Situasi di kem Kedah Darul Aman (Kedah) kini boleh dianggap sebagai kritikal apabila mereka dikatakan masih lagi mengalami isu daripada segi kewangan yang berlanjutan sejak awal saingan berlangsung.
Ditambah pula dengan kejutan yang berlaku semalam apabila pasukan itu hanya mampu menyediakan 12 pemain sahaja untuk aksi sulung Piala Malaysia musim 2024/2025.
Pada aksi bertemu Kuala Lumpur (KL City) itu menyaksikan hanya seorang pemain simpanan berada di tepi padang dengan selebihnya tidak kelihatan sepanjang aksi berlangsung.
Menerusi pendedahan eksklusif daripada sumber Semuanya BOLA, ada cerita tersendiri mengenai ketiadaan pemain-pemain simpanan pada aksi tersebut selain beberapa kisah dalaman dianggap cukup menyayat hati.
“Nak habis 2024 dah, minggu ke minggu, hari demi hari janji demi janji akhirnya masuh sama sampai report dah buat, PFAM, FIFA situasi masih sama. Tak ad yang berubah.
“Boikot training dah apa lagi yang mereka perlu buat untuk dapat hak mereka semula. Mungkin yang tak lalui akan bercakap mudah hanya, tetapi hanya Tuhan saja yang tahu sebelum ni.
“kalau mereka tak buat macam ni orang tak kan nampak, biar kita tengok bulan 12 siapa yang masih ada. Mereka tak lari, cuma mereka perjuangkan kembali hak sepatutnya,” ujar sumber tersebut.
Pada masa sama, pemain juga dikatakan hanya menerima janji palsu daripada pihak bertanggungjawab untuk membayar gaji mereka setiap kali isu tersebut dipersoalkan.
Malah, situasi lebih perit mungkin akan berlaku apabila sumber tersebut menyatakan Kedah akan meneruskan musim ini tanpa seorang kelibat import bermula Disember hadapan.
Dalam kalangan pemain, ada di antara mereka dikatakan terpaksa membuat kerja sambilan seperti perkhidmatan Foodpanda untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Kira tahun ni ada pemain yang masih belum merasai gaji bulanan. Mereka sendiri tak tahu berapa amaun sepatutnya diterima. Pemain dibayar seribu atau dua ribu ringgit pada beberapa perlawanan sahaja.
“Paling banyak mungkin lima ribu ringgit, itu pun sekali sahaja. Selebihnya satu atau dua ribu ringgit sahaja. Itu pun pada aksi-aksi tertentu.
“Ada lagi teruk, pihak bertanggungjawab itu tidak kisah jika pemain tak turun latihan sekali pun, asalkan mereka datang pada hari perlawanan dah cukup,” tambah sumber tersebut.
Selain itu, Sang Kenari juga dijangka bakal beraksi pada baki saingan musim ini tanpa kelibat pemain import, apabila mereka bakal ‘angkat kaki’ lebih awal selain Nafuzi Zain turut meninggalkan pasukan itu.
“Bayangkan, sampai Nafuzi bersama Fauzi Saari sendiri terpaksa berkongsi wang mereka untuk membayar kepada pemain sebelum aksi berdepan Terengganu lalu.
“Ingatkan duit daripada pihak bertanggungjawab, habis perlawanan baru semua tahu ia datang daripada dua individu tersebut demi melihat kejayaan pasukan,” kata beliau.
Kami di Semuanya BOLA sendiri terkejut akan pendedahan daripada sumber tersebut, dengan ianya disifatkan terlalu menyayat hati buat bola sepak di negeri tersebut kini.
Semoga segala permasalahan tersebut dapat diselesaikan, atau masa depan bola sepak Kedah bakal berkubur begitu sahaja.