Peminat Manchester United yang sedang muak dengan keluarga Glazers mungkin sedikit gembira apabila membaca ciapan Elon Musk pagi ini. Seperti yang telah kami laporkan tadi, pengasas dan CEO Tesla itu mengumumkan sedang membeli Manchester United.
Tetapi mereka mungkin perlu bertenang seketika kerana ada kemungkinan manusia terkaya di dunia itu sedang ‘menggoreng’ saham Manchester United.
Menurut Unusual Whales, terdapat beberapa aktiviti pelik dalam log transaksi opsyen (options) saham Manchester United ($MANU) beberapa hari sebelum Musk mengumumkan sedang membeli kelab itu.
Elon Musk has (jokingly?) said he is buying Manchester United.
But $MANU is traded. Here's where it gets weird.$MANU gets 0 options activity. Two days ago, someone did 450k, sustained volume, in $14 calls expiring 31 days, 3500% increase in volume.
Planned joke on markets? pic.twitter.com/oYX4iLRyaq
— unusual_whales (@unusual_whales) August 17, 2022
Unusual Whales merupakan sebuah aplikasi yang membantu pelabur-pelabur runcit mengesan aktiviti-aktiviti opsyen yang dilakukan oleh pelabur-pelabur besar.
Unusual Whales melaporkan pada 12 Ogos 2022 (13 Ogos waktu Malaysia), terdapat kenaikan mendadak (sebanyak 3,500%) secara tiba-tiba dalam aktiviti opsyen $MANU. Berdasarkan bukti yang dilampirkan mereka, terdapat seorang pelabur misteri yang membeli lebih 30,000 opsyen panggilan USD14 (USD14 call options) bernilai USD450,000.
Harga saham $MANU ketika artikel ini ditulis adalah USD12.78.
Jika anda bukan pelabur saham, ini cubaan kami untuk memahamkan anda tentang apa yang sedang berlaku.
Sebelum 12 Ogos, saham $MANU tidak mendapat perhatian pelabur saham US. Aktiviti opsyen pun tiada apa yang menarik untuk dibincangkan. Tetapi semuanya berubah pada 12 Ogos. Pada 12 Ogos, ada seorang pelabur bertaruh harga saham $MANU (yang pada ketika itu berharga USD12.30) akan naik ke USD14. Nilai taruhannya adalah sebanyak USD450,000.
Sekiranya harga saham $MANU mencecah USD14, pelabur misteri ini akan mengaut keuntungan besar.
Unusual Whales, secara asasnya, membuat inferens bahawa pelabur misteri tersebut besar kemungkinan merupakan Elon Musk. Ini kerana Elon Musk tidak pernah membuat ciapan tentang bola sepak, apatah lagi Manchester United.
Jadi apabila Musk membuat ciapan tentang Manchester United, ada kemungkinan beliau cuba menggunakan pengaruh besarnya di Twitter untuk menarik minat pelabur runcit membeli saham $MANU. Apabila ramai pelabur membeli, harga $MANU akan naik. Dan apabila harga $MANU melepasi USD14, Musk akan menjual semua kontrak opsyen panggilannya dan mengaut keuntungan.
Apa yang membuatkan laporan Unusual Whales lebih dipercayai adalah ini bukan kali pertama Musk membuat ciapan tentang aset. Pada tahun 2021, billionaire kelahiran Afrika Selatan ini pernah membuat ciapan tentang Dogecoin dan Bitcoin. Sejurus selepas ciapannya diterbitkan, kedua-dua harga aset kriptowang ini naik meroket.
Dogecoin is the people’s crypto
— Elon Musk (@elonmusk) February 4, 2021
Musk sendiri pernah mempengaruhi turun naik harga saham Tesla ($TSLA) hanya dengan beberapa ciapan pada tahun 2018, 2020 dan 2021.
Saham goreng
Tindakan Musk mempengaruhi dan memanipulasi sentimen pasaran saham ini bukan sesuatu yang baru. Meskipun tindakan ini menyalahi undang-undang, tetapi pihak berkuasa sukar untuk menghukum kerana Musk boleh mengelak dengan memberitahu ciapan pagi tadi tiada kena mengena dengan saham $MANU.
Pelabur runcit ada satu istilah untuk menggambarkan saham-saham yang senang dimanipulasi ini: saham goreng. Kebiasaannya harga saham goreng ini naik bukan kerana aktiviti syarikat, sebaliknya kerana ‘digoreng’ oleh pelabur jerung. Apabila saham tersebut habis digoreng, harga akan jatuh sekaligus menyebabkan pemegang saham yang belum sempat menjual (kebanyakannya pelabur runcit) menanggung kerugian.
Besar kemungkinan inilah yang bakal berlaku kepada $MANU dalam masa terdekat nanti.
Kasihan peminat Man United. Sudahlah kewangan kelab ‘digoreng’ oleh keluarga Glazers. Kini saham kelab mereka pula digoreng oleh Musk.