EFL Anggap Cadangan Wujudkan ‘Feeder Club’ EPL Merosakkan Sistem Liga Bola Sepak Inggeris

EFL EPL

Pasukan B atau ‘feeder club‘ bagi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak akan sama sekali diperkenalkan dalam Liga Bola Sepak Inggeris (EFL).

Perkara itu ditegaskan sendiri oleh Pengerusi EFL, Rick Parry yang kini sedang berusaha untuk mendapatkan 25 peratus saham dari keuntungan hak penyiaran bersama EPL dan EFL.

Meskipun terdapat cadangan untuk membenarkan pasukan B dari kelab-kelab besar England untuk menyertai EPL, namun Parry menegaskan ia tidak akan berlaku sama sekali.

“Terus terang, saya tak nampak pun apa keperluannya,” ujar Parry dalam temubualnya bersama BBC.

Idea tersebut muncul pada 2014 selepas bekas pengerusi Persatuan Bola Sepak England (FA), Greg Dyke mencadangkan agar diwujudkan satu divisyen baharu untuk membolehkan pasukan B kelab-kelab EPL beraksi dalam sistem liga bola sepak Inggeris.

Malah pengurus Manchester City, Pep Guardiola turut pernah mencadangkan perkara sama kerana mahu pemain-pemain muda mendapat pededahan awal aksi bola sepak sebenar dengan berdepan pemain-pemain profesional setiap minggu yang dirasakan mampu cepat mematangkan permainan mereka.

Ia tidak menghairankan kerana karier Guardiola sebagai jurulatih juga lahir dari sistem tersebut di mana beliau membimbing skuad Barcelona B sebelum dinaikkan pangkat selaku pengurus skuad utama The Blaugrana.

“Saya tak nampak hala tujunya dan ia tak pernah ada dalam kepala saya, ia bukanlah sesuatu yang ditekankan di sini,” kata Parry yang juga bekas ketua eksekutif Liverpool itu.

“Memang idea ini pernah diutarakan. Greg Dyke pernah cadang, Greg Clarke [juga bekas pengerusi FA] pun pernah cuba untuk memperkenalkannya ketika permulaan projek Big Picture. Tetapi pada saya ia tak perlu diperbincangkan pun, takkan berlaku.

“Saya raikan semua idea-idea baharu dan segar. Tetapi idea untuk mewujudkan pasukan B ini tidak releven pun kerana kekuatan EFL ini adalah setiap kelab mempunyai hubungan yang kuat dengan komuniti setempat.

“Jadi untuk apa tiba-tiba ada pasukan B? Ia hanya akan merosakkan piramid bola sepak.”

Penegasan Rick Parry itu dianggap masuk akal kerana kelab-kelab ternama Eropah yang mempunyai pasukan B yang beraksi di liga bawahan jelas bergelut dan tidak mampu bersaing di peringkat tertinggi sehingga menduduki kedudukan corot dalam liga.

Malah perlawanan melibatkan ‘feeder club’ ini tidak mendapat sambutan penyokong apabila beraksi dalam perlawanan kompetitif di halaman sendiri kerana penyokong tentunya menumpukan perhatian kepada pasukan utama masing-masing.

Sebagai contoh, Barcelona B yang menerima purata 1,394 penonton sementara Real Madrid Castilla pula hanya merekodkan 1,066 penonton di dalam stadium.

Dalam kertas cadangan projek Big Picture, antara usulnya adalah sembilan kelab utama diberikan hak undian istimewa dalam sebahagian isu.

Sebagai timbal balik, sembilan kelab ini akan melepaskan sebahagian wang hak penyiaran dengan memberikannya kepada kelab-kelab kecil di divisyen bawahan.

Untuk lebih terperinci, mereka akan memberikan kelab EFL 25 peratus daripada keuntungan keseluruhan EPL dan EFL dengan pendahuluan sehingga £250 juta sebagai bantuan sewaktu pandemik, sementara Persatuan Bola Sepak (FA) England pula akan menerima ‘hadiah’ sebanyak £100 juta.

Mengenai cadangan tentang penghapusan Piala Liga, Rick Parry lebih bersetuju sekirangnya ia perlu diteruskan dengan pengecualian terhadap pasukan yang layak beraksi ke kejohanan Eropah.

Ia bertujuan untuk mengurangkan jumlah perlawanan kerana kelab-kelab utama ini berdepan dengan jadual padat pada setiap musim terutamanya bagi pasukan yang layak beraksi dalam kejohanan Eropah.

Turut dicadangkan adalah mengecilkan saiz pasukan yang bertanding di EPL daripada 20 kepada 18 kelab sahaja, namun Liga Kejuaraan, League One dan League Two masih kekal dengan 24 pasukan.

Pihak pengurusan EPL secara terbuka menegaskan cadangan tersebut hanya merosakkan ekosistem bola sepak Inggeris secara keseluruhannya, namun Parry menyokong sepenuhnya kerana ia akan membantu kelab-kelab yang sedang bergelut ketika ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN