Eksklusif: Wakil Semuanya BOLA Kongsikan Pengalaman Di Vodafone Park, Besiktas

Menjadi salah satu dari impian penulis untuk melakukan ‘stadium tour’ di Vodafone Park, Besiktas dan impian itu menjadi kenyataan apabila penulis berkesempatan untuk melawat ke negara Turki bulan lalu.

Peluang yang jarang menjelma itu digunakan sepenuhnya oleh penulis untuk melawat stadium yang merupakan gelanggang keramat bagi pasukan Besiktas JK tersebut.

Ayuh luangkan sedikit masa bagi menyoroti perkongsian penulis ketika mengadakan ‘stadium tour’ di stadium kelab yang berjaya beraksi sehingga ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Ringkas mengenai Vodafone Park

Vodafone Park dibina selepas stadium lama bagi Besiktas iaitu BJK İnönü Stadium telah dirobohkan pada pertengahan tahun 2013 dan dibuka pada April 2016.

Kedudukannya yang terletak berhadapan dengan Selat Bosphorus juga menyerlahkan lagi keterujaan buat sesiapa yang pertama kali menjejakkan kaki ke stadium tersebut.

Stadium moden ini juga berhampiran dengan istana terbesar di Turki, Istana Dolmabahce yang merupakan pusat pentadbiran utama Kerajaan Uthmaniyyah.

Pada Disember 2016, Vodafone Park digegarkan dengan dua letupan bom di luar stadium sebaik sahaja perlawanan diantara Besiktas bertemu Bursaspor tamat.

Kejadian itu telah mengorbankan 29 nyawa dan 166 orang awam mengalami kecederaan.

Perjalanan ke Vodafone Park

Ketika di Turki, penulis tinggal di kawasan Kadikoy. Jarak daripada Kadikoy ke Besiktas mengambil masa selama hampir 50 minit hingga satu jam sekiranya melalui jalan darat.

Keadaan itu membuatkan penulis memilih untuk menaiki Feri bagi menyeberangi Selat Bosphorus untuk terus ke Besiktas.

Secara kebetulan, stesen feri daripada Kadikoy untuk ke Besiktas betul-betul berhadapan dengan hotel penginapan penulis iaitu Aden Otel (hanya 1.8 KM dari Sukru Saracoglu yang merupakan stadium bagi Fenerbahce).

Keadaan di dalam feri yang sungguh selesa.

Dengan hanya membayar sebanyak 5 Turkish Lira (TL), penulis hanya mengambil masa 20 minit sahaja untuk sampai ke Besiktas.

Sebaik sahaja sampai di Besiktas, perjalanan ke Vodafone Park hanya mengambil masa 10 minit dengan berjalan kaki.

Ketika itu cuaca sungguh sejuk dan hujan renyai-renyai. Sungguh mencabar bagi anak kampung seperti penulis untuk ke stadium yang ingin dituju.

Tiba di Vodafone Park

Sebaik sahaja tiba di Vodafone Park, penulis terus sahaja memulakan siaran ‘live’ di Facebook Semuanya BOLA untuk berkongsikan kepada pembaca di tanah air.

Semuanya sangat mudah apabila penulis dan seorang rakan terus sahaja menuju ke lokasi yang tepat apabila kami menjumpai kaunter untuk pengunjung bagi mengadakan ‘stadium tour’ dan melawat muzium kelab.

Pass (hadapan) yang diberikan untuk melakukan ‘stadium tour’ dan memasuki muzium.
Pass (belakang) yang diberikan untuk melakukan ‘stadium tour’ dan memasuki muzium.

Bayaran yang dikenakan untuk melakukan ‘stadium tour’ dan melawat muzium Besiktas adalah sebanyak 25TL.

Untuk ke muzium, pengunjung boleh masuk bermula jam 10 pagi hingga 7 malam. Manakala bagi ‘stadium tour’ pula, terdapat masa-masa yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan stadium.

Namun, kami dilarang oleh pihak stadium untuk menggunakan kamera DSLR bagi kedua-dua aktiviti ini. Hanya penggunaan kamera telefon pintar sahaja dibenarkan.

Muzium Besiktas

Pintu masuk untuk membeli tiket serta membuat lawatan ke muzium dan melakukan ‘stadium tour’.

Disamping menjadi sebuah pasukan yang terkenal di Turki serta mempunyai pelbagai sejarah yang menarik, Muzium Besiktas juga dikhabarkan merupakan muzium sukan yang terbesar di Turki.

Pelbagai detik indah kelab tersebut diabadikan di galeri muzium tersebut dengan begitu rapi.

Paparan yang anda akan dapat lihat di dalam Muzium Besiktas.
Aksi perlawanan terdahulu dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah turut dipotretkan.

Stadium Tour

Saat yang dinantikan akhirnya tiba pada jam 12.15 tengahari (waktu Turki), penulis bersama pengunjung yang lain telah dibawa untuk melakukan ‘stadium tour’.

Penjelajahan bermula apabila kami dibawa memasuki ke ruang penyokong dan juga kawasan petugas media membuat liputan.

Keadaan ini menerbitkan rasa teruja buat penulis sendiri yang ketika itu turut sibuk mengendalikan siaran ‘live’ buat semua.

Stadium ini berkapasiti 41,118 orang.

Seperti kebiasaan, sudah pastinya bilik persalinan menjadi tumpuan utama buat para pengunjung sekiranya melakukan ‘stadium tour’.

Bilik persalinan yang luas serta selesa buat para pemain.
Penulis tidak melepaskan peluang untuk bergambar di tempat Ricardo Quaresma dan Pepe.

Penulis kemudiannya dibawa ke bilik sidang media. Ketika itu, terbayang-bayang di pemikiran penulis tentang bilik sidang media di Malaysia.

Bukan mahu membuat pembandingan namun penulis yakin satu masa nanti, ianya mampu diikuti.

Bilik sidang media yang mampu memuatkan ratusan orang wartawan.

Kami diberikan peluang merasai suasana di terowong seperti pemain yang beraksi di Vodafone Park apabila lagu semangat dimainkan dan kami diminta untuk berlari ke padang.

Terasa seperti seorang pemain profesional sedang bersiap sedia untuk menghadapi perlawanan.

Diberikan peluang berada di tepi padang Vodafone Park.

Kemuncak ‘stadium tour’ ini memberikan peluang buat penulis untuk merasai pengalaman berada di tepi padang stadium Vodafone Park.

Namun begitu, penulis tidak dibenarkan ke tengah padang kerana ketika itu kerja penyelenggaraan padang sedang dijalankan.

Besiktas Official Store

Penulis juga tidak melepaskan peluang untuk membeli sedikit ole-ole dari kelab tangga ke-3 Liga Super Turki ini.

Harga barangan disini juga tidaklah terlalu mahal. Sebagai contoh sehelai jersi Besiktas jenama Adidas adalah berharga 169TL.

*Kadar tukaran terkini, 100TL bersamaan RM97.19

Rumusan

Penulis masih mengharapkan agar dapat kembali ke Turki sekali lagi bagi menyaksikan perlawanan disana.

Hal ini kerana seperti semua mengetahui, semangat para penyokong pasukan Besiktas, Fenerbahce dan Galatasaray mempunyai ‘kegilaan’ mereka yang begitu menebal dalam memberikan sokongan buat pasukan mereka.

Mungkin ada diantara anda yang pernah merasai pengalaman tersebut, boleh kongsikan kepada kami di ruangan komen.

Kredit featured image: sportekspres.com

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN