Quantcast

KAJIAN & FAKTA TEMURAMAH

EKSKLUSIF: “Bola Sepak Seharusnya Bermula Dari Rumah” – Shazwan Wong

Di saat kejayaan telah dirakam oleh skuad B-15 negara menjulang kejuaraan AFF B-15 serta kemaraan skuad B-18 sehingga ke pentas final Kejohanan AFF B-18 sebelum tewas tipis kepada Australia telah membuka mata mengenai satu perkara – produk daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sudah mula berbunga.

Sebagaimana semuanya pasti sudah sedia maklum, AMD adalah puncak kepada struktur Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang merangkumi pelatih dari umur 13 sehingga 17 tahun dan antara pemain skuad B-18 kini merupakan batch pertamanya.

Di peringkat kumpulan, skuad B-18 tampil mengagumkan apabila terlebih dahulu menumbangkan Australia 3-0 sebelum tewas tipis 0-1 kepada lawan yang sama di pentas final, itupun hanya bolos di 10 minit terakhir selepas menekan lawan bermula babak kedua.

‘Melentur buluh’ dari akar umbi

Penulis tidak mahu menulis panjang mengenai AMD ataupun kecemerlangan produk-produknya di pentas Asia Tenggara ketika ini. Bagi penulis, itulah hasil yang kita mahukan. Sudah banyak artikel, forum dan debat di kalangan netizen mengenainya.

Kita ingin melihat bagaimana pembangunan bola sepak di akar umbi sedari usia empat tahun yang wujud di Malaysia. Adakah kita terutamanya para ibu bapa mengambil tahu mengenainya? Tidak guna bercakap mengenai akar umbi, tetapi umpama tin kosong.

Shazwan Wong Akademi bola 2

FOTO: FB Shazwan Wong

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Itu perumpamaan Melayu lama mengenai pembelajaran yang harus bermula sejak kecil. Pada usia muda, pemain-pemain ini mudah dibentuk sebagaimana kita mahukan mereka jadi apabila mereka mula beranjak dewasa.

Kita tahu tentang kewujudan akademi-akademi bola sepak untuk kanak-kanak di seluruh Malaysia bahkan mungkin di Lembah Klang misalnya, pasti sudah banyak akademi sebegini telah wujud. Jadi, bagaimana pemain-pemain semuda empat tahun ini dibentuk?

Semuanya BOLA telah menghubungi Shazwan Wong, Pengurus Besar Akademi Little League Soccer, sebuah akademi bola sepak swasta di Lembah Klang untuk melihat dan memperhalusi perkara ini. Selain itu, turut dirujuk temubualnya bersama Ross Yusof dalam rancangan Grandstand musim kedua di stesen radio BFM.

Usia pengenalan kepada bola sepak

Menurut Shazwan Wong, usia yang sesuai untuk kanak-kanak diperkenalkan dengan bola sepak adalah sejurus sahaja mereka boleh berjalan – seawal usia sembilan bulan sehingga setahun.

“Sebaik sahaja mereka boleh berjalan, berikan mereka bola. Saya percaya dengan konsep bola sepak bermula dari rumah,” ujar Shazwan Wong mengenai usia yang sesuai untuk kanak-kanak untuk mula berjinak-jinak dengan sukan bola sepak khasnya.

“Ia tidak perlukan sistem (pada permulaan). Apabila mereka sudah boleh berjalan, berikan mereka bola, biarkan mereka bermain dan menendang. Apabila mereka sudah berusia lima atau enam tahun dan memasuki tempat yang miliki struktur dan sistem, barulah anda akan dapat lihat perbezaannya,” tambahnya lagi.

shazwan wong akademi bola sepak

FOTO: FB Shazwan Wong

Begitupun, baginya pendedahan untuk suasana akademi pada usia empat tahun ini tidak begitu penting kerana semuanya bermula daripada rumah di usia sebegini. Tetapi bukanlah satu kesalahan jika anda mahu mula menghantar anak-anak anda ke akademi.

Sesi latihan mesti menyeronokkan

Bersukan atau bermain bola sepak pada usia semuda empat tahun, bagaimana mereka di akademi uruskannya? Kita sedia maklum mengenai kanak-kanak semuda itu yang mudah bosan dan mereka adakalanya sukar dikawal waima oleh ibu bapa mereka sendiri.

“Untuk usia semuda itu, kita tahu ‘attention span’ mereka sangat pendek. Semua arahan (kepada mereka) mesti mudah, ringkas dan jelas serta senang difahami. Sesi harus menyeronokkan ada ada sedikit elemen pertandingan sesama sendiri,” jelasnya.

“Objektif untuk usia enam tahun ke bawah adalah, main bola dan berseronok. Tidak perlu tambah tekanan kepada mereka kerana pada usia begini mereka perlu seronok main bola,” tambahnya.

Ia bertepatan dengan hasil penulisan Paul Mairs and Richard Shaw dalam buku “Coaching Outside the Box” iaitu beri keseronokkan bagi membentuk kecintaan mereka kepada bola sepak seterusnya mungkin mereka jadikan sebagai pilihan karier di masa depan.

Ibu bapa juga main peranan

shazwan wong akademi bola sepak

FOTO: Facebook Shazwan Wong

Apabila kita nyatakan beri keseronokkan kepada mereka, adakala kita melakukan sebaliknya. Apa yang menyeronokkan jika kita yang berada di tepi padang sambil menjerit, “Pass la bola tu! Jangan buat macam tu! Agresif la sikit! Naik atas lagi! Attack, attack!”.

Ini tidak membantu mereka berseronok dengan bola sepak malah membunuh minat mereka perlahan-lahan. Kita tidak memberi kebebasan untuk mereka bersukan, berseronok malah membuat keputusan sendiri berdasarkan situasi yang mereka sedang lalui.

Sukan secara amnya dan bola sepak secara khususnya mampu membentuk keperibadian mereka. Apabila anda menghantar mereka ke akademi, ianya umpama pelaburan bukan sahaja untuk menjadikan mereka atlet atau pemain bola sepak tetapi secara holistiknya, anda akan lihat pelbagai perubahan dalam diri mereka.

Mengakui ini adalah salah satu cabaran buat mereka di mana ibu bapa adakalanya tidak melihat apakah kebaikkan sukan ataupun bola sepak kepada anak-anak mereka secara menyeluruh.

“Tak ramai yang look at the big picture,” ujarnya sambil menjelaskan yang ini juga adalah tugas mereka untuk mendidik ibu bapa.

Shazwan Wong Akademi bola

FOTO: FB Shazwan Wong

Shazwan Wong turut bercerita mengenai Bojan Hodak yang juga menghantar anaknya ke Akademi Little League Soccer namun sebagai seorang jurulatih yang berpengalaman luas dan sangat berpengaruh, beliau langsung tidak pernah menyentuh mengenai bentuk latihan ataupun mengganggu sesi latihan anaknya.

Penutup

Perkara paling penting dan kata kunci dalam bola sepak untuk kanak-kanak di usia bawah enam tahun adalah keseronokkan.

Di situlah kita akan mula menabur benih kecintaan mereka untuk sukan bola sepak selain tugas ibu bapa untuk memperkenalkannya sejak kecil. Akademi juga memainkan peranan membentuk mereka untuk menjadi lebih baik dalam segenap aspek sebagai pemain.

Dan apabila sudah menginjak ke usia enam tahun ke atas, pemain-pemain sudah mula dibentuk secara serius untuk menjadi pemain bola sepak. Lebih banyak elemen akan diterapkan di dalam sesi latihan dan sudah tentu terdapat pertandingan peringkat umur.

“AMD sudah beri perhatian kepada program kami. Dan akan ada scouting match pada awal bulan September. Ada dua orang pelatih yang akan kami hantar sesi percubaan ke JDT dan ada seorang pemain wanita yang mewakili negara untuk skuad B-15,” tuturnya yang juga merupakan jurulatih di akademi tersebut tentang kejayaan Akademi Little League Soccer sebelum menutup bicara.

Kredit Featured Image: Facebook Little League Soccer