EPL 2019/20: Manchester City Mudah Jinakkan Arsenal

Manchester City

Manchester City tidak berdepan masalah besar untuk memulakan kembali saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20 dengan nota kemenangan setelah berjaya menundukkan Arsenal 3-0 pada aksi yang berlangsung di Etihad Stadium, sebentar tadi.

Tekanan begitu dirasai skuad pelawat sejak dari awal permainan selepas mereka kehilangan khidmat Granit Xhaka seawal minit kelapan dan pemain pertahanan, Pablo Mari pula terpaksa meninggalkan padang pada minit ke-24 susulan kecederaan yang dialami.

Manchester City yang mengawal permainan sebaik sahaja perlawanan dimulakan terlepas beberapa peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan berikutan kecemerlangan penjaga gol Arsenal, Bernd Leno.

Tiga percubaan menarik yang dimiliki dalam tempoh empat minit menerusi Raheem Sterling, David Silva dan Riyad Mahrez dalam kawasan penalti berjaya dinafikan dengan cukup baik oleh penjaga gol berusia 28 tahun itu.

Kecemerlangan Leno akhirnya terhenti pada masa kecederaan separuh masa pertama (minit ke-47) apabila hantaran menarik dari Kevin De Bruyne yang gagal dikawal dengan baik oleh David Luiz memberikan peluang buat Sterling untuk meledakkan rembatan padu bagi membuka tirai jaringan.

David Luiz terus menjadi topik hangat pada perlawanan ini apabila kekasaran yang dilakukannya terhadap Mahrez ketika aksi babak kedua baru berlangsung selama empat minit mengakibatkan beliau dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Anthony Taylor.

Kekasaran itu juga turut menghadiahkan sepakan penalti buat The Cityzens dan De Bruyne yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut tidak berdepan masalah untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-51.

Di sebalik kegembiraan mendahului lawan dengan dua gol, Pep Guardiola sedikit tersentak buat seketika selepas pertahanan muda, Eric Garcia terpaksa dikejarkan ke hospital selepas beliau bertembung dengan Ederson Moraes dalam usaha kedua-duanya untuk menyelamatkan kubu Manchester City.

Aksi bersambung menyaksikan Phil Foden melebarkan kedudukan pada minit ke-91 selepas dengan tenang beliau membuat rembatan susulan yang menerjah gawang ketika percubaan awal dari Sergio Aguero terkena tiang gol.

Bukan sahaja terpaksa menerima kekalahan pertama pada tahun 2020 dalam saingan EPL, Arsenal turut kecewa selepas tidak menghasilkan sebarang percubaan tepat pada perlawanan ini.

Kemenangan yang diraih itu bermakna The Cityzens telah mengurangkan sedikit jurang dengan pendahulu liga, Liverpool kepada 22 mata selepas berjaya mengumpul 60 mata selepas mengharungi 29 perlawanan.

Kredit featured image: Manchester City

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN