EKSKLUSIF: Aidil Sharin Sayangkan Kedah Tapi Serah Nasib Kepada Pengurusan

Seperti diketahui ramai para penyokong bola sepak tempatan, Aidil Sharin Sahak bukan lagi satu nama asing dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), apabila beliau merupakan jurulatih utama Kedah Darul Aman (KDA).

Hadir dari Singapura dengan reputasi yang cukup baik, pengendali tersebut nyata tidak mengambil masa lama untuk memberi kejayaan sulung buat KDA pada musim pertama iaitu Piala FA 2019.

Sepanjang empat musim bersama KDA, Aidil telah meraih pelbagai kejayaan termasuk membawa pasukan tersebut ke pentas saingan AFC dan kelayakan AFC Champions League (ACL).

Musim ini, segalanya tampak sedikit tidak menjadi buat jurulatih tersebut untuk kekal konsisten dari segi keputusan perlawanan bersama KDA dalam saingan tempatan.

Justeru, segelintir penyokong mula menggesa beberapa perubahan kembali dibuat dalam pasukan dan diberitakan salah seorang calon jurulatih muda tempatan mula dikaitkan bersama KDA untuk musim hadapan.

Aidil yang ketika ini masih lagi membimbing KDA menyatakan segalanya terserah kepada pihak pengurusan untuk menentukannya sendiri hala tuju dirinya pada musim hadapan.

“Sepanjang empat tahun bersama Kedah, hati ini memang sudah melekat buat kelab itu dan saya sentiasa menganggap negeri ini sebagai rumah kedua.

“Saya sangat sayangkan para pemain tempatan di sini yang bersama saya sepanjang empat musim seperti Fayadh dan Fadzrul Danel. Sebarang keputusan segalanya terserah kepada pihak pengurusan kini.

Pada masa sama, Aidil juga berharap sekiranya beliau dikekalkan musim hadapan, beliau minta agar pengurusan juga mampu membawa perubahan positif untuk kelab.

Jika bukan dirinya menjadi jurulatih KDA musim hadapan sekali pun, Aidil berharap agar pengurusan mampu menyediakan fasiliti lebih lengkap, jaga sebaiknya hal kebajikan pasukan, serta beberapa perkara lagi.

“Jika saya dikekalkan, harapan sudah pasti agar pengurusan dapat meningkatkan juga cara kerja mereka seperti menyediakan fasiliti, menguruskan gaji dengan baik, serta beberapa hal lagi.

“Mana-mana jurulatih baharu yang akan menyertai KDA pun pastinya mengharapkan perkara yang sama agar ada perubahan lebih baik dapat dibuat pengurusan.

“Jika segalanya masih kekal sebegini, jangan kata saya sahaja akan rendah dari segi moral untuk membuat persiapan, malah jurulatih baharu lain juga akan rendah motivasi.

“Anda semua pun tahu mengapa kebanyakan pemain berminat untuk pergi ke Johor Darul Ta’zim (JDT)? sebab pengurusan sana sentiasa memberi yang terbaik,” tambah jurulatih dari Singapura itu.

Untuk rekod semasa dalam saingan Liga Super, KDA ketika ini berada pada prestasi terbaik mereka menerusi empat perlawanan tanpa sebarang kekalahan dicatat.

Lebih menarik, pasukan tersebut yang kini berada di tangga kelima carta liga itu turut meraih dua cleansheet daripada empat perlawanan terakhir dihadapi mereka.

Aidil juga menyeru kepada para penyokong KDA ketika ini agar mereka dapat turun ke stadium untuk memberi sokongan pada baki beberapa perlawanan sebelum saingan liga berakhir.

“Berbaki tiga perlawanan di laman sendiri ini, saya berharap agar para penyokong mampu memenuhi stadium untuk memberi sorakan positif buat KDA.

“Saya tertarik dengan KDA dahulu kerana aura para penyokong pasukan ini yang sangat kuat dan sorakan mereka ini luar biasa.

“Tanpa penyokong, kami juga tidak begitu bermotivasi untuk memberi segalanya yang terbaik dan diharap mereka akan kembali pada baki perlawanan terakhir di laman sendiri ini,” kata Aidil dengan harapan cukup tinggi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN