Stefano Brundo bakal berdepan cabaran getir bersama Sri Pahang pada malam ini untuk menghadapi Selangor dalam aksi Piala FA 2023 pusingan kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Beraksi di gelanggang lawan, pastinya suasana berbeza akan dirasai oleh Brundo bersama rakan sepasukannya untuk menghadapi sorakan padu daripada penyokong tuan rumah.
Stefano Brundo: Pertahanan Dengan Statistik Penyudah Lebih Tinggi Berbanding Penyerang Utama Sri Pahanghttps://t.co/6nYQzMtoPb
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) April 11, 2023
Selaku salah seorang pemain paling menyerlah bersama pasukan, tugas besar pastinya menanti Brundo untuk memastikan rakan sepasukan lain tidak membuat kesilapan yang akan merugikan kelab.
Disebabkan saingan ini merupakan format kalah mati, maka pemain import dari Argentina ini mengharapkan agar mereka mampu memburu jaringan penting sepanjang 90 minit perlawanan.
Bagi Brundo, jaringan tersebut sangat penting buat Sri Pahang jika pasukan ini mahu melangkah jauh ke pusingan seterusnya serta mencipta sejarah baharu musim 2023.
Pemain berusia 29 tahun itu juga menyedari lawan mereka kali ini bukan sesuatu yang boleh diambil ringan menerusi prestasi Selangor yang cemerlang dalam Liga Super.
Untuk itu, Brundo menggesa supaya rakan sepasukan lain sentiasa berwaspada akan cabaran tuan rumah dengan tidak membuat sebarang kesilapan mudah yang hanya akan merugikan mereka.
“Kalau kita tengok semula ketika menentang Selangor dalam aksi Liga Super, mereka berjaya menjaringkan gol pada minit akhir dan akhirnya kami seri.
“Itu sungguh mengecewakan tetapi esok kita tidak boleh buat kesilapan sama dan satu pasukan harus menang dalam tempoh 90 minit perlawanan.
“Jadi, kami berharap peluang itu memihak kepada Sri Pahang dan saya tahu Selangor sekarang begitu kuat selepas beberapa perlawanan ini.
“Tetapi kami juga mempunyai pasukan yang bagus dan akan cuba bekerja keras untuk memberikan yang terbaik pada malam esok”, katanya menerusi laman Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Musim ini menjadi sesuatu yang menarik buat Brundo, setelah beliau tampil selaku penjaring terbanyak buat Sri Pahang dalam aksi Liga Super menerusi lima gol diledak pertahanan tersebut.
Malah, Brundo juga sudah pun membuka akaun jaringannya dalam aksi pusingan pertama Piala FA ketika Sri Pahang menundukkan cabaran Perak di Ipoh.
Namun, Brundo juga menegaskan bukan rekod jaringan peribadi yang menjadi keutamaan, sebaliknya beliau mahu memastikan pasukan sentiasa beroleh kemenangan.
It's Deja vu as we will face @selangorfc once again. Will we make a new story?#SriPahang #WhereLegendsAreBorn #HakkaClo pic.twitter.com/YWpcQZfVsb
— Sri Pahang FC (@OfficialPahang) April 14, 2023
“Tentunya saya sangat gembira kerana terlebih dahulu pasukan masih belum tewas dalam 8 perlawanan liga dan secara peribadi saya juga gembira dengan gol yang telah dijaringkan untuk bantu pasukan.
“Saya pun dah mula bermain di bahagian tengah dan bila ada peluang, saya akan cuba bantu di bahagian depan juga, tetapi ini adalah kerjasama satu pasukan.
“Azam juga banyak membantu dalam melakukan hantaran dan saya rasa dengan usaha keras semua pemain ini, kami boleh terus melakukan yang terbaik”, tambahnya.