Ejen Yaya Toure, Dimitri Seluk mengaku beliau risau Pep Guardiola akan menjual Yaya Toure seperti yang dilakukannya ketika di Barcelona, dan menggelar Guardiola ‘jurulatih yang terlalu dipuji berlebih-lebihan’.
Ketika ini, Pep Guardiola dilihat sebagai calon utama menggantikan Manuel Pellegrini di Manchester City bermula pada musim depan.
Ini selepas jurulatih Bayern Munich itu mengumumkan tidak akan menyambung kontrak di Allianz Arena dan mahu bekerja di Premier League pula.
Dimitri Seluk memberitahu akhbar Sunday Mirror:
“Pep adalah jurulatih yang bagus. Tapi dia menang kejuaraan liga dengan Barcelona dan Bayern Munich. Datuk saya pun boleh menang liga dengan kualiti pemain yang dimiliki oleh Barcelona dan Bayern Munich.”
“Saya nak tengok Pep ambil alih kelab tangga ke-8 atau ke-9 dan jadikan mereka juara liga.”
Guardiola menjual Yaya Toure pada 2010, selepas memberitahu pemain Ivory Coast itu tak masuk dalam perancangan masa depannya dengan Barcelona.
“Saya tak tahu apa perancangannya (Guardiola) tapi selepas apa yang berlaku di Barcelona, saya risau Yaya akan dijual. Saya dan Yaya harap perkara itu tak terjadi,” tambah Seluk.
Berdasarkan tinjauan kami di forum peminat Manchester City dan Reddit, ramai penyokong City tidak mempunyai masalah jika Guardiola mahu menjual Toure.
Majoriti penyokong City berpendapat Toure ‘sudah tua’ dan ‘malas membantu pasukan ketika bertahan’ walaupun hebat ketika menyerang, seperti yang ditulis oleh beberapa penyokong di Reddit.
Baca juga: Pep Guardiola Hampir Pasti Tinggalkan Bayern, Bakal Ambil Alih Manchester City