Cristiano Ronaldo memberikan hadiah paling berharga buat penyokong Manchester United yang menyambut kepulangannya dengan meledak dua gol ketika menewaskan Newcastle United 4-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).
Sebelum sepak mula lagi, suasana di Old Trafford ternyata hangat dengan sambutan penyokong yang begitu ghairah dapat melihat Ronaldo kembali menyarung jersi United di atas padang.
Pengurus legenda, Sir Alex Ferguson turut hadir bagi menyaksikan anak didiknya itu beraksi buat kali pertama selepas 12 tahun selain pengerusi bersama United, Avram Glazer.
10 minit pertama Ronaldo beroleh dua peluang untuk meletakkan United di depan, tetapi kedua-dua percubaannya gagal menepati sasaran.
Sepanjang separuh masa pertama, permainan skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu nampak tersusun dan lebih banyak menguasai bola, hanya penyudah sahaja yang memisahkan mereka dari mendapatkan jaringan pertama perlawanan.
Namun Newcastle juga sempat melancarkan beberapa serangan balas terutamanya menerusi kepantasan Allan Saint-Maximin yang berjaya menggugat pertahanan pasukan tuan rumah.
Saat yang ditunggu-tunggu akhirnya menjelma pada penghujung babak pertama apabila Ronaldo menyumbat gol pertama perlawanan menerusi satu tolakan mudah dari bola muntah setelah penjaga gol pelawat Freddie Woodman gagal menangkap kemas percubaan Mason Greenwood dari luar kotak penalti.
Cristiano Ronaldo terus memburu rekod baharu bersama Manchester United!#CristianoRonaldo #ManchesterUnited pic.twitter.com/7I6bvQW1j1
— KOPPA (@koppatv) September 11, 2021
Bagaimanapun 10 minit selepas bersambung separuh masa kedua, Javier Manquillo merosakkan parti United dengan gol penyamaan menerusi rembatan padu dari sebelah kanan hasil dari serangan balas pantas.
Bagaikan berada di dunia fantasi, Ronaldo sekali lagi menggegarkan Old Trafford pada minit ke-62 dengan jaringan keduanya menerusi penyudah yang cukup klinikal selepas menerima lorongan Luke Shaw dengan melepaskan rembatan yang tepat ke celah kangkang Woodman.
Kemudian 10 minit sebelum tamat perlawanan, giliran Bruno Fernandes pula meledakkan jaringan hasil dari rembatan kencang dari luar kotak penalti yang tepat ke penjuru kanan gawang.
Jaringan itu seolah-olah sebagai satu peringatan kepada penyokong United agar tidak melupakan dirinya yang merupakan watak utama pasukan kebelakangan ini sebelum kehadiran Ronaldo.
Jesse Lingard melengkapkan malam gemilang United dengan gol keempat pada masa kecederaan selepas gerakan berpasukan yang cukup menakjubkan menjadikan kedudukan 4-1 yang kekal hingga pengadil meniup wisel penamat.