Pemain tengah Sri Pahang iaitu David Rowley akui dirinya mempunyai motivasi sangat tinggi ketika ini, setelah dua gol dijaringkan beliau sewaktu menentang Negeri Sembilan mengesahkan kemenangan pasukan tersebut.
Lebih manis, kemenangan itu juga menyaksikan Rowley diangkat sebagai wira apabila dua ledakan gol yang dihasilkan beliau berjaya menewaskan salah seorang penjaga gol terbaik musim ini, Ahmad Syihan Hazmi.
Persembahan terakhir untuk Liga Super 2022, Sri Pahang FC berjaya membawa pulang 3 mata penuh! #WhereLegendsAreBorn #extrajossmalaysia #hakkaclo #PosMalaysia pic.twitter.com/NsntvHy5A4
— Sri Pahang FC (@OfficialPahang) October 15, 2022
Pada musim ini dalam saingan Liga Super juga, Rowley telah pun mengumpul enam gol secara keseluruhan sebagai salah seorang penjaring berbisa untuk Sri Pahang.
Menurut Rowley, beliau menyatakan posisi sebenarnya merupakan penyerang utama sebelum beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
“Sebelum itu, saya merupakan seorang yang beraksi sebagai penyerang. Namun, selepas tiba di Malaysia kebanyakan jurulatih melihat saya lebih sesuai beraksi di posisi tengah bertahan.
“Namun Dollah Salleh dan Fandi Ahmad sejak kebelakangan ini melihat saya mempunyai potensi yang sangat baik untuk beraksi lebih banyak di bahagian serangan.
“Sudah tentu saya tidak akan mensia-siakan peluang tersebut untuk memberikan yang terbaik buat pasukan menerusi jaringan gol,” jelas Rowley kepada kami.
Pada masa sama, bekas pemain Inter Leipzig di Jerman itu juga menganggap bekas pengendali Sri Pahang iaitu Christophe Gamel dan kini, Dollah Salleh masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.
47' GOL | Rembatan David Rowley dari luar kotak penalti menewaskan Syihan Hazmi untuk gol kedua!@OfficialPahang 2-0 @nsfc1923 #LigaSuper2022 pic.twitter.com/fhH5LV68qQ
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 15, 2022
“Bezanya saya lebih banyak berdisiplin di kawasan pertahanan bersama Gamel, dan ketika ini saya diberi kebebasan di posisi serangan serta mendapat banyak nasihat daripada Fandi Ahmad.
“Saya hormati semua yang pernah melatih diri saya dan masing-masing mempunyai idea menarik cara untuk kembangkan pasukan,” tambah beliau.
Rowley juga mengakui dirinya turut berharap agar mempunyai peluang untuk beraksi bersama skuad kebangsaan pada suatu hari nanti.
“Mana-mana pemain profesional pun sentiasa memasang impian untuk beraksi bersama skuad kebangsaan dan itu termasuklah diri saya.
“Ketika ini saya melihat peluang saya mungkin ada sedikit. Saya sudah menjaringkan beberapa gol, dan aksi semasa pasukan juga berada pada tahap terbaik.
“Kim Pan-gon mungkin boleh melihat pada kelebihan fizikal saya yang tinggi ini untuk dibawa masuk dalam kem latihan skuad kebangsaan.
“Lagipun, saya kini sangat yakin dengan kualiti penyudah yang dimiliki untuk memperkukuhkan serangan Malaysia. Tetapi jika diletakkan mana-mana posisi pun saya sentiasa bersedia.
“Apapun, saya sangat kagum dengan Darren Lok. Sentiasa konsisten baik bersama kelab atau mewakili pasukan negara. Beliau sentiasa menjadi pemain contoh serangan yang baik,” terang pemain kelahiran Australia itu dengan bersemangat.
Walaupun begitu, fokus Rowley ketika ini adalah untuk memberi segalanya yang terbaik bersama Sri Pahang bagi aksi Piala Malaysia.
80' GOL | Sepakan percuma Manuel Hidalgo ditanduk masuk oleh David Rowley untuk gol ketiga!@Penang_FC 1-3 @OfficialPahang #LigaSuper2022 pic.twitter.com/0ZSBSfsq5T
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 18, 2022
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada para penyokong yang sentiasa memberi galakan buat dirinya dan pasukan untuk terus bersemangat memberi aksi terbaik.