaman berbahaya ke kubu Arsenal setelah Romelu Lukaku melakukan percubaan hasil hantaran lintang daripada Luke Shaw.
Percubaan penyerang antarabangsa Belgium itu bagaimanapun sekadar singgah di palang gol Arsenal yang dikawal Bernd Leno.
Tiga minit kemudian, Granit Xhaka meledakkan satu rembatan kaki kiri dari luar kawasan penalti yang mengelirukan David De Gea untuk gol pendahuluan buat tuan rumah.
Menurut sumber OptaJoe, De Gea telah dibolosi sebanyak enam jaringan menerusi percubaan dari luar kawasan penaltinya pada saingan liga musim ini.
Pintu gol terus menjadi penghalang buat Manchester United pada perlawanan ini setelah rembatan rendah yang dilakukan Fred dari luar kawasan penalti pula terkena tiang gol.
Serangan yang cuba dilancarkan kedua-dua pasukan selepas itu tidak begitu membahayakan penjaga gol lawan masing-masing.
Kesilapan Fred yang didakwa melakukan kekasaran terhadap Alexandre Lacazette dalam kawasan penalti memaksa pengadil perlawanan, Jonathan Moss menghadiahkan sepakan penalti buat Arsenal.
Peluang tersebut digunakan sepenuhnya oleh Pierre-Emerick Aubameyang yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-69 untuk gol kedua buat The Gunners.
Kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan bagi meletakkan Arsenal di tangga keempat liga dengan mengumpul 60 mata selepas mengharungi 30 perlawanan.
Manchester United pula dua mata di belakang Arsenal untuk menghuni tangga kelima.
https://www.youtube.com/watch?v=oet-mhgpAfk