Norwich City sah menjuarai EFL Championship bagi musim 2018/19, setelah menewaskan Aston Villa dengan keputusan 2-1.
Norwich bertandang ke Aston Villa manakala Sheffield United menentang Stoke City. Kedua-dua pasukan sudah sah kembali ke Liga Perdana Inggeris.
Kenari terbang tinggi
Penyerang berbisa Norwich City, Teemu Pukki membuka tirai jaringan dengan menjaringkan gol seawal minit ke-7. Jonathan Kodija pula menyamakan kedudukan pada minit ke-14 untuk Aston Villa.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 tamat separuh masa pertama. Pada minit ke-86, Mario Vrancic menjaringkan gol kemenangan untuk Norwich.
Sheffield United bergelut
Gol Sam Vokes pada minit ke-19 telah mengejutkan Sheffield United. Gol pendahuluan penyerang Stoke City itu menjadi kelebihan buat mereka sehingga tamat separuh masa pertama.
Kieran Dowell pula menyamakan kedudukan untuk The Blades selepas 3 minit separuh masa kedua bermula.
Ryan Shawcross menjaringkan gol pada minit ke-69 bagi memastikan Stoke mendahului sekali lagi.
Pada minit ke-77 Sheffield United menyamakan kedudukan melalui pemain pertahanannya, Enda Stevens. Sheffield United sah menamatkan musim ini dengan kedudukan kedua dalam EFL Championship.
Leeds bertemu siapa?
Skuad Leeds United ke Ipswich Town bagi melengkapkan jadual perlawanan. Flynn Downes menjaringkan gol pembukaan untuk Ipswich pada minit ke-30.
Kemudiannya, Mateusz Klich menyelamatkan maruah Leeds dengan menjaringkan gol penyamaan sewaktu minit kecederaan separuh masa pertama. Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada separuh masa pertama.
Dua minit selepas separuh masa kedua dimulakan, Andre Dozzell menjaringkan gol kedua untuk tuan rumah. Pada minit ke-76, Stuart Dallas membantu Leeds bangkit dengan jaringan gol beliau.
Ketika perlawanan dilihat akan tamat dengan keputusan seri 2-2, Collin Quaner menjaringkan gol kemenangan untuk Ipswich. Ipswich menewaskan Leeds dengan keputusan 3-2.
Bagi perlawanan separuh akhir play-off EFL Championship, Leeds United bakal bertemu pasukan tempat keenam, Derby County. Manakala, West Bromwich Albion akan menentang Aston Villa.
Tempat keenam yang panas
Sebenarnya persaingan tempat keenam menjadi perebutan tiga penjuru antara Derby County, Middlesbrough dan Bristol City. Derby County berada di tangga keenam liga sebelum perlawanan terakhir ini bermula.
Derby menewaskan West Bromwich Albion dengan keputusan 3-1. Kemenangan Middlesbrough ke atas Rotherham United melalui skor 2-1 tidak dapat membantu mereka layak ke play-off
Bristol City pula terikat 1-1 dengan Hull City. Derby kekal selamat di zon play-off dengan kedudukan tempat keenam dalam carta EFL Championship.
3 kelab turun divisyen
Rotherham United, Bolton Wanderers dan Ipswich Town sebenarnya sudah sah tersingkir divisyen sebelum perlawanan terakhir EFL Championship musim ini.
Nampaknya penyokong Leeds United yang di serata dunia terpaksa menunggu untuk mara ke final perlawanan penentuan. Ada satu soalan untuk ditinggalkan.
Siapakah lawan pilihan anda bagi perlawanan akhir tersebut?