Pemain tengah berpengalaman dari Sepanyol, Cesc Fabregas dilaporkan semakin hampir untuk meninggalkan Chelsea bagi menyertai AS Monaco.
Berita ini sudah pasti amat menyedihkan buat rakan sepasukan dan juga para penyokong Chelsea selepas empat tahun setengah Fabregas berkhidmat buat The Blues.
Fabregas bertindak selaku ketua pasukan pada perlawanan malam tadi bertemu Nottingham Forest dan dikeluarkan pada minit ke-85 dengan suasana emosional menyelubungi sehingga membuatkan beliau menitiskan air mata.
An emotional farewell for Cesc Fabregas 👋😢pic.twitter.com/zR0cRNaywy
— GOAL (@goal) January 5, 2019
Eden Hazard yang mula beraksi bersama-sama Fabregas pada tahun 2014 memberikan penghargaan terhadap rakan sepasukannya itu selepas pertemuan menentang Forest.
”Dalam masa lima tahun saya boleh mengatakan bahawa saya beruntung dapat beraksi bersamanya.”
”Sejak permulaan apabila dia sampai, saya melihat pada musim pertama, kami memenangi dua piala bersama-sama.”
”Seorang yang hebat di dalam dan luar padang, merupakan seorang kawan saya yang cukup hebat. Saya mengharapkan dia menikmati masa depan yang baik.”
”Dia sedikit tua ketika ini tetapi dia masih sangat baik dan akan menikmatinya.”
Selepas meninggalkan Arsenal pada Ogos 2011 untuk menyertai Barcelona selama tiga tahun, Fabregas kembali semula ke London dan memilih Chelsea sebagai kelab ketiga dalam karier hebat beliau.
Bersama Chelsea, Fabregas telah menikmati dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris (2014/15 & 2016/17), Piala FA 2017/18 dan Piala Liga 2014/15.