Ed Woodward Diberi Perlindungan Tambahan, Persediaan Hadapi Kemarahan Penyokong United

Ed Woodward United

‘Kelesuan’ Ed Woodward dalam aktiviti keluar masuk pemain sepanjang tempoh perpindahan musim panas ini telah menimbulkan kemarahan penyokong Manchester United di mana hanya seorang pemain sahaja yang telah berjaya dibawa masuk.

Oleh yang demikian, akhbar Mirror UK melaporkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut telah menambah perlindungan keselamatan ke atas Woodward kerana bimbang kejadian serangan ke atas rumah Naib Pengerusi Eksekutif United itu pada Januari lalu berulang kembali.

Beliau juga pernah diherdik oleh penyokong di lapangan terbang selepas tiba di Kazakhstan untuk perlawnan Liga Europa menentang Astana pada November tahun lalu.

Kemarahan penyokong timbul bukan hanya disebabkan United sukar untuk mendapatkan pemain baharu, tetapi juga kerana kegagalan Woodward untuk menjual beberapa pemain yang sudah tidak diperlukan oleh pasukan bagi mengukuhkan kewangan pasukan.

Marcos Rojo, Phil Jones, Sergio Romero dan Jesse Lingard adalah di antara pemain yang gagal untuk dijual sepanjang jendela perpindahan dibuka. 

Chris Smalling juga dilaporkan telah meluahkan kemarahannya terhadap Woodward enggan menerima tawaran daripada beberapa pasukan kerana meletakkan bidaan yang terlalu rendah untuk pemain pertahanan England tersebut.

Kebanyakan pemerhati melihat keadaan tersebut menyukarkan United untuk bersaing dengan beberapa pasukan lain yang rancak mengukuhkan barisan pemain mereka.

Berdasarkan prestasi semasa, Everton, Leicester City dan pendatang baharu Leeds United juga kini telah dilihat sebagai pencabar untuk merebut kedudukan enam pasukan teratas.

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer dalam kenyataannya menjelang perlawanan berdepan Tottenham Hotspur pada Ahad telah mengingatkan penyokong supaya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada pembelian pemain baharu mahupun penjualan pemain sedia ada.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai nama-nama pemain yang tidak mencapai karier yang baik di Manchester United sebelum berhijrah ke pasukan lain kerana ada sebab yang berbeza untuk seseorang pemain itu tidak berjaya di sesuatu kelab,” ujar Solskjaer.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak Inggeris:

Leave a Reply