Nota editor: Siri Editorial SB kembali lagi dengan kami akan memberikan pendirian mengenai isu-isu semasa bola sepak tempatan setiap minggu. Ikuti siri ini dan lontarkan pendapat anda di ruangan komen.
Musim bola sepak tempatan kini telah berakhir semalam dengan penamatnya menyaksikan Johor Darul Ta’zim, Kuala Lumpur City dan Negeri Sembilan antara pemenang bagi piala-piala yang dipertandingkan musim ini.
Pelbagai cerita pahit manis serta kontroversi menghiasi bola sepak kita sepanjang musim ini. Penyokong terutamanya di media sosial sering kali dilihat bertelagah dengan pendukung pasukan lain demi mengangkat maruah kelab.
Malah, ada juga yang bergaduh sesama sendiri apabila bercanggah mengenai isu dalam pasukan.
Tetapi, boleh tak kita tinggalkan sekejap perkara itu dan fokus kepada Harimau Malaya sepanjang Disember ini?
Skuad kebangsaan kita memerlukan sokongan padu dari kita semua sepanjang kejohanan Piala AFF 2020 walaupun majoriti daripada ekor Harimau Malaya tidak mampu ke Singapura.
Apa yang kami nampak, sokongan terhadap skuad kebangsaan tidak begitu menyala dalam kalangan penyokong. Sebaliknya, kritikan dan harapan yang tidak menggunung diberikan kepada pasukan.
Barangkali melihat kepada skuad yang dibawa, kami faham kenapa penyokong berasa tidak yakin dengan barisan kita.
Tetapi siapa pun yang dibawa Cheng Hoe, jangan dipandang rendah kemampuannya. Pasukan kita ibarat harimau yang terluka, saat kita sangkakan tidak mampu membaham akan menjerat mangsanya dengan cukup hebat.
Kritikan kepada pemilihan skuad cukup hebat diberikan kepada Cheng Hoe, tetapi jika kita memandang jauh sebenarnya skuad ini dibina untuk masa hadapan.
Jika dilihat pada senarai, hampir 13 pemain merupakan muka baharu Harimau Malaya dengan Piala AFF 2020 merupakan kejohanan kompetitif pertama mereka.
Jadi, kami melihat Cheng Hoe sedang membina asas pasukan dengan new blood yang dijangka akan memberikan manfaat kepada negara di masa hadapan.
Kami turut memandang Piala AFF kali ini amat penting kerana setiap mata FIFA yang dikutip akan memberikan kesan kepada undian pusingan ketiga kelayakan Piala Asia yang akan dilakukan tahun hadapan.
Barisan yang dibawa ke Singapura mungkin menghasilkan kritikan atau rasa ragu-ragu dalam hati penyokong. Akan tetapi, berikanlah sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada mereka.
Mereka belum lagi masuk ke dalam padang, jadi berikanlah Harimau Malaya ruang untuk bernafas dan sokong mereka sehabisnya.
Andai kata Malaysia mengharungi kejohanan yang teruk di Singapura tahun ini, sekurangnya biarlah tidak kalah ditangan Indonesia – itu memang kami tak boleh terima kalau terjadi!
Akhir kata, sokonglah Harimau Malaya kerana itulah satu-satunya skuad kebangaan kita. Ingatlah ayat pujangga yang pernah mencuri tumpuan pada 2012 yang berbunyi,
“Busuk-busuk Harimau Malaya, orang kita juga.”
Selamanya Harimau Malaya.