Editorial SB: Penerus Kecemerlangan Skuad B-15, Siapa Perlu Bertanggungjawab?

B-15

Nota editor: Selamat datang ke artikel editorial Semuanya BOLA yang dimana kami akan menetapkan pendirian Sidang Editorial SB mengenai isu semasa bola sepak tempatan.

Artikel ini akan disiarkan secara mingguan setiap Isnin jam 8 malam bermula minggu hadapan.

_______________________________________________________________________

Kejayaan skuad bawah 15 tahun (B-15) negara mengungguli Kejuaraan AFF B-15 2019 di Chonburi tempoh hari memberikan gambaran jelas bola sepak tanah air bakal menjanjikan masa depan yang cukup cerah.

Hasil kombinasi bakat muda berkualiti, anak buah P. Maniam dengan tenang memperagakan corak permainan meyakinkan sehingga menjuarai saingan tanpa sebarang kekalahan.

Namun, ia hanyalah permulaan kisah perjalanan panjang bakal dilalui oleh Muhammad Daniel Edzuan, Muhammad Nabil Qayyum dan rakan sepasukan dalam kancah bola sepak.

Kita seringkali mendengar bait kata-kata yang berbunyi ”Alah, masa muda baguslah, nanti dah dapat gaji besar, ‘cinggey’ dan mesin kuda, habislah.”

Ia pahit untuk ditelan tetapi ada juga kebenaran yang tidak dapat disangkal daripada telahan klise itu.

Sehubungan dengan itu, bagi meneruskan kecemerlangan pemain B-15 ini supaya dapat terus cemerlang hingga ke peringkat senior, siapa yang perlu bertanggungjawab?

Diri sendiri menjadi elemen utama yang menjurus kepada kesinambungan perkembangan positif ini. Setiap pemain perlu memiliki kesedaran tinggi betapa pentingnya penjagaan rapi segenap aspek (pemakanan, gaya hidup, sains sukan, latihan) dalam menjadikan mereka sebagai seorang pemain bola sepak berkaliber.

Mengambil contoh ketika mereka masih di bangku persekolahan, para pemain ini dipantau oleh jurulatih, warden atau ibu bapa. Waktu persekolahan, tidur, sesi latihan, belajar, makan minum dan solat dan sebagainya dipantau dengan baik. Namun, selepas tamat alam persekolahan, rutin sistematik terhadap pemain muda ini mungkin tidak lagi dipraktikkan oleh mereka.

Selain itu, semua pihak bertanggungjawab perlu memainkan peranan yang proaktif agar bakat muda ini tidak tergelincir daripada landasan sebenar.

Diharapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat meningkatkan lagi kualiti dalam penganjuran Piala Belia dan Presiden. Sebagai cadangan, berikan sekurang-kurangnya 30 perlawanan kompetitif semusim buat setiap pasukan bertanding.

Dalam masa yang sama, pihak Persatuan Bola Sepak Negeri (FA Negeri) juga tidak boleh memandang enteng penekanan dalam aspek kualiti dan kemudahan buat pasukan Piala Belia dan Presiden.

Jalinkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi membolehkan pemain yang melanjutkan pelajaran ke menara gading turut berpeluang untuk menjadi pemain profesional. Ini membawa maksud kualiti Liga IPT juga harus dimantapkan dan sudah pasti dana perlu dipertingkatkan.

Seterusnya, ibu bapa turut menjadi tulang belakang dalam perkembangan karier pemain-pemain muda ini. Sokongan padu yang diberikan pasti dapat menjadi pendorong yang cukup berguna buat pemain untuk terus berkembang.

Tidak dilupakan juga pada para penyokong. Penyokong bukan sahaja memberikan sokongan padu ketika pemain beraksi di padang tetapi juga perlu bersabar dengan perkembangan baik ini. Dalam kita meletakkan harapan yang terlalu tinggi, jangan pula kita lupa bahawa adakalanya impian itu tak seperti yang kita harapkan.

Selain itu, kita sedar media sentiasa akan mencari cerita menarik untuk dijadikan bahan berita tetapi perlu diingat bahawa mereka adalah pemain muda yang masih dalam proses pembelajaran. Sekiranya terdapat kesilapan yang dilakukan, janganlah kita berterusan ‘menghantui’ mereka dengan kesilapan tersebut. Begitu juga dengan pujian melambung ketika mengecapi kejayaan tetapi sekiranya gagal, umpama tiada hari esok buat mereka.

Ternyata semua pihak bertanggungjawab memainkan peranan tersendiri dalam memastikan kesinambungan kecemerlangan pemain B-15 tahun negara, mudah-mudahan sehingga ke peringkat senior sekaligus merealisasikan impian jutaan peminat bola sepak tanah air untuk melihat skuad negara beraksi di Piala Dunia. Tiada yang mustahil!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN