Ejen kepada bintang Everton, Richarlison terpaksa tampil untuk menjelaskan pertemuan beliau bersama pengurus Liverpool baru-baru ini.
Sebelum itu UOL Esporte di Brazil mendedahkan pada Khamis lalu bahawa Klopp telah melakukan pertemuan dengan Renato Velasco di kediamannya, dan laporan turut mengatakan tujuan perjumpaan dilakukan adalah untuk berbincang mengenai kemungkinan Richarlison berhijrah ke Anfield pada musim hadapan.
Velasco beri penjelasan
Namun demikian Velasco menafika tujuan perjumpaan beliau dengan pengurus dari Jerman itu adalah berkisar kepada Richarlison.
Sebaliknya, Velasco menjelaskan pertemuan beliau dengan Klopp adalah kerana membantu menguruskan pertemuan pengurus Liverpool itu dengan Marcos Weisshaupt – bekas rakan sepasukan Klopp ketika beraksi di Mainz.
“Perjumpaan saya dengan Klopp tidak ada kaitan dengan Richarlison,” jelas Velasco seperti yang disiarkan oleh Sky Sports.
“Saya juga adalah ejen kepada pemain di Jerman [Noah Weisshaupt] yang beraksi bersama Freiburg dan skuad Jerman B-20. Ayah pemain itu pernah beraksi bersama Klopp, dan mereka adalah kenalan lama. Mereka sudah lama tidak berjumpa, dan saya membawa Marcos [Weisshaupt] ke rumahnya.
“Ia langsung tiada kaitan dengan Richarlison. Khabar angin itu sengaja direka untuk membuat spekulasi,” jelas beliau.
Silva tidak bimbang
Pengurus Everton, Marco Silva juga melalui sidang media menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris pada hujung minggu ini menafikan spekulasi Richarlison akan berhijrah dari Goodison Park.
“Saya harus tersenyum. Tidak ada perkara lain yang boleh saya lakukan,” ujar beliau.
“Pada kami, spekulasi sebegitu tidak penting untuk dibincangkan. Senyum sajalah.”