Pemain warisan negara, David Rowley mempunyai sasaran tersendiri pada musim 2024/2025 dalam aksi Liga Malaysia (Liga M) bersama Sri Pahang apabila beliau mahu meledak lebih banyak gol buat pasukan itu.
Terdahulu, Rowley menjadi antara pemain yang menyambung kontrak baharu bersama Sri Pahang selepas beliau menyertai kelab tersebut sejak musim 2022 dan memilih kekal untuk saingan hadapan.
Bawah kendalian Fandi Ahmad, Rowley telah diletakkan di beberapa posisi sebelum itu dan pemain tersebut mengakui diberi peranan musim ini di bahagian serangan utama Tok Gajah.
Sejak beberapa aksi persahabatan lalu lagi Rowley sudah pun diberi peluang beraksi di posisi serangan utama Sri Pahang, termasuk perlawanan terbaharu ketika mereka menghadapi Terengganu di Stadium
Pada aksi tersebut, pemain tinggi lampai itu dibawa masuk pada pertengahan separuh masa kedua untuk bertindak selaku penyerang utama serta memberikan beberapa impak positif walau tidak meledak gol.
“Ya, saya akan bertindak selaku pemain penyerang pada musim ini bersama Sri Pahang. Saya sangat suka untuk meledak gol buat pasukan dan berharap dapat menjaringkannya dengan banyak terutama pada minit akhir seperti dibuat pada tahun lalu sewaktu berdepan Negeri Sembilan.
“Sasaran peribadi saya pada musim ini adalah untuk meledak lebih banyak gol serta memastikan pasukan ini memperoleh mana-mana kejuaraan,” ulas Rowley kepada Semuanya BOLA.
Ini menjadi sesuatu yang sangat menarik untuk diperkatakan kerana jika dilihat pada aksi-aksi beliau musim lalu, pemain tersebut lebih banyak bertindak di bahagian tengah.
Namun, Fandi jelas mempunyai percaturan lebih baik selepas melihat kepada kualiti dimiliki Rowley buat Tok Gajah pada musim ini.
Sepanjang bersama Sri Pahang, Rowley sudah pun meledak sembilan gol secara keseluruhan serta turut menghasilkan tiga bantuan jaringan dan rekod jaringan itu dijangka akan terus bertambah musim ini.
Pada masa sama, pemain berusia 34 tahun itu turut meletakkan harapan sangat tinggi buat Sri Pahang musim ini dan tidak sabar untuk memulakan saingan liga.
Bekas perancang tengah Harimau Malaya itu juga menganggap Fadhli Shas, Adam Nor Azlin, serta Azwan Aripin sebagai pemain yang memiliki potensi besar untuk dipanggil menyertai kem kebangsaan bawah kendalian Kim Pan-gon.
“Pasukan ini mempunyai ramai pemain tempatan berkualiti tinggi. Saya dapat rasakan Fadhli, Adam, dan Awe adalah pemain berpengalaman dan mampu membantu pasukan kebangsaan.
“Kim merupakan seorang jurulatih yang sangat teliti dengan pemilihan beliau dan saya pasti beliau mengenali para pemain tersebut,” ulas Rowley akhir sekali.