Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Manchester United, Ed Woodward mengakui skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu berada di landasan yang tepat untuk meraih kejuaraan pada musim ini.
Keyakinan itu disuarakan Woodward selepas melihat barisan rekrut dan pemain akademi Manchester United semakin menampakkan kombinasi menarik dalam merintis momentum cemerlang pada ketika ini.
Ia jelas terbukti apabila The Red Devils melonjak ke tangga kedua kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 serta layak ke separuh akhir Piala Carabao bagi menempah pertemuan menentang musuh tradisi, Manchester City.
Malah, United juga bakal menyamai jumlah pungutan mata pendahulu liga, Liverpool sekiranya mereka berjaya menundukkan Aston Villa pada awal pagi esok.
”Terdapat banyak statistik positif yang memperlihatkan peningkatan di bawah kendalian Ole pada tahun lalu. Tetapi itu hanyalah sebahagian daripada ceritanya.”
”Sama pentingnya ialah kerja di belakang tabir untuk membangunkan budaya kemenangan yang konsisten dengan tradisi kelab ini iaitu penerapan bola sepak menyerang dimainkan oleh pemain muda dan kerja keras yang di dalamnya menggabungkan bakal akademi dengan rekrut berprofil tinggi.”
”Kami semakin hampir untuk mencapai objektif kerana skuad ini terus berkembang selepas kehadiran Bruno Fernandes, Donny van de Beek, Alex Telles dan Edinson Cavani.”
”Pelaburan berterusan kami telah mencerminkan ketahanan kelab yang luar biasa dan komitmen kami untuk menyokong Ole, sambil tetap berdisiplin pada waktu yang sangat mencabar ini.”
”Seperti biasa, keutamaan kami ialah untuk memenangi trofi dan dengan pasukan yang memasuki tahun baharu untuk bersaing di empat kedudukan teratas, kami sangat optimis dengan jalan yang akan dilalui pada tahun 2021,” ujar Woodward menurut laman sesawang rasmi Manchester United.
Kredit featured image:
Baca artikel lain dari kami mengenai Ed Woodward:
Ed Woodward Diberi Perlindungan Tambahan, Persediaan Hadapi Kemarahan Penyokong United