Perak yang dilihat kembali bangkit menerusi rombakan baharu mereka jelas menjadi salah satu pasukan tumpuan untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim hadapan.
Menerusi kejurulatihan baharu iaitu Lim Teong Kim, jelas pasukan tersebut mahu mencipta suatu DNA baharu dengan memperkenalkan lebih banyak bakat-bakat muda mereka kali ini.
Salah seorang pertahanan baharu mereka iaitu Ahmad Haziq bin Ahmad Puad mempunyai pandangan beliau tersendiri mengenai Teong Kim, setelah beliau merasai sendiri bawah kejurulatihan pengendali tersebut.
Menurut Haziq, jurulatih tersebut mempunyai sisi keunikan tersendiri untuk membuatkan para pemain terutama bakat-bakat muda tidak pernah merasa tersisih dalam sesi latihan.
Teong Kim disifatkan sebagai seseorang yang sangat ramah dan mudah dibawa berbincang selain mempunyai dua sisi berbeza di atas padang dan selepas sesi latihan atau perlawanan dihadapi.
“Atas padang, beliau ni memang tegas dan banyak nasihat-nasihat diberi untuk kami sepanjang sesi latihan untuk tampil lebih baik.
“Teong Kim punya falsafah dia nak pemain mengamalkan corak permainan pantas dengan intensiti tinggi dipamerkan oleh setiap pemain.
“Tapi ada satu sisi yang berbeza sepanjang karier saya sebagai pemain tengok cara Teong Kim punya cara, iaitu dia beri ruang buat pemain untuk menentukan sendiri keputusan ketika bola di kaki. Dia tak akan menekan keputusan pemain,” jelas Haziq kepada kami.
Kenali Ahmad Haziq, Daripada Hampir Bergelar Jurulatih Kini Kembali Bersinar Selaku Pemain Profesionalhttps://t.co/ZQzLOaP3fl
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) January 28, 2023
Pada masa sama, Haziq akui setiap hari akan ada perbincangan dibuat oleh Teong Kim bersama barisan pemain sebelum sesi latihan bermula.
Lebih menarik, tanpa mengira usia setiap pemain diberi ruang untuk berkongsi pendapat dan idea serta mengambil nasihat berguna daripada Teong Kim untuk tampil lebih baik.
Haziq juga menjelaskan Teong Kim membawa budaya yang sangat bagus dari Eropah selain mengenai cara kerja beliau di padang, iaitu menjalinkan hubungan positif bersama para pemain.
Beliau juga mengakui tidak kekok untuk berbicara bersama Teong Kim yang sangat mesra kepada semua pemain setiap kali selesai sesi latihan supaya mereka selesa bersamanya.
Musim ini menjadi detik pertama kali buat Haziq menyarung jersi Perak, selepas tampil cemerlang bersama Melaka United pada musim lalu.
Memiliki aset fizikal yang tegap, Haziq juga tampil dengan keupayaan sangat baik untuk membaca gerakan lawan sebelum menutup ruang dengan lebih cepat.
Berdasarkan konsistensi beliau pada musim lalu, pastinya Haziq akan menjadi salah satu aset penting buat Teong Kim untuk memburu slot kesebelasan utama bersama Perak.