Manchester City secara rasminya telah memeterai perjanjian dengan Benfica bagi mendapatkan penjaga gol, Ederson Moraes dengan rekod perpindahan €40 juta.
Ia sekaligus memecahkan rekod penjaga gol termahal di dunia yang dibayar Juventus kepada Parma untuk mendapatkan Gianluigi Buffon pada 2001 dengan nilai perpindahan £33 juta.
Dilaporkan juga 50% yuran perpindahan ini dibayar kepada third parties ownership yang sememangnya tidak dibenarkan dalam peraturan Premier League.
FA England bertegas tentang isu ini sejak perpindahan kontroversi Carlos Tevez dan Javier Masherano ke West Ham United pada 2006.
Siapakah Ederson Moraes?
Berasal dari negara pengeluar bakat bolasepak terbaik di dunia iaitu Brazil, Ederson memulakan karier bola sepak beliau di Sao Paolo pada 2008 sebelum berhijrah ke bumi Portugal menyertai Benfica sebagai pemain akademi.
Sepanjang di Portugal, beliau sempat menyertai kelab kecil berpengkalan di Braga, Ribeirão dan kelab di utara Portugal iaitu Rio Ave sebelum menyertai semula Benfica pada 2015.
Pada musim 2015/2016, beliau adalah penjaga gol kedua di belakang rakan senegara iaitu Julio Cesar sebelum melakukan penampilan pertama menentang seteru utama – Sporting Lisbon pada 5 Mac 2016 menggantikan Julio Cesar yang cedera.
Pada musim ini, beliau merupakan nadi utama gawang gol Benfica memenangi kejuaraan Liga dan telah beraksi sebanyak 7 perlawanan dalam Liga Juara-Juara Eropah.
Rekod 2016/2017 bersama Benfica
Ederson merupakan salah seorang penjaga gol muda yang menyerlah pada musim ini.
Di awal usia 24 tahun, beliau telah memegang rekod tanpa bolos sebanyak 22 perlawanan.
Ia merupakan satu rekod yang cukup mengagumkan sehingga menarik minat Pep Guardiola, pengurus Manchester City.
Selain itu, beliau telah mencatatkan 3 bantuan gol (assist) sepanjang musim ini. Salah satunya dihasilkan pada perlawanan penentuan kejuaraan liga yang menyaksikan Raul Jimenez, penyerang Benfica menjaringkan gol kemenangan.
https://www.youtube.com/watch?v=gN58UP85ovA
Ciri- ciri penjaga gol seperti ini yang menepati corak taktikal Pep yang mahukan penjaga gol bukan sahaja cekap bermain bola di tangan bahkan mampu bermain dengan kaki.
Tidak ramai penjaga gol yang mempunyai ciri-ciri seperti ini atau sering disebut sebagai “False One”. Boleh dikatakan Ederson adalah Manuel Neuer versi Brazil.
Ederson penyelesaian kepada masalah taktikal Pep?
Seperti diketahui, pada musim ini skuad The Citizens hanya mengakhiri musim liga yang terumbang-ambing di tempat ketiga dan tidak berjaya merangkul sebarang trofi.
Pembelian Claudio Bravo dikira kegagalan terbesar musim ini kerana aksi longlai dan kesilapan mudah menyebabkan Manchester City banyak terlepas mata penting.
Dengan kehadiran Ederson, boleh dikatakan pengakhiran karier bagi Joe Hart yang sememangnya di peringkat awal lagi tidak sesuai dengan taktikal Pep sehingga terpaksa ke Torino sebagai pemain pinjaman.
Sebagai pengurus yang mengamalkan corak permainan penguasaan bola dan juga permainan hantar dan gerak (pass and move) sebagai taktikal utama, Pep Guardiola memerlukan semua pemain di atas padang terlibat dalam build-up serangan.
Oleh sebab itu, pemain di posisi apa sekalipun perlu mempunyai pergerakan dan umpanan bola yang baik.
Di Barcelona, Victor Valdes mampu memainkan peranan tersebut. Begitu juga di Bayern Munich, Manuel Neuer mampu adaptasi falsafah Pep dalam build-up serangan Bayern Munich.
Malahan, Neuer menjadi sweeper-keeper yang jarang dilakukan mana-mana penjaga gol di dunia dalam bola sepak era moden.
Ederson adalah gabungan Joe Hart dan Claudio Bravo.
Mengapa penulis mengatakan sedemikian kerana kelebihan dan kekurangan kedua-dua penjaga gol tersebut mampu ditampung oleh Ederson.
Hart seorang penjaga gol yang cekap tapi kurang mahir dalam pergerakan, malah ada analisis pada pra-musim menunjukkan kelemahan Hart dalam mengadaptasi taktikal Pep.
Bravo pula, mempunyai kadar hantaran tepat yang baik (74.6%) tapi tidak secekap Hart dalam menjaga gawang disebabkan permainan fizikal di Liga Inggeris yang cukup memcabar Bravo yang hanya bertinggian 183 cm – fizikal yang kecil jika dibandingkan mana-mana penjaga gol kelab utama di dunia.
Oleh sebab itu, Pep merasakan pemilihan Ederson adalah sesuai bagi melengkapkan kekurangan di gawang gol kerana kelebihan fizikal (189 cm) yang dimiliki Ederson selain mempunyai refleks yang baik dan keberanian dalam berhadapan situasi satu lawan satu.
Adakah beliau akan berjaya bersama Manchester City?
Masih terlalu awal untuk menilai penjaga gol bawah 23 tahun Brazil ini.
Nilai perpindahan rekod dunia mungkin akan menjadi bebanan yang cukup besar bagi beliau dalam menyesuaikan diri dengan permainan di Premier League.
David De Gea semasa permulaan karier bersama Manchester United juga cukup bergelut setelah perpindahan £18 juta dari Atletico Madrid.
Tidak mustahil Ederson Moraes akan berdepan situasi sama jika pengurus tidak berjaya memotivasikan beliau untuk terus berusaha menjadi yang terbaik.
Bagi pendapat penulis, Ederson Moraes adalah penjaga gawang yang unik.
Usia yang masih muda adalah satu nilai tambah bagi Manchester City membentuk revolusi bola sepak moden di bawah kendalian Pep Guardiola pada masa akan datang.
The Citizens cukup serius mencabar kejuaraan Eropah dan pentas Eropah dengan merekrut pemain berprofil tinggi di Eropah seperti Bernardo Silva dari AS Monaco yang menelan belanja £43 juta.
Pastinya, Manchester United tidak akan duduk senang menyaksikan kebangkitan Manchester City bagi memastikan bandar Manchester terus berwarna merah.
Selamat berjaya buat Ederson Moraes. Selamat ke Premier League!