Quantcast

KAJIAN & FAKTA TEMURAMAH

EKSKLUSIF: Marcote Perjelas Isu Pallares, Hubungan Pemain, Akmal Rizal, KEPDA Dan Banyak Lagi

Terlalu banyak andaian, terlalu banyak pandangan. Itulah senario di dalam bola sepak Kedah pada ketika ini.

Sejurus selepas disingkirkan Kelantan dari saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia, Liridon Krasniqi- pemain import yang sudah beraksi bersama Kedah sejak dari era Liga Perdana menjelmakan kejutan kepada pengikut bola sepak tanah air.

Kronologi

Kenyataan terbuka pemain import dari Kosovo itu mengkritik bekas jurulatih, Nidzam Adzha mulai menimbulkan tanda tanya.

Perkara ini diikuti oleh tersebarnya video pergaduhan ketika sesi latihan membabitkan Liridon, Syazwan Zainon dan Baddrol Bakhtiar- indikasi jelas ada sesuatu yang tidak kena di dalam kem Kedah pada musim ini.

Kemudian kami menyiarkan satu artikel berjudul Sikap Berpuak Pemain, “Double Standard”, & Marcote Antara Sebab Kejatuhan Kedah yang merupakan pandangan peribadi salah seorang penyokong.

Ia turut memaparkan kronologi berdasarkan garis masa sejak ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe meninggalkan kem Kedah untuk tugasan bersama pasukan kebangsaan.

Sumber: FAM

Artikel itu turut mencetuskan lebih banyak pertanyaan, dan tidak kurang juga ada di kalangan penyokong merasakan Ramon Marcote yang menjadi punca kegagalan Kedah pada musim ini.

Enggan menyebelahi mana-mana pihak, jauh sekali bermaksud untuk menuding jari, kami berjaya menghubungi bekas ketua jurulatih Kedah, Ramon Marcote yang kini berada di Madrid, Sepanyol untuk mendapatkan penjelasan terus daripada beliau.

Tawaran Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA)

Nama Ramon Marcote sebenarnya tidak asing di kalangan penyokong bola sepak Kedah.

Pernah bergelar pembantu kepada Tan Cheng Hoe pada musim 2015, jurulatih ini membantu skuad Lang Merah bergelar juara Liga Premier dan naib juara Piala Malaysia pada musim yang sama.

Bersama Mehmet Durokovic menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2015

Bagaimanapun pada musim berikutnya, Marcote kembali ke Sepanyol atas 2 sebab.

Pertama, beliau mahu berada di sisi keluarga kerana isteri beliau bakal melahirkan anak kedua mereka.

Kedua, tawaran oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) pada ketika itu tidak dapat meyakinkan Marcote kekal di Kedah, sebelum beliau meneruskan kerjaya jurulatih bersama kelab La Liga, Atletico Madrid.

Marcote mendedahkan KFA cuba mendapatkan khidmat beliau pada April 2017 apabila Tan Cheng Hoe memutuskan menjadi pembantu jurulatih Harimau Malaya.

“Pada April 2017, selepas jurulatih Tan Cheng Hoe sah akan menyertai pasukan kebangsaan, KFA ada menghubungi saya dengan tawaran sebagai ketua jurulatih.

“Sudah tentu saya perlu meneliti tawaran untuk kembali menyertai Kedah kerana saya bersama Atletico pada ketika itu.

“Akhirnya saya terpaksa menolak tawaran tersebut kerana gagal mencapai persetujuan mengenai tempoh kontrak. KFA menawarkan kontrak selama 6 bulan, iaitu sehingga tamat musim 2017.,” jelas Marcote.

Walaupun menolak tawaran KFA, Marcote mengakui dirinya menghargai tawaran tersebut kerana ia tanda kepercayaan yang diberikan oleh KFA kepada beliau.

Namun pada November 2017, KFA turut menghubungi beliau sekali lagi.

“Kali ini kami berbincang, dan akhirnya bersetuju dengan segala terma menjelang akhir November. Saya kemudiannya tiba di kedah pada 5 Disember 2017,” ujar jurulatih tersebut ketika mengimbau kembali detik beliau kembali bersama skuad Lang Merah.

Marcote nak Ilso, KFA ada pilihan mereka

Antara perkara yang perlu dilaksanakan oleh Marcote apabila kembali menyertai Kedah ialah untuk mencari pemain import yang sesuai untuk Lang Merah.

Menjawab soalan mengenai siapa yang bertanggungjawab membuat pemilihan pemain import itu, Marcote menjelaskan:

Foto: KFA

“Apabila saya tiba di Kedah, KFA tidak mempunyai pengurus pasukan. Saya difahamkan beliau telah meninggalkan jawatan tersebut.

“Oleh kerana itu, sebarang perbincangan mengenai pengambilan pemain import saya terpaksa melalui individu yang boleh membuat keputusan di dalam KFA.

“Semua sedia maklum terdapat dua kekosongan pemain import pada ketika itu yang perlu diisi. Manakala kakitangan lain termasuk kakitangan teknikal sudah pun diisi oleh KFA sendiri.

Kedah player (Ken Ilso Larsen) and Pahang pgoalkeeper (Wan Muhammad Azree) in action during Super League match between Kedah FA and Pahang at Darulaman Stadium on 11th February 2017. Photo by Norazmi Ibrahim / www.asiana.my

“Pada perbincangan pertama saya bersama pihak pengurusan, saya memohon agar Ken Ilso dikekalkan. Ini kerana saya berpendapat pemain ini beraksi cemerlang pada musim sebelumnya.

“Namun atas sebab yang saya tidak ketahui, nama Ken Ilso tidak ada di dalam perancangan KFA pada musim 2018. Dari situ, bermulalah proses pencarian penyerang baharu.

“Saya akui ada beberapa nama dan pilihan untuk Kedah, dan akhirnya Pablo Pallares menjadi pilihan.

“Keputusan akhir mengenai pemain yang akan diambil atau tidak untuk beraksi bersama Kedah sentiasa menjadi milik KFA,” jelas beliau lagi.

Foto: Goal

Marcote juga mengakui nama Alvaro Silva juga adalah nama yang dicadangkan beliau untuk menggantikan Zach Anderson yang memilih untuk menyertai PKNS FC pada awal musim 2018.

Sebab utama Alvaro menjadi pilihan ialah kerana pemain tersebut memiliki passport ASEAN, mempunyai pengalaman beraksi di Asia, dan kerana pengalaman dan keupayaan pemain ini yang pernah beraksi di Liga Sepanyol.

Penjelasan oleh Marcote ini sekaligus menafikan desas desus yang menyatakan kehadiran dua pemain ini sebagai antara syarat beliau akan menerima jawatan sebagai ketua jurulatih Kedah.

Prestasi Pallares bersama Kedah

Bercakap mengenai Pallares, kami turut bertanya mengenai prestasi pemain import dari Sepanyol itu yang menerima banyak kritikan daripada penyokong Kedah.

Bagi Marcote, Pallares dan juga Alvaro adalah dua pemain yang sangat profesional, namun mengakui penyerang kelahiran Sepanyol itu berhadapan kesukaran menyesuaikan diri di Kedah.

Sumber: KFA, Facebook.

“Mengenai Pallares, masalah utama beliau sejak dari mulanya ialah semua pihak sering mempertikaikan keupayaan beliau. Perkara ini mewujudkan persekitaran yang sukar untuk pemain ini.

“Beliau adalah pemain yang sedang cuba menyesuaikan diri dengan negara baru, budaya dan bahasa yang berbeza. Beliau berhadapan dengan cabaran yang sukar.

“Secara statistik, prestasi Pallares tidaklah buruk. Sepanjang beliau bersama Kedah, beliau telah beraksi di dalam 10 perlawanan, dan menjaringkan tujuh gol.

“Empat daripada jaringan tersebut hadir dari perlawanan persahabatan pra musim, dan tiga lagi melalui lima perlawanan Liga Super.

“Sebenarnya Pallares bukan jenis pemain yang penyokong Kedah harapkan. Penyokong mahukan seorang pemain yang sentiasa mampu melepasi pemain lawan, seorang pemain yang boleh menggelecek, atau jenis pemain yang boleh beraksi dengan gaya menakjubkan.

Aksi Pablo Pallares ketika menentang PKNP FC. FOTO: KFA

“Pada ketika itu Kedah sebenarnya sudah ada dua pemain dengan ciri-ciri tersebut, iaitu Sandro [Da Silva] dan juga Liridon [Krasiniqi].

Ketika diminta penjelasan apakah beza Pallares dengan pemain lain seperti Sandro yang turut berada di posisi penyerang, Marcote menjawab:

“Pallares adalah pemain dengan ciri yang berbeza. Beliau adalah pemain yang memiliki keupayaan tandukan, gerakan taktikal menarik, dan mampu mencipta ruang.

Foto: KFA

“Beliau adalah pemain yang mampu menjaringkan gol kerana pasukan ini mempunyai pemain lain yang mampu menghasilkan peluang jaringan seperti Sandro dan Liri.

“Begitu juga dengan kelompok pemain lain seperti Baddrol [Bakhtiar], Syazwan [Zainon], Akhyar [Rashid], Andik [Vermansyah] dan Farhan [Mohd].

“Pemain-pemain ini dan berdasarkan keupayaan pemain sayap di dalam pasukan, mereka sepatutnya mampu menghasilkan bantuan gol untuk Pallares.

Penyerang Kedah, Pablo Pallares menanduk masuk gol penyamaan ketika menentang Kuala Lumpur di Stadium KLFA, Cheras. (Foto: Kedah FA)

“Tetapi sejak ketibaan beliau di Kedah, ia sudah sukar buat Pallares. Dan akhirnya beliau gagal mendapat sokongan penyokong.

“Saya sebenarnya tidak perlu untuk mempertahankan pemain ini. Tetapi semua orang harus tahu, beliau tidak berada dalam situasi yang adil buat dirinya di Kedah,” jelas Marcote mengenai penyerang import tersebut.

Pallares juga akhirnya meninggalkan Kedah selepas Marcote pergi. KFA kemudiannya memilih untuk membawa masuk Paulo Rangel pada jendela perpindahan pertengahan musim.

Benarkah Marcote amalkan ‘double standard’?

Antara cakap-cakap di media sosial mengenai Marcote ialah sikap pilih kasih yang beliau amalkan di kalangan pemain tempatan dan juga pemain import.

Ada dakwaan mengatakan Marcote melabel pemain tempatan sebagai pemalas, dan tahap kecergasan mereka turut dipersoalkan.

Itu dikatakan menjadi salah satu sebab mengapa pemain tempatan dipaksa untuk menjalani latihan (kecergasan) tambahan, manakala pemain import dikecualikan dari menjalani latihan yang sama.

Pablo Pallares menjadi taruhan skuad Kedah untuk merobek gawang Kuala Lumpur. FOTO: KFA

“Ia tidak benar sama sekali. Jika anda mahu tahu, ada pemain import yang datang kepada saya untuk meminta latihan kecergasan sebagai tambahan kepada latihan sedia ada.

“Stefano [Impagliazzo] betanggungjawab menjalankan latihan tambahan tersebut apabila pemain melakukan permintaan.

“Kebiasaanya latihan dilakukan selepas pemain kembali dari kecederaan. Semua pemain boleh melakukan sedikit latihan tambahan. Tidak ada perbezaan di antara pemain tempatan atau pun pemain import untuk ini,” jelas Marcote.

Foto: KFA

Ditanya mengenai adakah benar terdapat kelompok pemain tempatan dan senior tidak senang akan kehadirannya di Kedah, Marcote mengakui beliau tidak sedar akan perkara itu.

“Saya tidak tahu mengenai perkara itu. Tidak ada sesiapa memberikan indikasi sedemikian kepada saya.

“Tetapi anda jangan lupa. Pasukan ini mempunyai 27 pemain kesemuanya. Mustahil untuk saya membuatkan semua 27 pemain gembira dan berpuas hati,” tambah Marcote lagi.

Isu keharmonian di dalam pasukan dan Liridon Krasniqi

Berdasarkan video pergaduhan pemain ketika sesi latihan yang menjadi tular, ia mendorong kami untuk bertanya mengenai keharmonian pemain di dalam pasukan Kedah.

Terdapat juga dakwaan mengatakan pemain import tidak disenangi di kalangan pemain tempatan. Ini penjelasan Marcote:

“Sebagai jurulatih, ia adalah tanggungjawab saya untuk menuntut sepenuh komitmen daripada pemain agar mereka boleh menampilkan prestasi terbaik untuk pasukan ketika perlawanan.”

Marcote mengendalikan sesi latihan pasukan Kedah semalam. (Gambar: KFA)

“Seperti yang saya katakan tadi, pasukan ini mempunyai 27 pemain yang memiliki personaliti dan karakter yang berbeza.

“Akan ada kelompok pemain yang selesa sesama mereka. Ini adalah perkara biasa di mana-mana pasukan.

“Jika benar wujudnya masalah di kalangan pemain, saya yakin perkara itu sebenarnya timbul sebelum ketibaan saya, atau dari musim sebelumnya.

“Anda harus tahu satu perkara. Rata-rata pemain ini adalah pemain yang sama dari musim sebelumnya. Jika ada tambahan, ianya hanya tiga pemain iaitu Alvaro, Pablo dan Andik,” jelas Marcote lagi mengenai perkara tersebut.

Ditanya mengenai tindakan oleh Liridon yang mengecam Nidzam Adzha baru-baru ini, ini jawapan Marcote:

“Mengenai kenyataan Liridon, saya tidak mempunyai komen. Ia bukan berlaku ketika era saya. Terpulang kepada KFA untuk menanganinya,” tambah beliau lagi.

Tidak bagi peluang kepada pemain muda

Marcote turut menafikan beliau tidak memberikan peluang secukupnya untuk pemain muda menyerlah bersama pasukan utama ketika bergelar ketua jurulatih Lang Merah.

“Ketika pra musim kami memberikan peluang kepada beberapa pemain seperti Muhd Asri,  Mohd Hidir, Mohd Zafuan dan Mohd Nor Fiqrie.

“Asri kemudiannya beraksi di tiga perlawanan pertama Liga Super. Hiddir turut beraksi dalam perlawanan menentang JDT.

“Akhyar Rashid sentiasa diberi peluang untuk membarisi pasukan utama.

“Ia tidak benar kami tidak memberikan peluang kepada pemain muda di dalam pasukan utama. Jika pemain tersebut tidak diserap ke skuad utama atau berada di dalam kesebelasan utama, itu kerana kami berpendapat mereka belum bersedia.

Marcote sedang mengendalikan sesi latihan Kedah. Foto: Facebook KFA

“Anda harus melindungi pemain muda anda. Tidak guna menurunkan mereka jika belum bersedia sepenuhnya, hanya untuk dikecam penyokong jika gagal menampilkan aksi yang diharapkan.

“Pemain muda harus dilindungi daripada menerima tekanan sedemikian rupa,” jelas Marcote.

Ada apa dengan Akmal Rizal?

Dalam temubual ini, Marcote turut menyentuh hubungan beliau dengan semua pihak sepanjang berada di Kedah, termasuk bekas pemain, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Sebenarnya melalui satu keratan akhbar oleh Berita Harian, yang turut pernah kami siarkan, Marcote terkejut dengan kenyataan bekas pemain itu yang menyokong tindakan KFA merehatkan beliau.

“Hubungan saya bersama pemain, pengurusan, dan setiap individu di KFA sentiasa baik. Saya tidak menghadapi masalah dengan sesiapa dan menghormati semua pihak.

Malah Marcote berpendapat kenyataan oleh Akmal mengenai dirinya tidak menggambarkan keadaan sebenar yang dilaluinya.

“Saya tahu Akmal Rizal ialah bekas pemain Kedah. Kami pernah beraksi bersama-sama dalam perlawanan persahabatan di antara bekas pemain.

“Hubungan kami adalah baik. Kami tidak pernah mempunyai sebarang masalah. Kerana itu saya tidak faham mengapa Akmal mengkritik saya sebegitu rupa,” ujar Marcote.

Ketika didesak oleh kami mengapa Akmal bertindak sedemikian menurut pendapat beliau, akhirnya Marcote mendedahkan sesuatu.

“Pada 24 Julai 2018, selepas saya kembali ke Sepanyol iaitu setelah mencapai persetujuan mengenai penamatan kontrak bersama KFA, saya menyemak sebuah akaun email lama milik saya.

. Mandatory Credit: Stanley Chou/ALLSPORT

“Ia bukan email yang sering saya gunakan. Dan di dalam email tersebut, saya menemui satu email bertarikh 30 November 2017 (7 bulan sebelum itu), yang dihantar oleh Akmal Rizal kepada saya.

“Di dalam email tersebut, beliau memaklumkan sudah tahu akan keputusan KFA yang melantik saya sebagai Ketua Jurulatih Kedah.

“Beliau mengucapkan tahniah kepada saya. Tetapi pada masa yang sama, Akmal turut memohon untuk menjadi pembantu jurulatih.

“Saya tidak tahu. Beliau mungkin berpendapat saya tidak pedulikan permohonan beliau. Mungkin kerana kecewa, ia mendorong beliau mengkritik saya sebegitu rupa.

“Realitinya ia bukan begitu. Saya terlepas membaca email tersebut. Tetapi Akmal ialah individu yang mempunyai pertalian dengan KFA dan beliau sepatutnya dengan mudah boleh mendapatkan email rasmi atau nombor telefon saya.

“Saya menghormati setiap orang. Jadi jika ada email daripada bekas pemain Kedah, sudah pasti saya akan memberikan jawapan,” jelas Marcote

Namun Marcote turut menjelaskan ia tetap sukar untuk melantik Akmal Rizal sebagai pembantu beliau walaupun jika beliau mahukan bekas pemain kebangsaan itu.

“Pada ketika itu KFA sudah menentukan kakitangan teknikal yang lain. Nidzam ialah pembantu jurulatih. Stefano ialah jurulatih kecergasan.

“Kemudian kami turut mempunyai Azzmi Aziz dan juga Megat Amir Faisal sebagai jurulatih penjaga gol. Masing-masing sudah mempunyai kontrak dengan KFA.

“Jujurnya saya tidak pernah diberikan peluang untuk memilih kakitangan teknikal saya sendiri, dan sudah tentu turut tidak boleh memilih Akmal Rizal.

“KFA tidak pernah memberi pilihan untuk mengubah atau melantik kakitangan teknikal yang berada di dalam pasukan kepada saya,” jelas Marcote lagi.

Pihak Semuanya BOLA sudah menghubungi Akmal Rizal berkenaan isu ini. Dan kami akan cuba menyampaikan kepada anda maklum balas daripada beliau. Teruskan mengikuti semuanyaBOLA untuk tidak terlepas isu ini.

Tolak tawaran Pengarah Pembangunan Bola Sepak Kedah

Marcote turut mengakui beliau menerima tawaran sebagai Pengarah Pembangunan Bola Sepak Kedah selepas peranan beliau sebagai ketua jurulatih diambil oleh Nidzam.

Namun Marcote menolak tawaran tersebut, dan beliau mempunyai alasan tersendiri untuk bertindak sedemikian.

“Sebab utama dan alasan pertama saya menolak ialah kerana saya menyertai KFA sebagai ketua jurulatih pasukan Liga Super.

“Itu adalah tugasan yang membuatkan saya ke sini. Itulah juga tugasan yang menyebabkan saya banyak berkorban secara peribadi termasuk berjauhan daripada keluarga.

“Mungkin jika saya dilantik ke jawatan tersebut atas sebab-sebab lain, saya mungkin menerimanya.

“Tetapi setelah diarahkan meninggalkan jawatan sebagai ketua jurulatih  yang sebabnya sukar untuk saya fahami, saya mengambil keputusan untuk menolak.

“Kaedah KFA melucutkan saya dari jawatan ketua jurulatih sebenarnya tidak mengikut cara seperti yang terkandung di dalam kontrak.

“Tetapi kerana saya sayangkan Kedah, dan juga demi menjaga hubungan baik dengan KFA serta penyokong, saya memutuskan ianya diselesaikan secara perbincangan dengan sebaik mungkin tanpa perlu pergi ke mahkamah.

“Saya juga tidak mahu ketibaan presiden baru turut dipalit dengan permasalahan ini. Saya menghormati Presiden KFA yang baru, Dato’ Seri Haji Mukhriz bin Mahathir, yang juga merupakan presiden ketika saya bersama KFA pada 2015.

“Ia perbincangan yang sukar untuk mencapai persetujuan dengan KFA. Kami bertemu banyak kali, dan akhirnyas selepas tiga bulan, kami menemui penyelesaian yang adil untuk semua pihak.

“Saya ingin tekankan bahawa saya tidak ada apa-apa masalah dengan sesiapa di Kedah, termasuk KEPDA, walaupun saya tidak kenal siapa mereka. Tetapi saya menghormati penyokong yang mahu melontarkan pandangan mereka,” jelas Marcote.

Intipati kejayaan bagi Marcote

Bagi Marcote, untuk sesebuah pasukan itu kekal kuat sebagai satu unit ketika sedang dilambung dengan kejayaan adalah perkara yang mudah.

Namun kekuatan sesebuah pasukan diuji ketika prestasi dan keputusan tidak memihak kepada mereka. Di sini kefahaman di antara semua pihak dituntut.

Misalnya, pemain harus menyedari akhirnya seorang jurulatih harus mengambil keputusan yang mungkin tidak digemari oleh pemain. Pada masa sama, jurulatih turut harus menghormati posisi seseorang pemain.

Manakala pengurusan harus menghormati dan memberi kebebasan kepada jurulatih untuk melaksanakan amanah yang diberi dengan sepenuh kepercayaan.

Jurulatih, pemain, pengurusan dan penyokong sepatutnya kekal bersama di saat sukar jika percaya akan projek yang mereka mahu implementasikan.

Semua itu harus dilakukan berdasarkan peraturan dan garis panduan yang diberikan pengurusan, kerana bagi Marcote tidak ada orang lain yang lebih besar daripada kelab dan pasukan.

Marcote turut menjelaskan setiap perkara memerlukan masa untuk dilaksanakan, termasuklah perkara-perkara seperti kefahaman dan asimilasi kepada konsep, koordinasi, keserasian pemain, penerapan taktikal, strategi dan penambahbaikan fizikal.

Untuk semua itu dilaksanakan dengan jayanya, mustahil sesebuah pasukan mampu menghasilkan keputusan sekelip mata, dan turut bergantung kepada faktor seperti kecederaan pemain, tempoh pemain untuk menyesuaikan diri dan sebagainya.

Bagi Marcote, beliau sentiasa jujur dan mahu bersikap profesional dalam apa saja yang beliau lakukan. Setiap tugasan harus dilakukan dengan jujur supaya penyokong boleh berbangga dengan pencapaian pasukan satu hari nanti.

Kerana bagi beliau, tidak akan ada bola sepak tanpa penyokong. Sebagai bekas pengendali, Marcote turut masih mempunyai harapan kepada pasukan Kedah.

“Saya berharap pengurusan KFA yang baru boleh mewujudkan pelan pembangunan untuk Kedah. Mereka memiliki ramai pemain muda berbakat.

“Ini kekuatan utama pasukan ini, iaitu menghasilkan ramai pemain muda tempatan yang berkualiti.

“Tetapi ianya penting untuk pasukan seperti Kedah memiliki falsafah bola sepak mereka sendiri, gaya permainan, metadologi, dan sudah tentu mereka memerlukan individu yang sesuai untuk mengendalikan semua itu.

“Kedah perlu lebih yakin akan projek yang mereka mahu hasilkan,” ujar Marcote.

Apakah kemungkinan untuk Marcote kembali ke Malaysia?

Ditanya mengenai kemungkinan beliau akan kembali ke Malaysia sebagai jurulatih, ini jawapan beliau:

“Sudah tentu. Jika ada pasukan yang berminat untuk medapatkan khidmat saya, mengapa tidak.

“Malaysia ialah sebuah negara yang makmur dengan penduduknya yang ramah. Ia sebuah negara yang menarik untuk dilawati.

“Saya sayangkan Malaysia.

“Sekarang ini saya mencari pasukan baru untuk disertai. Asia ialah sasaran utama, termasuklah Malaysia,” jelas Marcote kepada kami.

Penutup

Hari ini Ramon Marcote menikmati kehidupan bersama keluarganya di Madrid, Sepanyol.

Pada masa yang sama, beliau melanjutkan pelajaran di dalam bidang kejurulatihan, dan sedang menyiapkan thesis untuk pengajian peringkat doktorat di sebuah universiti.

Artikel ini bukan bertujuan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak. Tetapi sekadar perkongsian kepada setiap daripada kita, khususnya penyokong bola sepak tanah air untuk renungan bersama.

Selamat maju jaya coach. Todo lo mejor para el futuro, Ramon Marcote.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!