Quantcast

KAJIAN & FAKTA TEMURAMAH

EKSKLUSIF: Antara Cowgrass Dan Bermuda, Rumput Mana Pilihan Yang Sesuai Di Malaysia?

Beberapa jam lagi kita bakal menyaksikan pertembungan di antara Kedah dan Perak di pentas final Piala FA 2019. Biasanya, menjelang aksi final, akan ada isu yang diperdebatkan dikalangan penyokong antaranya prestasi pasukan, stadium, pengadil dan barisan pemain.

Segalanya boleh dikatakan telah diselesaikan dengan stadium sudah ditentukan, pengadil daripada Jepun menjadi pilihan dan sebagainya. Namun, bagaimana dengan keadaan padang di venue pentas final Piala FA kali ini – Stadium Nasional Bukit Jalil?

Padang adalah elemen penting dalam sukan bola sepak. Tanpanya, bagaimana ianya akan dijalankan? Ayuh kita selosori sedikit perkongsian mengenainya serta pandangan individu yang ‘intim’ dengan dunia padang dan rumput di Malaysia, Nur Ekmal Buhary.

Padang SNBJ rosak teruk pada 2014

Rata-rata padang bola sepak di Malaysia menggunakan rumput jenis Cowgrass. Rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) turut beralih daripada rumput jenis Bermuda dan Paspalum dan kini telah menggunakan Cowgrass sebagai penyelesaiannya.

Ini susulan kerosakan teruk yang berlaku selepas perlawanan akhir Piala Malaysia antara Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 1 November 2014 dan ketika Piala AFF Suzuki 2014, Disember 2014. Ia telah mengundang kritikan daripada pelbagai pihak.

padang snbj final piala malaysia 2014

Keadaan padang SNBJ selepas aksi final Piala Malaysia 2014. FOTO: Asyraf Hamzah

Masih ingat kritikan oleh penjaga gol JDT II, Samuel Somerville mengenai situasi perlawanan antara pasukannya dan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu yang diteruskan waima padang becak dan air bertakung dengan banyaknya?

Mengapa rumput jenis Bermuda dan Paspalum tidak sesuai untuk dijadikan padang bola sepak? Di Thailand, dua jenis rumput itu relevan untuk digunakan dan hampir semua padang bola sepak di Jepun menggunakan jenis Bermuda yang jelas sangat baik.

Padang di Thailand

Menurut kajian dan pembentangan yang telah dilakukan oleh Ketua Saintis, Asian Turfgrass Center, Micah Woods di Universiti Bangkok Thonburi, di Thailand, 3 jenis rumput yang bersesuaian adalah jenis Bermuda, Seashore Paspalum dan juga Manila.

Katanya, terdapat beberapa pertimbangan asas untuk pemilihan dan pengurusan rumput, pemilihan dan pengurusan tanah untuk menghasilkan padang bola sepak berkualiti tinggi. Dan untuk di Thailand, rumput jenis musim panas adalah bersesuaian.

Menurut laman blog Asian Turf Grass pula, hampir semua stadium yang melibatkan perlawanan untuk J League 1 (Liga Jepun) telah menggunakan rumput jenis Bermuda dan ia sangat mengagumkan mereka seperti yang terdapat di Stadium Bolasepak Kashima.

muangthong fc field

SCG Stadium milik Munagthong United FOTO: Twitter Muangthong United FC

Dan untuk di Thailand, blogger berpendapat padang di Stadium SCG yang merupakan milik kelab Muangthong United adalah yang terbaik di sana. Menurutnya, hampir semua stadium di Thailand menggunakan rumput jenis Bermuda, Paspalum atau Manila.

JDT, role model di Malaysia?

Di Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) boleh dikatakan adalah salah satu pasukan yang memiliki padang bola sepak terbaik. Tunku Ismail (TMJ) pernah menyatakan yang mempertingkatkan kualiti padang adalah perkara pertama perlu dilakukan di Malaysia.

“Kenapa? Kerana ini merupakan tempat bola sepak dimainkan, di atas padang. Sedihnya, orang lain tukar LED board, bangku simpanan, semua nak buat macam JDT. Sepatutnya perkara pertama yang perlu ditukarkan adalah padang.” ujarnya menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers (JST) pada Mac 2019.

JDT sendiri telah mengaji seorang pegawai daripada Jepun untuk menguruskan padang milik kelab dan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos iaitu Koichi Hiroi yang sentiasa akan memastikan padang di Larkin bersedia untuk sesuatu perlawanan bola sepak.

Selangor ikut jejak JDT

Bagi Nur Ekmal Buhary, Ketua Unit Pengurusan Kemudahan dan Acara Pusat Sukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang telah dihubungi oleh Semuanya BOLA, situasi di Malaysia ini sebenarnya memerlukan penambahbaikkan dari segi mentaliti.

Ekmal Buhary Padang

Nur Ekmal Buhary (kanan) ketika menerima kujungan skuad Piala Dunia Korea Selatan dan Iran di padang USIM. FOTO: Nur Ekmal Buhary

“Kita sanggup berhabis ratusan ribu ringgit untuk membayar gaji pemain profesional dan jurulatih tetapi kita tidak mahu melaburkan untuk menyediakan padang yang baik. Menyediakan infrastruktur yang asas untuk pasukan bukanlah keutamaan,” ujarnya.

“Berapa banyak pasukan (Liga Malaysia) yang tiada kemudahan padang? Kalau ada pun, mereka terpaksa berpindah randah dan guna (sewa) kemudahan padang secara tidak konsisten.

“Jadi, bagaimana kita mahu bercakap mengenai jurulatih boleh menyampaikan strategi yang baik semasa latihan jika padang tidak dijaga dengan baik atau tiada,” tambahnya sambil menegaskan setiap pasukan harus belajar bagaimana JDT memulakan proses pembangunan bola sepak dengan asas padang yang baik.

Ketika ini, Selangor telah mengikuti langkah sebagaimana yang telah dibuat di JDT. Dan, PKNS FC turut menonjolkan fasiliti mereka kepada umum baru-baru ini. Oleh itu, Nur Ekmal berharap akan ada pasukan lain pula bakal mengikut jejak langkah mereka.

Cowgrass vs Bermuda?

Bercakap mengenai padang bola sepak, rasanya tidak lengkap jika tidak membincangkan jenis rumput yang bersesuaian di Malaysia. Mengapa kita tidak gunakan rumput seperti di Thai League 1?

Untuk menjawab persoalan tersebut, Nur Ekmal menekan kepada satu perkara. “Kalau kita hendak jadi macam Thailand, kita kena betul-betul serius untuk meletakkan pelaburan berkaitan rumput. Ia (Bermuda) akan melibatkan kos penjagaan yang tinggi.”

“Di Thailand, mereka laburkan kos untuk tujuan tersebut. Tapi tidak di Malaysia. Itu bezanya,” jelasnya sambil menyatakan yang kos penjagaan Bermuda adalah dua kali ganda berbanding Cowgrass.

“Itulah perbezaan mentaliti kita dengan Thailand. Mereka letak pelaburan serius untuk permukaan padang. Tidak kisah jika kita mahu pakai Bermuda, tetapi kegagalan untuk bertahan dengan kos penjagaan yang tinggi, akhirnya ia tidak diselia,” tambahnya.

Nur Ekmal menyatakan rumput jenis Cowgrass adalah yang paling sesuai dengan iklim di Malaysia, selain sistem penjagaannya yang mudah dan kos yang murah, tahan panas dan hujan malah ianya adalah rumput yang lahir di iklim khatulistiwa.

Iran Piala Dunia

Skuad Iran berlatih di padang USIM ketika Kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia. FOTO: Nur Ekmal Buhary

“Cuma ianya kurang popular dan tidak dikomersialkan. Pada saya, tiada masalah untuk menggunakan Cowgrass cuma ada kaedah penjagaan agar padang tersebut nampak kemas, cantik, rata dan selamat untuk digunakan,” ujarnya lagi kepada Semuanya BOLA.

Penutup

Semuanya BOLA akan membawa artikel khas kepada pembaca mengenai padang dan rumput dalam artikel seterusnya. Ini sekadar perkongsian ringkas mengenai padang dan jenis rumput yang digunakan di Malaysia, khususnya di SNBJ pada ketika ini.

Jadi, bagaimana dengan keadaan padang di SNBJ untuk menerima kunjungan pemain-pemain Kedah dan Perak pada perlawanan akhir Piala FA esok? Adakah kita bakal menyaksikan perlawanan yang menarik di atas padang yang berkualiti?