Empat kesilapan mudah barisan pertahanan yang ‘menghadiahkan’ empat gol kepada pasukan lawan. Mungkin itulah rumusan untuk aksi persahabatan yang menyaksikan Malaysia tewas 4-0 kepada Jordan di Stadium King Abdullah II, Amman.
Ketua jurulatih Tan Cheng Hoe menurunkan pemain yang dianggap berpengalaman di pentas antarbangsa dengan Guilherme de Paula diletakkan selaku penyerang tunggal sambil Syafiq Ahmad dan Faisal Halim deiletakkan di posisi sayap.
Bahagian tengah pula dipertanggungjawabkan kepada Baddrol Bakhtiar, Nazmi Faiz Mansor dan Akram Mahinan, sementara bahagian pertahanan terus dikemudi oleh kapten Aidil Zafuan dan Irfan Zakaria.
Pertahanan sisi diisi oleh Rizal Ghazali dan Ariff Farhan, manakala Khairul Azhan menjadi pilihan untuk bertindak selaku benteng terakhir pasukan.
Gawang Malaysia nyaris dibolosi pada minit ke-16 apabila sepakan penjuru Baha Abdul Rahman tepat menuju kepada Yazan Al Arab yang terlepas dari kawalan, namun tandukan pemain pertahanan Jordan itu sedikit tersasar ke sebelah kanan tiang gol.
30 minit pertama, jelas permainan lebih memihak kepada pasukan tuan rumah yang berhasil melakukan beberapa percubaan menerusi penyerangnya Baha Faizal, Ali Alwan dan Musa Al Tamari, namun berjaya dinafikan pemain pertahanan dan penjaga gol Khairul Azhan.
Malaysia pula dilihat bergelut untuk memegang penguasaan bola lebih lama selepas menerima tekanan dari pemain Jordan.
Akibat kesilapan Ariff Farhan yang gagal mengeluarkan bola di sebelah kiri, Jordan berjaya mendapatkan gol penduhulan pada minit ke-34 selepas Ali Olwan mudah untuk menyudahkan hantaran lintang rendah Musa Al Tamari menerusi satu rembatan kencang menewaskan Khairul Azhan.
Hanya empat minit kemudian, Jordan nyaris mendapatkan gol kedua menerusi gerakan yang hampir sama, tetapi kali ini Malaysia lebih bernasib baik apabila percubaan dari jarak dekat Baha Faisal berjaya dinafikan oleh Khairul Azhan.
Nasib terus menyebelahi skuad negara apabila jaringan Baha Faisal lima minit sebelum tamat separuh masa tidak dikira kerana penyerang Jordan berkenaan didapati berada pada kedudukan ofsaid.
Namun jaringan kedua Jordan terhasil menerusi Odai Al Saify yang berpunca daripada masalah komunikasi di antara Khairul Azhan dan kapten Aidil Zafuan yang menyebabkan gawang pasukan negara terbuka luas untuk kapten pasukan Jordan itu menyumbat gol bagi melebarkan kelebihan.
Jordan jelas lebih banyak mengatur gerakan serangan mereka di sebelah kiri pasukan negara dengan memanipulasi Ariff Farhan yang dilihat seperti ‘lubuk’ yang mudah untuk dimanipulasi.
Cuba untuk memperbaiki keadaan, Malaysia membuat dua pertukaran selepas rehat separuh masa dengan Arif Fadzilah serta Hakimi Abdullah dibawa masuk menggantikan Ariff Farhan dan Akram Mahinan.
Tetapi ia bukan penghalang untuk Jordan terus meledak gol ketiga hanya dua minit selepas aksi di babak kedua bersambung akibat dari kesilapan Irfan Zakaria yang menanduk bola ke belakang yang pantas disambar oleh Ali Olwan dengan satu rembatan kencang.
Hanya dua minit berselang, disiplin pertahanan Malaysia yang begitu longgar terus dihukum oleh Jordan menerusi serangan balas pantas dengan Ali Olwan sekali lagi mencetak namanya selaku penjaring gol keempat Jordan sekaligus melengapkan hatriknya pada malam ini.
Selepas satu jam perlawanan berlangsung, Cheng Hoe mengeluarkan De Paula dan Nazmi Faiz untuk memberi peluang kepada dua pemain muda negara Luqman Hakim Shamsudin dan Mukhairi Ajmal mempamerkan kemampuan mereka.
Pertukaran tersebut jelas memberi kesan positif kepada corak permainan Malaysia yang lebih kemas dan tersusun dan berhasil mengatur serangan demi serangan ke arah kubu lawan.
Ia seolah-oleh menggambarkan aksi sebenar Malaysia hanya bermula pada minit ke-60 dan ternyata ia jauh lebih baik berbanding aksi di separuh masa pertama selepas mula diterajui oleh barisan pemain muda termasuk Kenny Pallraj dan Quentin Cheng yang dibawa masuk.
Tewas dengan perbezaan empat gol, jelas ia merupakan satu isyarat jelas kepada Tan Cheng Hoe supaya tidak teragak-agak untuk menurunkan barisan pemain muda yang lebih segar dan bertenaga untuk perlawanan seterusnya menentang Uzbekistan selepas ini.