Penyerang prolifik Manchester City, Sergio Aguero bertindak cemerlang pada perlawanan bertemu Leicester City pagi tadi apabila menjaringkan empat gol untuk membantu kelabnya menang 5-1 di Stadium Etihad.
Di samping itu, Kevin De Bruyne juga turut memainkan peranan yang baik selepas pemain antarabangsa Belgium tersebut mencipta tiga bantuan jaringan termasuk membantu dua daripada jaringan Aguero.
Dengan kemenangan besar ini meletakkan Manchester City mendahului pasukan jiran setempat Manchester United dengan kelebihan 16 mata ketika United akan bertemu Newcastle United malam ini.
City tidak menunggu lama untuk di hadapan apabila Raheem Sterling dengan mudah menolak masuk hantaran menarik dari De Bruyne seawal minit ke-3 perlawanan.
Leicester City kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-24 setelah gerakan solo yang dilakukan Jamie Vardy berjaya membolosi gawang Manchester City yang dikawal Ederson Moraes.
Bermula babak kedua, skuad bimbingan Pep Guardiola terus garang bagi memburu jaringan dan Sergio Aguero kembali meletakkan City di hadapan tiga minit selepas perlawanan bersambung.
Pemain antarabangsa Argentina itu menyempurnakan hantaran lintang dari sebelah kiri pintu gol lawan yang dilakukan De Bruyne untuk gol kedua buat pendahulu liga tersebut.
Lima minit kemudian, Aguero terus mempamerkan sentuhan berbisanya apabila melakukan rembatan padu yang menemui sasaran jaringan untuk gol ketiga perlawanan selepas menerima satu lagi umpanan kreatif dari De Bruyne.
Penyerang berusia 29 tahun itu melengkapkan hatrik pada perlawanan ini yang menyaksikan beliau berjaya merampas bola hasil kesilapan hantaran pendek yang cuba dilakukan penjaga gol lawan, Kasper Schmeichel.
Sergio Aguero kemudiannya melakukan sepakan ‘lob’ yang terus menerjah jaring pada minit ke-77.
Tidak cukup dengan jaringan hatrik yang dilakukan, Aguero terus garang dengan menambah jaringan ke-4 peribadinya selepas meledakkan jaringan dari luar kotak penalti pada minit-minit akhir perlawanan untuk mengesahkan kemenangan besar buat Pep Guardiola dan anak buahnya.