Pemain tengah Borussia Dortmund, Emre Can turut tidak ketinggalan mengikuti kejohanan FAS Tri Nations yang berlangsung di Singapura, khususnya perkembangan membabitkan Liridon Krasniqi bersama pasukan Harimau Malaya.
Persahabatan di antara Liridon dan Emre Can sememangnya sudah lama dan pemain antarabangsa Jerman berdarah Turki itu sentiasa meninggalkan pesanan dan ucapan selamat berjaya buat rakannya itu.
Malah Emre Can juga adalah antara yang terawal mengucapkan selamat maju jaya buat Liridon Krasniqi ketika pemain kelahiran Kosovo itu mendapat panggilan untuk menyertai skuad kebangsaan sebelum ini.
Terkini, bekas pemain tengah Liverpool itu turut tidak ketinggalan meraikan jaringan sulung Liridon di pentas antarabangsa bersama pasukan negara apabila memberi respon dengan emoji tepuk tangan – sebagai tanda syabas dan tahniah atas pencapaian terbaru rakannya itu.
Hanya permulaan
Perkongsian oleh Liridon Krasniqi di akaun Instagram miliknya baru-baru ini turut memberikan gambaran keakraban dan sikap kebersamaam di kalangan pemain di dalam kem negara pada ketika ini.
Sebelum ini pasukan negara pernah dikritik kerana kegagalan di Piala AFF 2020 di mana isu keharmonian di kalangan pemain dikatakan menjadi punca.
“Bersatu bersama adalah permulaan, kekal bersama adalah kemajuan, dan bekerja bersama adalah satu kejayaan,” tulis Liridon di dalam perkongsian beliau.
Pemain tengah yang beraksi bersama Odisha FC di Indian Super League (ISL) itu juga turut melahirkan rasa bersyukur dan terima kasih untuk semua pihak yang membantu beliau menghasilkan jaringan di pentas antarabangsa tempoh hari.
“Ucapan terima kasih khas kepada pasukan & kakitangan saya yang hebat kerana membantu saya mencapai matlamat menjaringkan gol antarabangsa pertama untuk Malaysia.
“Bukan hasil yang kami harapkan, tetapi kami kan terus melangkah ke hadaoan . Lebih banyak hasil selepas ini..” tambah Liridon lagi.
🚨 | Odisha FC midfielder Liridon Krasniqi's goal against Singapore tonight. 👏🟣⚫ #OdishaFC #IndianFootball @LiriKrasniqi8 @JuggernautsOFC pic.twitter.com/XdobSXINLR
— 90ndstoppage (@90ndstoppage) March 26, 2022
Liridon menjaringkan gol pertamanya untuk pasukan negara dalam perlawanan menentang Singapura pada Sabtu lalu, selepas tenang menolak masuk menewaskan penjaga gol lawan setelah menerima hantaran kemas daripada Akhyar Rashid.
Malang sekali jaringan tersebut gagal membantu pasukan negara sekurang-kurang meraih satu mata, menyebabkan Liridon dan pasukan negara terpaksa akur dengan organisasi yang ditampilkan Singapura dalam perlawanan tersebut.