“Saya rasa kami terasa akan kehilangan (Francesco) Totti, dan sebenarnya kami juga amat memerlukan sentuhan (Mohamed) Salah,” Edin Dzeko.
Ia adalah penyataan yang ringkas daripada penyerang AS Roma itu, namun sangat mendalam maksudnya. Nadanya mungkin rendah, tetapi ia pasti akan menimbulkan pelbagai persepsi dan andaian.
Dzeko tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya selepas pasukannya terikat tanpa jaringan dengan Atletico Madrid dalam aksi pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi semalam.
“Posisinya (Salah) selalu berada berdekatan dengan saya tetapi kini semuanya berbeza. Kami perlu bersabar dengan sistem baharu ini dan memperbaikinya sedikit demi sedikit, sebagai satu pasukan,” ujarnya lagi.
Salah yang beraksi di posisi sayap itu telah berpindah ke Liverpool pada awal musim lalu dengan yuran perpindahan sebanyak £36m.
“Saya telah menjaringkan banyak gol pada musim lalu. Namun, untuk musim ini, ia tampak sukar kerana saya jarang dapat menyentuh bola seperti yang saya dapat lakukan pada musim lalu,” kata penyerang berusia 31 tahun itu kepada Calciomercato.
Pada 1 April 2017, Dzeko menjadi pemain pertama Roma yang mencapai 33 gol dalam satu musim dalam semua pertandingan, melepasi rekod sebelumnya iaitu 32 gol yang dimiliki bersama oleh Rodolfo Volk dan Totti.
Dia mengakhiri musim lalu dengan merekodkan 39 gol dalam semua pertandingan dan menjadi penjaring terbanyak Serie A dengan 29 gol.
Mengulas mengenai perlawanan menentang Atletico, Dzeko menyatakan mereka telah beraksi baik sepanjang 70 minit perlawanan sebagaimana ketika menentang Inter Milan dalam aksi liga. Walaubagaimanapun, menuju penghujung perlawanan segalanya berubah.
Skuad kendalian Eusebio Di Francesco itu kecundang 1-3 kepada Inter dalam aksi kedua liga sebelum diikat tanpa jaringan pula oleh Atletico. Ia pasti minggu yang mengecewakan buat peminat dan penyokong The Giallorossi.
Walaupun menguasai perlawanan, Roma gagal melakukan lebih banyak percubaan tepat ke gawang Atletico dengan hanya satu percubaan tepat sepanjang perlawanan. Mungkin sedikit melegakan adalah aksi kental yang dipamerkan oleh penjaga gol mereka, Alisson.
AS Roma akan turun dengan misi memperbaiki moral pasukan menentang Verona dalam aksi ketiga Serie A, Sabtu ini.
Sumber Rujukan:
- La Gazzetta dello Sport (2017): Roma, Dzeko: “I miss Salah and Nainggolan plays too far back …”