Bagi Wayne Rooney, perlawanan pada awal pagi tadi menentang Amerika Syarikat (USA) ibarat satu pengakhiran- merupakan penampilan terakhir buat beliau di pentas antarabangsa.
Namun bagi pengurus England, Gareth Southgate, perlawanan tersebut adalah gambaran masa depan dan permulaan kepada generasi baru skuad The Three Lions untuk tempoh sedekad seterusnya.
Permulaan dan pengakhiran
Rooney tampil untuk kali ke-120 dalam perlawanan ini apabila dimasukkan oleh Southgate pada minit ke-33 perlawanan. Ia adalah simbolik dan juga penghargaan buat pemegang rekod jaringan England berusia 33 tahun itu.
Namun secara keseluruhan, pemain-pemain muda England yang mencuri tumpuan. Southgate memasukkan kesebelasan utama yang dianggap paling mentah dari segi pengalaman antarabangsa didalam tempoh 40 tahun.
“Kami mahu menggunakan perlawanan ini untuk memberi peluang kepada pemain muda,” ujar Southgate kepada BBC. “Kita telah melihat bayangan pasukan untuk masa hadapan, dan juga berkesempatan menyaksikan sentuhan Wayne Rooney buat kali terakhir.
“Beberapa serangan yang dilakukan oleh pemain terutama pada babak pertama perlawanan sangat mengujakan.”
Kesebelasan utama pemain England hanya memiliki 94 caps terkumpul sesama mereka- kali terakhir mereka berbuat demikian ialah pada Mei1980 dalam perlawanan menentang Australia.
England 3-0 USA
Skuad muda England sudah mendahului 2-0 pada ketika Rooney dimasukkan- Jesse Lingard membuka tirai jaringan melalui percubaan melencong, dan Trent Alexander-Arnold kemudiannya menemui penyudah melalui percubaan rendah untuk gol antarabangsa pertama beliau.
Wayne Rooney sendiri hanpir mencatatkan nama sebagai penjaring, namun percubaan beliau dinafikan oleh Brad Guzan di minit akhir perlawanan.
Manakala penyerang Bournemouth, Callum Wilson turut meraikan gol sulung antarabangsa dalam pernampilan pertama bersama England dengan jaringan pada minit ke-77 perlawanan.
Perlawanan seterusnya menyaksikan England akan menentang Croatia di pertandingan UEFA Nations League di gelanggang sama.
The Three Lions akan menduduki tangga teratas Kumpulan A4 dan akan mara ke separuh akhir jika menewaskan Croatia.