Quantcast

BERITA KAJIAN & FAKTA

EKSKLUSIF: Pemain Akui Gaji Skuad Piala Belia Melaka United Tertunggak

Semuanya BOLA menerima aduan daripada seorang pemain remaja mengenai skuad Piala Belia Melaka United yang masih belum menerima pembayaran gaji untuk tempoh empat bulan.

Selepas pendedahan kapten skuad Melaka United, Shukor Adan mengenai tunggakan gaji dan pengakuan Timbalan Presiden merangkap pengurus pasukan, Datuk Yusoff Mahadi, kini satu lagi isu mengenai tunggakan gaji melibatkan pemain remaja mereka.

Dimarahi pengurus apabila bertanya

Kali terakhir pembayaran gaji telah dibuat adalah untuk bulan Mei yang dibayar pada Julai lalu. Kini, memasuki bulan September dan kempen Piala Belia sudah menuju ke penghujungnya, status gaji para pemain remaja Melaka United terus menjadi tanda tanya.

Meminta namanya tidak didedahkan, pemain yang berusia dalam lingkungan bawah 19 tahun itu menjelaskan telah beberapa kali bertanyakan mengenai status gaji mereka, namun telah dimarahi oleh pihak pengurusan dipercayai pengurus pasukan tersebut.

Selain itu, menurutnya lagi, pemain-pemain yang telah menyertai pasukan pada jendela perpindahan kedua sekitar bulan Jun lalu, langsung belum pernah menerima sebarang bayaran gaji lagi. Bukan itu sahaja, gaji tahun lalu juga dikatakan masih tertunggak!

Bukan sebulan, tetapi dua atau tiga bulan sekurang-kurangnya. Bagaimana perkara sebegini boleh berlaku kepada pasukan yang cukup gah di saingan liga dan pertandingan tempatan?

Gaji tahun lepas juga ada yang tertunggak

Berdasarkan pencarian maklumat yang dilakukan, pengurus skuad Melaka United B-19 dipercayai adalah Noor Azman Rahman. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada pegawai tersebut masih bersama pasukan Melaka United atau tidak pada ketika ini.

“Dah empat bulan bos gaji pemain belia tak masuk-masuk. Last dapat bulan lima punya, itu pun bulan tujuh masuk. Sampai sekarang diam saja. Bila tanya pengurus, pengurus marah kami balik,” ujarnya kepada Semuanya BOLA menerusi hantaran mesej.

“Gaji tahun lepas pun ada lagi (tertunggak) sebenarnya. Lagi dua atau tiga bulan macam tu,” dedahnya lagi dan turut berkongsi tangkap layar paparan group WhatsApp┬áskuad Belia Melaka United.

Untuk berkongsi semua tangkap layar tersebut, rasanya ia akan mendedahkan individu yang telah memaklumkan perkara ini kepada Semuanya BOLA jadi, biarlah ianya menjadi sumber rujukan kami dan pihak yang mahukan maklumat selepas ini.

Ada yang sampai ikat perut

Tambahnya, kemungkinan ramai pemain yang akan memilih untuk meninggalkan pasukan pada musim depan kerana ada dikalangan rakan-rakannya yang terpaksa ikat perut dan ada juga yang meminta bantuan ahli keluarga untuk kelangsungan hidup.

“Semangat dan moral memang jatuh. Daripada liga belum habis sampai dah habis pun masih tiada gaji. Macamana kami nak main? Saya merasakan yang ramai akan keluar mencari pasukan lain.

“Saya rasa mereka semua ikat perut dan pilihan terakhir mereka adalah terpaksa meminta duit dari ibu bapa. Bagi yang ada rumah di Melaka, kami ada buat kerja secara part time untuk menanggung duit minyak kami ke sesi latihan,” jelasnya mengenai situasi mereka.

“Saya berharap pihak pengurusan akan lebih mengambil berat kepada skuad belia tahun ini terutamanya tentang gaji. Kami bukan sahaja ada masalah gaji, malahan dalam isu air, kelengkapan pakaian latihan dan sebagainya,” ujarnya sambil mengatakan adakalanya timbul perasaan menyesal memilih kerjaya ini.

Selepas 18 perlawanan Kumpulan A, Melaka United terperosok di dasar liga dengan mengumpul 12 mata, dua mata di belakang Selangor United B-19 dengan hanya dua kemenangan diraih.

Mungkin atas faktor tidak menerima gaji, pemain-pemain muda ini kurang bersemangat untuk meneruskan baki saingan liga. Mereka makan gaji dengan bermain bola sepak jadi, janganlah menafikan hak mereka untuk titik peluh mereka. Jika skuad remaja sudah dilayan sebegini, bagaimana masa depan bola sepak negara?

Tidak guna berbicara tentang pemain-pemain muda berdarah kacukan di luar negara yang mahu di umpan beraksi bersama skuad kebangsaan sahaja, tetapi fikirkan bersama bagaimana masa depan pemain-pemain di tanah air sendiri yang ditindas sebegini.

Diharapkan akan ada jawapan balas daripada pihak pengurusan Melaka United mengenai pendedahan ini. Mereka tidak seberani Shukor Adan yang dikenali dengan sikap tegas dan vokalnya, jadi mungkin inilah medium yang mampu mereka gunakan ketika ini.

Kredit Featured Image: MUSA