Selangor pada musim ini boleh dikatakan prestasi mereka sebagai serba tidak menjadi dari segi keputusan perlawanan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), termasuk aksi Piala FA semalam, apabila pasukan tersebut sah tersingkir di tangan Terengganu.
Pada perlawanan semalam, Selangor terlebih dahulu meledak jaringan perlawanan pada separuh masa pertama untuk memberi harapan buat segelintir penyokong pelawat yang hadir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
AET | TFC (4) 1-1 (2) SFC
Perjalanan #PialaFA2022 kita berakhir di sini. Terima kasih kepada semua penyokong yang hadir 👏 Tahniah, Terengganu FC. #MKLK #TFCSFC#TerusBerjuang#KitaAdalahSatu #JatuhBangunBersama #LanggamGendangPerang pic.twitter.com/Fqpv0NCuE9
— Selangor FC (@selangorfc) August 6, 2022
Namun kelebihan tersebut tidak bertahan lama apabila Terengganu melakar kembali kebangkitan pada separuh masa kedua menerusi Faisal Halim dan keputusan kekal terikat seri sehingga masa penuh perlawanan.
Selangor gagal untuk mencipta sebarang kebangkitan apabila mereka tewas pada penentuan penalti selepas dua sepakan daripada Alif Haiqal dan Yazan Al-Arab berjaya ditepis oleh penjaga gol Terengganu.
Pengendali Selangor iaitu Michael Feichtenbeiner mengakui skuad kendalian beliau jelas tidak bernasib baik melayakkan diri ke pusingan akhir Piala FA biarpun tampil dengan aksi terbaik sepanjang perlawanan berlangsung.
Pertahanan @FCTerengganu, Shahrul Nizam Ros Hasni menyempurnakan sepakan penalti penentuan sekaligus melayakkan TFC ke perlawanan akhir Piala FA!#PialaFA2022 pic.twitter.com/QDjzQJvPTK
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 6, 2022
Jelas pengendali tersebut, beliau tidak mahu menyalahkan para pemain kendaliannya walaupun mereka mempunyai beberapa peluang untuk meledak jaringan terutama pada masa tambahan permainan.
Namun, Feichtenbeiner akui dirinya sangat terkilan dengan keputusan tersebut dan memohon kemaafan atas tanggungjawab beliau yang gagal membawa Selangor ke pentas akhir Piala FA.
Pengendali dari Jerman itu juga sedar seharusnya peluang tersebut tidak boleh dilepaskannya untuk kembali membawa naik nama Selangor.
“Saya agak kecewa juga gagal ke final selepas mendapat sokongan padu daripada penyokong, tapi pemain sudah berikan yang terbaik, kita dapat nampak semuanya.
“Kami mendahului pada awal permainan, namun gagal mempertahankannya. Saya merasakan kami semakin hampir selepas masa kecederaan dengan beberapa peluang, namun kami gagal mengambilnya, penalti biasalah ia peluangnya 50/50.
“Tapi saya tidak mahu menyalahkan pemain berikutan kegagalan ini kerana mereka sudah menunjukkan semangat juang yang tinggi walaupun kami kelihatan agak sukar untuk mengekang TFC, keseluruhannya saya bangga dengan mereka,” katanya menerusi Harian Metro.
Untuk rekod saingan Liga Super pula, Selangor gagal memungut sebarang mata dalam aksi dua perlawanan terakhir mereka dan kini pasukan tersebut menghuni tangga ketujuh dalam carta liga.
Dalam masa sama, beliau juga berkata siri kebangkitan perlu dilakar pasukan tersebut pada aksi seterusnya menentang Terengganu sekali lagi dalam saingan Liga Super.
📸 AKSI PERLAWANAN SEPARUH AKHIR PIALA FA
TERENGGANU FC 1-1 (4-2 dalam penentuan sepakan penalti) SELANGOR FC#PialaFA2022 pic.twitter.com/xepfuvkIWS
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 6, 2022
Feichtenbeiner juga percaya para pemain kendaliannya mampu untuk kembali bangkit dan kemenangan akan terlakar pada perlawanan seterusnya.
“Perlawanan akan datang kami akan bertemu TFC, jadi kami akan fokus untuk kembali bangkit melakar kemenangan kerana bagi saya kami masih berada pada landasan betul ditambah ramai pemain muda berbakat dalam pasukan,” katanya.