‘Elemen Pengalaman’ – Wan Rohaimi Jumpa Ramuan Terbaik Perbaiki Kekurangan PDRM

PDRM FC Wan Rohaimi

Menyedari aspek pengalaman menjadi punca utama kepada prestasi kurang memuaskan pasukan, pengendali PDRM, Wan Rohaimi Wan Ismail segera memperbaiki kelemahan tersebut dengan mendapatkan beberapa tonggak baharu semasa jendela perpindahan kedua tempoh hari.

Skuad Sang Saka Biru itu melalui pusingan pertama saingan Liga Premier musim ini dengan prestasi terumbang-ambing dengan majoriti anggota pasukan terdiri daripada pemain-pemain muda.

Percaturan tersebut ternyata gagal menghasilkan keputusan yang diharapkan oleh pengurusan pasukan selepas hanya mampu mencatat tiga kemenangan daripada 10 perlawanan.

Justeru itu, PDRM telah membawa masuk dua pemain berpengalaman tempatan Khairul Izuan Rosli dan Azmi Muslim bagi membimbing pasukan terutamanya di atas padang.

Pasukan itu turut mendapatkan dua pemain import baharu Milos Lacny dari Slovakia dan Fadi Awad dari Jordan yang telah terbukti mempunyai kualiti yang jauh lebih baik berbanding pemain import terdahulu ketika mencatat kemenangan 2-0 ke atas Perak tempoh hari.

Lacny berusia 34 tahun dan memiliki pengalaman bermain di kelab-kelab ternama Eropah seperti Sparta Prague dan Zilina.

Manakala Awad selaku pemain tengah, pernah bermain untuk skuad kebangsaan Jordan selain pengalaman beraksi di Liga Jordan dan Kuwait.

“Salah satu kelemahan yang dikenal pasti sepanjang pusingan pertama adalah aspek pengalaman pemain kerana tiap kali perlawanan persahabatan, kami boleh dapatkan keputusan yang baik tetapi berbeza semasa aksi di Liga Premier,” ujar Wan Rohaimi ketika ditemubual Media MFL.

“Mungkin terdapat faktor tekanan pada perlawanan sebenar yang menyebabkan pemain-pemain muda ini gagal bermain dengan baik.

“Justeru, kami membawa masuk dua pemain tempatan berpengalaman, Azmi Muslim dan Khairul Izuan yang diharap mampu membimbing bakat-bakat muda ini.”

Dalam pada itu, jurulatih berusia 46 tahun itu juga melahirkan kelegaannya selepas pasukannya dapat menggunakan kesemua pemain import setelah kerap kali kehilangan khidmat beberapa pemain akibat kecederaan.

“Aksi berdepan Perak tempoh hari merupakan kali pertama saya dapat menggunakan keempat-empat pemain import dalam satu perlawanan,” tambahnya lagi.

” Lacny dan Awat juga pemain berpengalaman malah jelas mereka sangat membantu pemain-pemain lain, saya yakin PDRM boleh berada di tahap lebih baik bagi harungi baki saingan Liga Premier.”

Berusia 35 tahun, Azmi dipinjamkan dari Penang merupakan antara pertahanan kiri berpengalaman manakala Khairul Izuan pernah bermain untuk Kelantan, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Selain itu, PDRM turut membawa masuk Zazrir Naim dari Sri Pahang dan bekas pemain Kelantan, Ismail Ibrahim.

Wan Rohaimi kini mengharapkan PDRM mampu meraih seberapa mata maksimum bagi terus meraih kedudukan yang lebih baik di Liga Premier.

“Kemenangan 2-0 tempoh hari berdepan Perak diharapkan akan menjadi pembakar semangat kepada kami untuk terus konsisten meraih keputusan cemerlang.

“Kami terlalu banyak keciciran mata di pusingan pertama dan perkara itu beri kesan kepada kedudukan di liga.

“Berdepan Kelantan United di laman lawan pada 16 Julai depan,saya harap pemain-pemain dapat meraih sesuatu dan tidak gentar dengan kekuatan lawan.”

PDRM kini menghuni tangga keenam dengan mengumpul 14 mata selepas mengharungi 11 perlawanan Liga Premier.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN