Akhirnya, Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) mengesahkan bekas pemain tengah Selangor, Endrick dos Santos sah bakal menyarung jersi Harimau Kumbang untuk saingan musim 2020.
Diumumkan menerusi laman rasmi Facebook FA Penang, posting tersebut mendapat sambutan baik di kalangan para penyokong yang mengatakan Endrick dos Santos adalah pemain berkualiti.
Ada di kalangan para penyokong dilihat teruja dengan kehadiran pemain tengah Gergasi Merah ini, malah ada yang memuji pihak pengurusan atas persediaan pasukan yang lebih baik musim ini.
Namun, segelintir penyokong tetap skeptikal dan menasihatkan agar pengurusan pasukan membaiki isu tungakan gaji yang acap kali membelenggu pasukan beberapa tahun kebelakangan ini.
Selepas isu gaji pemain import, Reinaldo Lobo yang tertunggak sehingga mengakibatkan mereka ‘kehilangan’ tiket promosi musim lalu, FAP kembali diasak dengan isu gaji tertunggak daripada bekas pemain musim lalu yang dilepaskan pada 3 November lalu.
Kemasukkan Endrick dos Santos mampu melonjak semula jentera tengah mereka selepas pengurusan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak Julian Bottaro yang menyerlah pada musim lalu, bergandingan bersama Casagrande dan Sergio Aguero.
Tanpa Julian Bottaro dan Sergio Aguero, Harimau Kumbang kini dalam fasa mengukuhkan jentera serangan semula dengan memburu pemain import berkualiti disamping memberi peluang kepada pemain-pemain muda untuk menyerlah bakat mereka.
Antara penyerang muda yang dalam pembikinan adalah Amer Azahar dan Daniel Irfan yang menurut Manzoor Azwira ketika bercakap kepada Semuanya BOLA adalah bintang masa depan.
Kemasukkan Akmal Rizal Ahmad Rakhli sebagai pembantu jurulatih juga menandakan bahawa Pulau Mutiara sedang mengasah taring jentera serangan mereka untuk saingan Liga Premier musim depan.
Kemasukkan Endrick dos Santos menyelesaikan masalah di jentera tengah dan berkemungkinan ketika ini, Pulau Pinang sedang dalam proses memburu pertahanan import untuk slot terakhir mereka.
Pemain tengah berusia 24 tahun itu pernah bermain bersama Casagrande ketika menjejak kaki kali pertama di Malaysia pada musim 2018, beraksi di Liga Premier, bersama Felcra FC.
Selain itu, untuk mengukuhkan lagi jentera serangan, Pulau Pinang turut menyambut penyertaan bekas penyerang Harimau Muda B dan Melaka United, Nurshamil Abd Ghani ke dalam pasukan.
Kredit Foto: FA Penang