Empat Beradik Bersaing Rebut Tempat Ke Suku Akhir Shopee Piala FA 2019

Piala FA

Pemburuan slot ke peringkat suku akhir Shopee Piala FA 2019 memberikan makna yang cukup besar buat keluarga Mohd Nazri Alwi apabila empat anaknya akan beraksi dalam saingan tersebut.

Lebih menarik ia turut membabitkan pertembungan sesama sendiri anaknya iaitu Muhamad Hariz Fazrin Mohd Nazri yang mewakili UKM FC dan bintang muda Pahang, Muhammad Zuhair Aizat pada pusingan ketiga di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam esok.

Menurut Hariz, dia mengakui berbangga dengan pencapaian adiknya Zuhair yang semakin matang dan menyinar bersama pasukan bimbingan Dollah Salleh dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Bagaimanapun pemain berusia 26 tahun itu tetap memandang serius terhadap cabaran skuad Tok Gajah yang dianggapnya sebagai pasukan pilihan dan bersedia untuk ‘membuang’ sentimen keluarga sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

“Secara peribadi ia akan menjadi satu perlawanan yang benar-benar sentimental buat keluarga Mohd Nazri Alwi kerana keempat-empat anak lelakinya bermain dalam kempen Shopee Piala FA 2019.

“Saya masih mengingati Zuhair selalu menjadi ‘mangsa buli’ saya ketika zaman kanak-kanak kami tetapi melihat persembahan semasanya, saya berbangga memiliki adik sepertinya dan sudah pasti keluarga kami mahu melihatnya lebih berjaya bersama Pahang.

“Namun sentimen itu sudah pasti akan dibuang untuk tempoh 90 minit kerana saya mahu membantu UKM FC melakarkan kejutan. Kami sedar Pahang adalah pasukan pilihan tetapi dalam masa yang sama, UKM FC juga mahu memberikan satu persembahan terbaik,” katanya.

Dari kiri Zuhair Aizat , Hariz Irffan , Zarrin Asyraff (bersara daripada bola sepak) , Hariz Fazrin , Auzie Ashywad

Dalam perkembangan sama, Zuhair, 23, terpaksa menjadi ‘musuh’ kepada Hariz biarpun dia sentiasa menaruh penghormatan tertinggi kepada ahli keluarganya termasuk Hariz demi perjuangannya bersama skuad Tok Gajah.

“Sama seperti Hariz, saya terpaksa menjadi musuh kepadanya kerana saya bersama rakan-rakan sepasukan lain menggalas misi penting untuk membantu Pahang layak ke pusingan seterusnya,” ujarnya.

Sementara itu, Muhamad Hariz Irffan, 24, dan Mohamad Auzie Ashywad, 25, yang mewakili Jerantut FA turut mendedahkan dilema yang melanda keluarganya terutama sokongan daripada ibubapanya.

Jelas Hariz yang dijangka akan diturunkan bertemu Perak di Stadium Tunku Abdul Razak, memberitahu ibunya, Hasnah Abd Rahman sentiasa berusaha keras untuk memberikan sokongan kepada anak-anak lelakinya sehingga terpaksa memilih perlawanan tertentu.

“Apa yang melucukan bagi kami sebenarnya adalah ibubapa kami sendiri pening bagaimana mereka mahu turun ke stadium bagi memberikan sokongan kepada kami apatah lagi jika kesemua perlawanan berjalan serentak.

“Namun kami sentiasa menghargai jasa mereka dan tidak pernah sesekali terluka jika mereka tiada bersama kami kerana kami menyedari mereka sentiasa berada di belakang kami sejak daripada kecil lagi.

“Jika Zuhair dan Hariz bertemu sesama sendiri esok, kami pula akan menentang pasukan negeri kelahiran emak di mana sudah pasti kami mahu memberikan yang terbaik,” katanya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN