EKSKLUSIF Ramadan: Raimi Berpuasa Tanpa Keluarga Di Sisi Buat Pertama Kali

raimi

Jika ada rakan-rakan mengajak anda bermain bola sepak di bulan Ramadan, apakah jawapan anda? Besar kemungkinan, ramai yang akan menolaknya atas faktor berpuasa.

Namun, sebagai pemain bola sepak, puasa tidak menghalang mereka untuk bermain. Itu adalah pekerjaan mereka dan sudah menjadi rutin buat mereka untuk kekal aktif.

Menurut laman sesawang Hello Doktor, akan berlaku sedikit penurunan jisim berat badan iaitu sekitar 0.7 kilogram untuk pemain bola sepak ketika bulan Ramadan.

Walaupun pemain adakala rasa terbeban kerana perlu berlatih di bulan Ramadan, kajian menunjukkan pada minggu ketiga berpuasa, prestasi pemain meningkat dengan ketara.

Semuanya BOLA telah berpeluang menghubungi pemain Pulau Pinang, Raimi Mohd Noor untuk sesi temubual sempena menyambut ketibaan Ramadan 1439H.

Pertama kali jauh dari keluarga

Ini merupakan tahun pertama Raimi tinggal berjauhan dengan keluarganya kerana sepanjang kariernya, ini merupakan pasukan paling jauh yang disertainya.

Raimi sebelum ini banyak beraksi bersama pasukan-pasukan yang bertempat di Lembah Klang seperti Selangor, Sime Darby, PLUS FC serta Felda United.

raimi
Raimi ketika sesi latihan. Foto: FB FA Penang.

Dia pada awalnya memilih untuk menyertai Pulau Pinang kerana ingin melunaskan janjinya kepada jurulatih, Zainal Abidin Hassan dan baginya ia adalah pilihan yang tepat.

Dan kini, dia dilihat telah mula serasi dengan corak permainan serta kehidupan di Pulau Mutiara, namun cabarannya adalah, dia perlu berjauhan dengan keluarganya.

“Alhamdulillah, saya cepat menyesuaikan diri di sini. Semuanya berjalan dengan lancar. Ya, ini kali pertama saya berjauhan dari keluarga,” ujar Raimi ketika membuka bicara.

“Amat berbeza sebab berjauhan dengan keluarga. Isteri dan anak-anak di Shah Alam. Semua saya kena uruskan sendiri di sini,” jelasnya tentang perbezaan kehidupan di Pulau Pinang.

Puasa dan bola sepak menurut Raimi

Menurut Raimi, baginya cabaran bermain di bulan Ramadan adalah dari segi ketahanan mental pemain itu. Ia ada kaitan dengan prestasi permainan pemain tersebut.

“Kalau kita sudah bersedia atau mempunyai mental yang kuat, secara automatiknya pemikiran dan fizikal kita akan kuat serta bersedia,” jelasnya lagi.

raimi
Raimi Mohd Nor kini bersama Pulau Pinang. Foto: Berita Harian.

Raimi juga mengambil makanan tambahan untuk menambah tenaganya di bulan puasa. Semua sedia maklum, latihan dan perlawanan kebanyakkannya pada waktu malam.

Pada hari perlawanan, dia mungkin akan mengubah sedikit diet pemakanannya ketika berbuka iaitu dengan memakan makanan yang lebih ringan terlebih dahulu.

“Saya akan makan makanan yang ringan seperti kuih, roti atau buah-buahan dan minum air tenaga (makanan tambahan) saya,” ujar Raimi kepada Semuanya BOLA.

Jaga pemakanan di bulan puasa

Ketika ditanya mengenai persediaan dirinya untuk berlatih dan bermain ketika berpuasa, Raimi menyatakan yang dia fokus dan mementingkan kepada pemakanan.

“Jaga makan dan minum air secukupnya. Termasuk juga menjaga tahap kecergasan diri,” ujarnya yang kini berusia 32 tahun, usia pemain yang sedang memasuki fasa pemain ‘otai’.

raimi
Raimi kini antara pemain berpengalaman di Pulau Pinang. Foto: FB Raimi Md Nor.

Selain itu, menurut bekas pemain Wigan pada 2002, Nathan Ellington, ketika ditemuramah FourFourTwo, dia akan meminum 3 hingga 4 liter air kosong selepas makan pada bulan puasa.

Ini kerana, untuk kesihatan yang baik, 4 liter air kosong perlu diminum dalam tempoh 8 jam. Itulah yang dimaksudkan oleh Raimi apabila menyatakan minum air secukupnya.

Dari segi kecergasan, menurutnya, selain makan secara bersederhana, dia akan melakukan latihan tambahan jika berkesempatan atau pergi ke gym.

Semuanya BOLA turut bertanyakan mengenai makanan yang paling dicari-cari di bazar Ramadan untuk berbuka puasa.

“Makanan yang saya akan cari ialah samosa, ayam percik dan murtabak,” jawab Raimi lagi.

Pengurusan Pulau Pinang telah memberikan cuti pada hari ini iaitu 1 Ramadan dan dia pastinya mengambil kesempatan ini untuk pulang berpuasa dan berbuka bersama keluarganya.

Penutup

Menurut Ellington dalam temuramah bersama FourFourTwo, selain mengurangkan sedikit berat badan, berpuasa sebenarnya membantu dirinya merasa lebih cergas berbanding biasa.

Itu menunjukkan, bermain bola sepak di bulan puasa juga miliki kelebihan tersendiri, walaupun ada antara kita yang merasa banyak perkara negatif berbanding positif.

Raimi juga melihat bermain bola sepak di bulan Ramadan tidak menjejaskan dirinya. Tiada keluhan, cuma yang ada adalah persediaan untuk dirinya lebih bersedia dan kuat.

Walaupun berjauhan dengan ahli keluarga, kami di Semuanya BOLA mendoakan agar puasa kali ini akan dilalui oleh Raimi dengan sempurna dan jayanya.

Bersahur dan berbuka tanpa isteri dan anak-anak disisi, itu pasti lebih mencabar daripada bermain bola sepak di bulan puasa!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN