Perak musim ini benar-benar dilanda dengan pelbagai kemelut yang datang dari segenap arah dan terbaharu kelab ini dipotong tiga mata serta merta pula daripada badan bebas, First Instance Body (FIB) atas kegagalan mereka membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai utama pasukan serta reserve team sehingga November 2021 berdasarkan Akuan Berkanun (SD) yang dihantarkan oleh Perak FC bertarikh (15 Disember 2021).
Berdasarkan mesyuarat FIB Pelesenan Kelab MFL yang telah dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, keputusan itu dibuat setelah persidangan video bersama ahli-ahli jawatankuasa berkenaan kes tunggakan yang berlaku pada musim 2021.
Badan bebas, FIB hari ini mengumumkan bahawa Perak FC telah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata secara serta-merta bagi saingan Liga Premier 2022 di atas kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.#LigaPremier2022
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 1, 2022
Sheikh Mohd Nasir turut menjelaskan mengenai Perak telah gagal melunaskan baki tunggakan gaji pada tarikh pertama yang sebelum itu sudah ditetapkan FIB pada 31 Mac 2022.
“Pihak pengurusan Perak FC sebelum ini telah bersetuju untuk menjelaskan baki tunggakan gaji tahun lalu melibatkan pemain dan pegawai pasukan utama dan reserve team berjumlah RM 934,729.42 pada 31 Mac 2022 namun mereka didapati gagal untuk berbuat demikian.
“Justeru itu, Jawatankuasa FIB yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk menjatuhkan hukuman pemotongan tiga mata kepada Perak FC.
“Jika Perak FC masih gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji berkenaan pada tarikh akhir kedua (14 April 2022) maka pada 15 April 2022, mereka boleh dikenakan hukuman pemotongan enam lagi mata dalam saingan Liga Premier dan pengurangan dana” katanya menerusi MFL.
Menurut beliau lagi, kes ini bakal dipanjangkan ke FIB bagi tindakan lebih lanjut sekiranya Perak gagal menjelaskan bayaran pada 21 April ini atau sebelum itu.
Sebelum itu, MFL telah pun menghantar surat pekeliling buat pasukan tersebut pada 15 November tahun lalu untuk menyerahkan akuan bersumpah (SD) semua bayaran berkenaan bagi kes tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan pertama serta reserve team tahun 2021.
Tidak lama kemudian, Perak telah pun memuat naik SD berkenaan ke dalam sistem AFC CLAS pada 15 Disember 2021.
11 Januari tahun ini, satu e-mel telah dihantar oleh Perak mengenai jumlah tunggakan gaji sehingga November 2021 yang melibatkan pemain dan pegawai, LHDN, KWSP, dan PERKESO.
Pada 9 Mac 2022, surat telah pun dihantar oleh MFL kepada Perak yang mengarahkan agar bayaran tunggakan pemain dan pegawai bagi pasukan utama dan reserve team dijelaskan sebelum 31 Mac 2022 bagi mengelak daripada dikenakan tindakan.
Tak lama selepas itu, pada 25 Mac 2022 peringatan pertama telah pun dikeluarkan MFL kepada Perak bersama peringatan kedua empat hari kemudian mengenai isu tersebut.
Perak telah menghantar surat bagi permohonan lanjutan tarikh akhir pada 30 Mac, namun ianya ditolak sehari kemudian oleh FIB menerusi surat balas.
Pihak sekretariat MFL telah pun membuat semakan mengenai kemelut gaji yang melanda Perak pada tahun 2022 pada 9 Mac 2022 serta telah menuntut bukti bayaran dan laporan kewangan Perak FC bagi musim 2022 susulan masalah kelab itu yang gagal menyelesaikan dua bulan tunggakan gaji pegawai dan pemain musim ini. MFL juga berhubung rapat dengan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dalam tindakan ini.
Namun, sebaliknya berlaku apabila Perak gagal untuk mengemukakan dokumen-dokumen penting mengenai kedudukan kewangan mereka serta laporan pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai musim ini pada 16 Mac 2022.
Untuk itu, satu e-mel sekali lagi telah dihantar oleh Perak kepada MFL mengenai dua laporan iaitu perjalanan aliran tunai 2022 dan tunggakan gaji untuk Januari sehingga Februari 2022 pada 15 Mac 2022.
Tidak menunggu lama, MFL juga telah memberi maklum balas dua hari selepas itu dengan menyatakan segala yang diberikan oleh Perak tidak cukup untuk membuktikan pasukan tersebut mampu bertahan sehingga ke penghujung musim 2022.
MFL telah menerima surat daripada Perak FC berhubung pelabur baharu yang berminat untuk mengambil alih melalui surat tawaran (LOI) pada 19 Mac 2022 dan Perak FC menghantar pemakluman mengenai tawaran mengambil alih dan pemilikan Perak FC Sdn. Bhd pada 21 Mac 2022.
Bagaimanapun, Perak FC belum menghantar sebarang butiran rasmi atau bukti berkenaan kemampuan pelabur baharu (Proof of funds) yang bersedia untuk mengambil alih Perak FC pada atau sebelum 22 Mac 2022. Sekiranya Perak FC masih gagal mengemukakan dokumen rasmi sehingga 22 April 2022, kes ini akan dibawa kepada FIB untuk pertimbangan lanjut sebelum Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan mengenai status Perak FC.
Ikuti kami di TikTok!
Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.
Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!