Emery Mahu Pengadil Yang Sama, Peraturan Yang Sama, Di Stadium Yang Berbeza

Unai Emery sekali lagi meluahkan ketidakpuasan hati beliau ke atas mutu pengadilan di UCL. Musim lalu beliau mengamuk selepas menuduh pengadil punca Barcelona melakukan kebangkitan ‘mustahil’ ke atas PSG.

Ketika itu beliau disokong oleh Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi yang turut membidas mutu pengadilan. Kali ini, musim ini, Unai Emery mengamuk sekali lagi dengan mutu pengadilan.

Lebih ironi, ianya melibatkan satu lagi kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid. 2 hari selepas kekalahan 3-1 di Bernabeu dalam pusingan 16 pasukan akhir, pusingan perlawanan pertama beliau tampil dalam sidang media Ligue 1.

Namun Unai Emery masih ‘berdarah’ hatinya mengenangkan mutu pengadilan di Bernabeu. Sebelum ini beliau sudah pun meluahkan ketidakpuasan hati beliau.

Bercakap dalam sidang media perlawanan menentang Strasbourg, Unai Emery memberitahu beliau tak gembira dengan pengadilan di Bernabey dan menjelaskan kenapa beliau merehatkan Thiago Silva dan Angel Di Maria.

“Fokus utama kami adalah untuk bersedia sebaik mungkin untuk perlawanan ini (menentang Strasbourg). Kita harus kekalkan proses itu dan kembali semula ke landasan kemenangan untuk mengekalkan kelebihan kita di dalam carta liga.”

“Saya juga mahu pemain saya menghormati Strasbourg. Trapp, Verratti dan Mbappe semuanya digantung dalam perlawanan ini. Kita akan nilai beberapa pemain untuk pasukan utama.”

“Kami mahu menjadi pasukan yang kuat dengan 11 pemain di padang dan pemain ke-12 di stadium, iaitu penyokong kami. Dan mungkin pemain ke-13 diperlukan.”

Unai Emery seakan-akan menyindir Real Madrid yang dituduh beliau memenangi perlawanan dengan bantuan pengadil. Wartawan bertanya, apa masalah PSG ketika di Madrid?

“Pasukan kami bermain baik, bola sepak boleh jadi macam itu, anda boleh menjadi pasukan terbaik dalam perlawanan tetapi… (tak menang).”

“Itu bukan keputusan yang kami inginkan dan saya masih yakin kami akan mampu mara. Kami akan bermain lebih baik selepas ini.”

“Kami menguasai perlawanan, selepas itu, masalah utama kami adalah gol atau tidak.”

Ditanya sama ada benar beberapa pemain mengamuk di bilik persalinan terutamanya Neymar? Beliau menjelaskan:

“Itulah bola sepak, ia satu pertandingan, mereka berhak rasa terganggu, tetapi selagi-lagi mereka menghormati rakan sepasukan, semuanya OK. Saya yakin kami akan mara ke suku akhir, ada satu lagi perlawanan.”

“Kali ini saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk kekalahan tersebut.”

Ditanya sama ada beliau risau dengan masa depan beliau di PSG. Unai Emery menyatakan beliau tidak risau dan sentiasa bekerja keras untuk keras setiap masa. Dan beliau tidak memikirkan perkara lain.

Wartawan juga bertanya komen beliau tentang aksi Neymar dan kenapa Cavani dikeluarkan.

“Neymar menunjukkan banyak perkara positif, dan dia masih boleh perbaiki beberapa perkara, saya yakin dia akan lakukan itu. Dia menunjukkan kehebatan beliau di dalam padang.”

“Kenapa Cavani dikeluarkan? Itu untuk pertukaran taktikal.”

Unai Emery juga memberitahu, Thiago Silva dan Di Maria direhatkan untuk memberikan peluang kepada pemain lain. 2 pemain itu masih lagi pemain penting beliau dan Thiago Silva masih lagi kapten pasukan.

Wartawan turut memetik semula kenyataan beliau yang membidas pengadil yang disifatkan beliau pilih kasih selepas perlawanan. Emery berkata;

“Saya mahukan pengadil yang sama, Rocchi dalam perlawanan kedua nanti, dengan kriteria yang sama lebih memihak pasukan tuan rumah.”

“Saya baru menonton perlawanan Lyon vs Villareal dan pengadil tidak pilih kasih dalam perlawanan itu.”

“Saya nak pengadil yang sama nanti, nak dia tunjukkan berat sebelah (bias) yang sama kepada pasukan tuan rumah. Contohnya, sebelum penalti Real Madrid adalah ofsaid.”

Panas betul nampaknya Unai Emery kali ini. PSG diletakkan sebagai calon utama untuk menjuarai UCL musim ini selepas membentuk pasukan serba lengkap.

Sebelum perlawanan menentang Real Madrid, mereka turut dianggap pilihan utama kerana krisis prestasi Real Madrid dalam beberapa bulan terakhir.

Namun sayangnya PSG gagal memenuhi jangkaan ramai pihak. Kegagalan menjuarai UCL atau mara lebih jauh dalam kejohanan tersebut musim ini bakal meletakkan Unai Emery dalam masalah.

Ini kerana Ligue 1 sudah boleh dikira bukan KPI utama untuk pasukan seperti PSG. Ramai juga merasakan komen Unai Emery ini mungkin akan mengundang padah jika UEFA mengambil serius apa yang diucapkan beliau.

Leave a Reply