Pemain yang baru menyertai Alaves, Enzo Zidane berharap dia mampu untuk mencipta nama buat dirinya setelah melengkapkan perpindahan ke kelab tersebut dari Real Madrid.
Ayah kepada Enzo, Zinedine Zidane adalah pengendali skuad utama Los Blancos.
Enzo kini berusia 22 tahun menyertai akademi belia Real Madrid pada ketika ayahnya masih lagi bergelar pemain di Santiago Bernabeu.
Beliau kemudiannya beraksi untuk kelab kendalian ayahnya, Castilla B dan hanya tampil sekali bersama pasukan utama Real Madrid dalam kemenangan 6-1 ke atas pasukan Divisyen 3, Cultural Leonesa dalam saingan Copa del Rey November lalu.
Bekas pemain kebangsaan Perancis B-19 ini ditemani oleh ibunya, Veronique Zidane ketika diperkenalkan sebagai pemain baharu Alaves Isnin lalu.
Jelas Enzo mempunyai keyakinan dengan caranya yang tersendiri untuk menjadi seorang pemain bola sepak yang berjaya satu hari nanti.
Enzo dipetik sebagai berkata:
“Ayah saya adalah ayah saya. Saya adalah Enzo. Kami bermain di posisi yang sama. Namun begitu, saya memiliki gaya permainan saya yang tersendiri.
“Saya hanya memikirkan untuk beraksi, bekerja keras dan memperbaiki prestasi diri setiap hari. Saya adalah seorang pemain yang mempunyai kualiti teknikal dan visi dalam permainan, semestinya untuk pasukan.”
“Saya mahu membuatkan pasukan saya bermain dengan baik. Saya akan memberi sehabis baik mungkin agar Alaves melalui satu lagi musim yang hebat pada musim hadapan,” ujar Enzo kepada media.
Enzo turut berkata bahawa dia tidak teragak-agak untuk meninggalkan Real Madrid untuk menerima cabaran di Alaves.
Alaves adalah pasukan yang baru dinaikkan ke La Liga pada musim lalu, dan layak ke perlawanan akhir Copa del Rey sebelum tewas 3-1 kepada Barcelona.
“Alaves adalah sebuah kelab dengan projek khas yang saya suka sejak dari awal. Kelab ini serius untuk mencapainya dan saya yakin kelab ini punyai masa depan yang cerah untuk berjaya,” ujar Enzo.
“Pasukan ini telah melalui musim yang hebat, sehingga layak ke perlawanan akhir Copa del Rey. Mereka memilih menggunakan pemain-pemain muda.”
“Sejak dari mula, saya merasa gembira dengan semua yang ada di sini. Di antara pilihan yang saya ada, Alaves adalah yang terbaik untuk saya meneruskan karier. Saya tidak ada keraguan langsung,” jelas Enzo lagi.
Enzo mendapatkan nasihat daripada bekas rakan sepasukannya di Castilla B, Marcos Llorente yang beraksi cemerlang bersama Alaves setelah menyertai kelab itu secara pinjaman pada musim lalu.
Llorente dijangka akan dipanggil ke skuad utama Real Madrid untuk saingan musim 2017-2018.
“Marcos adalah sahabat baik saya, dan dia mengatakan segalanya yang baik mengenai Alaves. Dia bercerita mengenai musim hebat yang dilaluinya, juga penyokong mereka yang menakjubkan.
“Dia menasihatkan saya supaya tidak ragu-ragu, dan pendapat Llorente adalah penting buat saya,” ujar Enzo lagi mengenai sahabatnya itu.
Butiran perpindahan Enzo dari Real Madrid ke kelab yang berpengkalan di Basque itu tidak didedahkan kepada umum. Bagaimanapun, pihak media difahamkan ia turut mempunyai klausa pembelian balik dari Real Madrid.
Enzo enggan mengulas lanjut akan perkara berkenaan kontrak dan menegaskan fokus beliau kini adalah untuk melakukan perkara hebat bersama Alaves.
Buat Enzo Zidane, kami mengucapkan selamat maju bersama Deportivo Alaves!
Sumber:
1. Par AFP, Eurosport (2017): Enzo Zidane, transféré à Alavés, se sent “différent” de son père;
http://www.eurosport.fr/football/liga/2016-2017/enzo-zidane-transfere-a-alaves-se-sent-different-de-son-pere_sto6242140/story.shtml
2. Javier Lekuona, as: Enzo Zidane joins Alavés;
https://en.as.com/en/2017/06/29/football/1498760285_421592.html