Editorial SB: ‘Banter’ Sanusi-TMJ Memang Seronok, Tapi Jangan Lupa Isu Utama

Editorial SB TMJ

Nota editor: Siri Editorial SB kembali lagi dengan kami akan memberikan pendirian mengenai isu-isu semasa bola sepak tempatan setiap minggu. Ikuti siri ini dan lontarkan pendapat anda di ruangan komen.


Saingan suku akhir Piala Malaysia jelas sekali terasa kemeriahannya dengan lapan pasukan terbaik sudah mula mencongak langkah mereka ke Bukit Jalil.

Terdapat pelbagai perlawanan menarik untuk disaksikan tetapi apa yang menarik perhatian kami adalah aksi melibatkan Kedah Darul Aman (KDA) serta Johor Darul Ta’zim (JDT).

Apa yang menarik adalah usikan-usikan nakal dari dua individu berpengaruh pasukan sebelum perlawanan iaitu Presiden KDA, Sanusi Md Nor serta Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Jelas sekali, Sanusi menunjukkan karektor ‘kahaq ketegaq’ beliau apabila membalas setiap ‘tembakan’ TMJ. TMJ memuatnaik IG Story, kemudiannya Sanusi membalas menerusi hantaran Facebook.

Ianya nampak menghiburkan dan kami mengakui ianya adalah salah satu hiburan yang menarik untuk kita semua bagi menambahkan lagi kemeriahan Piala Malaysia.

Tapi ketawa, ketawa juga, jangan dilupa dengan isu sebenar.

Siri ‘banter’ antara Sanusi dan TMJ ini berakar umbi dengan isu tunggakan gaji pemain KDA yang hanya diselesaikan sebelum aksi menentang JDT semalam.

Apa yang kami nampak disini adalah kelemahan pengurusan KDA yang masih lagi ada isu lewat membayar gaji pemain.

Seperti yang kami katakan sebelum ini, gaji adalah kebajikan asas pemain yang perlu dijaga dengan cemerlang oleh pihak kelab.

Janganlah hanya bila ada perlawanan penting baru nak diberi bayaran gaji tersebut demi menaikkan motivasi pemain.

Seolah-olah gaji itu ibarat bonus pula, padahal bayaran wajib yang perlu diberikan selepas pemain melakukan yang terbaik di atas padang.

Editorial SB: Jaga Kebajikan Pemain Sewaktu Mereka Sakit & Sihat

Bagi kami, usah dilupakan isu sebenar. Ya benar, ‘banter’ atau hiburan dalam bola sepak itu adalah sebahagian daripada sukan ini.

Tetapi adakah ianya tugas yang perlu dipikul TMJ atau Sanusi? Jawapannya tidak.

Tugas TMJ dan Sanusi adalah memastikan pasukan yang dijaga mereka ditadbir dengan baik dan tiada banyak masalah terutamanya pembayaran gaji.

Usahlah kita terleka dengan ‘banter’ bola sepak ini, fokuslah pada isu sebenar – masalah pembayaran gaji masih lagi tidak selesai dan tiada tanda-tanda akan pulih pun.

Jangan biarkan liga kita ini menjadi seperti apa yang berlaku di China, dahulunya mewah dan bayar gaji pemain dengan nilai yang tak masuk akal namun kini terseksa untuk melakukannya.

Sehinggakan kini hanya ada tiga pasukan sahaja di China yang mampu membayar gaji pemain seperti biasa sementara yang lain sudah ‘tertomos’.

Nak ‘tertomos’ silakan. Tapi jangan ajak orang lain.

Leave a Reply