EKSKLUSIF: Flávio Beck Júnior Sedia ‘Hobin’ Liga Malaysia Bersama Negeri Sembilan

Flávio Beck Júnior bukan David Beckham walaupun mempunyai nama gelaran yang sama dengan sebutan ‘Beck’.

Lincah dan mempunyai visi yang tinggi dalam permainan, mempunyai kebolehan menyempurnakan bola mati yang menakjubkan, serta mampu menghasilkan hantaran-hantaran tepat buat rakan sepasukan untuk menjaringkan gol.

Demikianlah deskripsi yang boleh diberikan kepada bekas kapten England, David Beckham yang memulakan karier di Manchester United, sebelum terus mencipta nama dengan Real Madrid, LA Galaxy, AC Milan dan juga Paris Saint-Germain.

Ketika Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) mengumumkan senarai pemain untuk saingan Liga Malaysia 2018 di Klana Resort, Seremban semalam, kami tertarik dengan anggota baru skuad Hobin Jang Hobin, Flávio Beck Júnior.

Profil pemain 

Flávio Beck Júnior adalah pemain import terbaru skuad Negeri Sembilan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2018. Flávio dilahirkan di Augusto Pestana, Brazil pada 14 Mac 1987.

Sepertimana anak muda di Brazil yang lain, karier bola sepak Flávio bermula di salah sebuah akademi bola sepak di Brazil bersama kelab Gremio.

Kredit: Borneo FC

Gremio adalah sebuah kelab bola sepak di saingan Campeonato Brasileiro Série A dan pernah menghasilkan pemain-pemain terhebat dunia seperti Ronaldinho, Gilberto Silva, Anderson, Douglas Costa dan juga Maicon.

Pada usia 17 tahun, Flávio turut pernah tampil dalam beberapa kejohanan bersama skuad Brazil B-17 tahun.

Tamat tempoh menuntut ilmu di Gremio, Flávio mulai memburu impian sebagai pemain bola sepak profesional di Eropah bersama NL Solon di Liga Croatia.

Kredit: Borneo FC

Pada usia 19 tahun, Flávio telah membuat sejumlah 30 penampilan dan menjaringkan 6 gol sepanjang dua musim bersama Solin sebelum berhijrah ke beberapa buah kelab di sekitar eropah, termasuk ke Jerman, Albania, Montenegro dan Slovenia.

Flávio turut pernah beraksi bersama juara Slovenia, NK Maribor pada 2010, tampil di dalam 14 perlawanan kompetitif sebelum berhijrah ke Iran bersama Bargh Shiraz Football Club untuk pengalaman pertama beraksi di Asia.

Borneo F.C (Liga 1 Indonesia)

Sebelum disunting oleh Negeri Sembilan, Flávio telah beraksi selama dua musim di Liga 1, Indonesia pada musim 2016 dan 2017.

Sepanjang tempoh itu, Flávio telah tampil dalam 49 perlawanan kompetitif, dan menjaringkan 14 gol untuk kelab yang berpengkalan di Samarinda, Kalimantan Indonesia tersebut.

Pada musim lalu, Flávio tampil sebagai penjaring terbanyak Borneo FC dengan 7 gol. Hakikat yang sebenarnya ialah Flávio adalah seorang pemain tengah, dan menghasilkan 5 bantuan gol, menjadikan pemain ini pujaan ribuan penyokong Borneo FC.

Hangat diperkatakan akan menyertai Arema FC selepas disahkan akan meninggalkan Borneo FC, akhirnya pasukan Liga 1 berpengkalan di Malang, Indonesia terpaksa menggigit jari apabila Flávio memilih untuk menyertai Negeri Sembilan.

Analisis Taktikal

Secara asasnya, pemain berusia 30 tahun ini adalah seorang pemain tengah klasik (central midfielder). Namun demikian ketika beraksi bersama Borneo FC pada musim lalu, adakalanya beliau diberikan peranan sebagai pemain tengah bertahan.

Ini adalah kerana kebolehan Flávio untuk membaca permainan lawan, sekaligus membenarkan beliau melakukan pintasan bola (intercept), menjadikan beliau sebagai aset buat pengendali, Iwan Setiawan di posisi tersebut.

Sumber: Transfermart

Flávio juga berkebolehan untuk beraksi di posisi sayap sekiranya diarahkan untuk berbuat demikian, kerana mempunyai kekuatan untuk menggunakan kedua-dua belah kaki.

Dari posisi tengah tersebut, Flávio juga bijak melakukan serangan balas pantas ke pertahanan lawan dengan hantaran-hantaran tepat mencari rakan di bahagian serangan, atau pun melalui larian-larian deras dengan kebolehan skill individu yang dimilikinya.

Ketika ditanya oleh wakil kami, Flávio mengakui bahawa posisi kegemarannya adalah sebagai pemain tengah menyerang atau pun beraksi sebagai pemain No.10 di belakang seorang penyerang utama.

Posisi tersebut membenarkan dirinya untuk mengekspresikan kreativiti sebagai pemain, dan juga untuk melakukan jaringan jika memperolehi peluang.

Anda boleh menyaksikan sebahagian daripada aksi Flávio Beck Júnior bersama bekas pasukannya melalui video di atas.

Antara kelebihan yang dimiliki oleh pemain ini ialah kebolehan menyudahkan bola mati, dan memiliki hantaran bola jauh yang tepat persis legenda England, David Beckham.

Cita-cita bersama Negeri Sembilan

Bagi Flávio, Malaysia adalah sebuah negara yang indah dengan kepelbagaian, di mana rakyatnya sangat meminati sukan bola sepak.

Saingan Liga Malaysia juga merupakan antara yang paling kompetitif di rantau ini, dengan beberapa pasukan mulai menunjukkan cita-cita untuk bangkit bagi saingan 2018, termasuk Negeri Sembilan.

Itu adalah perkara pertama yang dinyatakan oleh Flávio ketika ditanya mengenai Malaysia. Ketika ditanya oleh wakil kami, mengapakah Negeri Sembilan menjadi pilihan untuk meneruskan karier profesionalnya, Flávio menjawab ia adalah kerana cabaran.

“Jika anda mengikuti perkembangan bola sepak di sini, maka Negeri Sembilan adalah salah sebuah kelab yang bagus di Malaysia. Pasukan ini mempunyai barisan pemain yang bagus dan berkebolehan.”

“Saya tahu bahawa Negeri Sembilan tidak memenangi sebarang kejuaraan sejak 7 tahun yang lalu. Itulah yang saya cari. Saya mahukan cabaran. Saya mahu menguji diri saya. ”

“Kerana itulah saya memilih untuk ke Negeri Sembilan apabila diberikan peluang berbuat demikian. Saya mengharapkan pada akhir musim, kelab bola sepak ini mampu memenangi trofi untuk penyokong mereka.” ujar Flávio.

Sejak tiba di Malaysia, bekas pemain Borneo FC ini hanya mempunyai pujian untuk pasukan barunya dan Malaysia.

“Saya selesa berada di sini bersama-sama rakan sepasukan. Bagi rakyat Malaysia khususnya penyokong Negeri Sembilan, saya mahu anda tahu bahawa saya sangat menghargai apa yang anda ada di sini.”

“Negara anda mempunyai banyak tempat menarik untuk dilawati, juga mempunyai pelbagai makanan yang lazat, dan penduduk yang berbilang kaum dan gilakan bola sepak.”

“Untuk Negeri Sembilan, saya berharap saya mampu membalas kepercayaan anda dengan beraksi sebaik mungkin dalam setiap perlawanan untuk membantu pasukan ini memenangi trofi,” tekad Flávio.

Penutup

Buat penyokong Negeri Sembilan, ini mesej untuk anda: Saikek sakabek arek, sapacik saganggam mati.

Untuk sebuah pasukan bola sepak mengejar kejayaan, semua pihak termasuk penyokong harus bersama-sama bersatu hati dalam mengejar impian tersebut. Kami percaya Stadium Paroi akan kembali bergema selepas ini dengan kehadiran anda.

Buat Flávio Beck Júnior dan Negeri Sembilan, kami di Semuanya BOLA mengucapkan selamat maju jaya untuk saingan Liga Malaysia 2018.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN