ECP Akan Diperkenalkan Secara Berperingkat Mulai Musim Depan

Malaysian Football League (MFL) menerusi Mesyuarat Lembaga Pengarah telah mencapai kata sepakat untuk memperkenalkan Economic Control Programme (ECP) secara berperingkat bermula musim depan sebelum pelaksanaan menyeluruh dan lebih ketat pada musim 2021.

Langkah ini dibuat bagi memudahkan rakan kongsi selaku pasukan bertanding memahami konsep ECP dengan lebih mendalam.

Sebahagian daripada pasukan iaitu Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Petaling Jaya City FC (PJ City FC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) telah bertemu dengan MFL bagi mendapatkan reaksi dan maklumbalas berkenaan dengan ECP.

Dan penerangan secara menyeluruh kepada semua pasukan akan dilakukan pada pertengahan November ini menerusi satu seminar yang akan dikendalikan oleh wakil perunding ECP PricewaterhouseCoopers Risk Services Sdn. Bhd, LaLiga dan MFL.

Seminar itu akan diadakan selepas peraturan ECP dibentangkan kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL pada awal November ini.

MFL optimis ECP yang sebelum ini telah dipratikkan di LaLiga, bakal menjadi satu anjakan paradigma bola sepak tempatan dalam usaha mendidik pasukan-pasukan Liga Malaysia berbelanja lebih berhemah dan bebas hutang membabitkan tunggakan gaji.

Lesen jurulatih dan pendaftaran fisioterapi

Turut diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL yang dipengerusikan oleh Presiden Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin itu adalah kelayakan kejurulatihan Lesen B dan ke atas sahaja layak berdaftar dan memegang jawatan di dalam pasukan.

MFL juga membuka ruang kepada pasukan yang ingin mendaftar pembantu jurulatih penjaga gol dalam pasukan dengan menepati syarat kelayakan seperti jurulatih penjaga gol iaitu Lesen B dan Sijil Kejurulatihan Penjaga Gol Tahap 2.

Bagi pendaftaran fisioterapi pasukan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menetapkan bahawa kesemua fisioterapi yang ingin berdaftar dengan pasukan wajib berdaftar dengan Persatuan Fisioterapi Malaysia (MPA).

Dengan sijil MPA maka fisioterapi layak didaftarkan bersama pasukan.

Isu pasukan simpanan &OTP

Berkenaan pasukan utama (Parent club) dan pasukan Reserve Team, Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan tiada had transaksi pemain di luar tempoh perpindahan di antara Parent Club dan Reserve Team di mana sebelum ini hanya lima transaksi di benarkan untuk tujuan tersebut.

Turut diingatkan kepada semua pasukan agar memahami status pengambilan pemain asing bagi pasukan Liga Premier iaitu kuota yang telah dibenarkan ialah 3 (terbuka) + 1 (Asia/Asean).

Bagi hukuman denda kesalahan Organisasi Teknikal Perlawanan (OTP), Mesyuarat Lembaga Pengarah MFL memutuskan untuk meminda prosedur terdahulu di mana surat peringatan kepada pasukan akan dikeluarkan bagi insiden pertama disusuli denda RM2,000 (Insiden kedua), denda RM5,000 (Insiden ketiga) dan keputusan tindakan akan diambil oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi insiden keempat dan seterusnya membabitkan kesalahan OTP secara berulang.

Prihal Tajaan

Dalam perkembangan lain, MFL sentiasa berbesar hati menerima sokongan daripada rakan kongsi untuk membantu MFL daripada segi penajaan.

Bagaimanapun, MFL telah menyelesaikan tajaan jangkamasa panjang dengan penstrukturan semula hak siaran serta beberapa kontrak tajaan yang sedang dimuktamadkan oleh Presiden MFL, Datuk Haji Hamidin hasil dari rundingan awal DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja Johor.

Untuk jangkamasa pendek sebelum kewangan hasil penstrukturan dan tajaan itu mula masuk November depan, Tunku Mahkota Ismail telah banyak membantu.

Justeru MFL ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kesediaan Tunku Mahkota Ismail sentiasa bersedia dan memberikan sokongan padu kepada MFL dalam segala aspek bagi terus mengangkat serta memajukan Liga Malaysia.

Dalam masa yang sama, MFL turut tidak mahu terlepas peluang untuk merakamkan setinggi-tinggi junjung kasih kepada DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di atas keprihatinan baginda yang sentiasa memberikan sokongan, khidmat nasihat serta juga bantuan kewangan kepada MFL di saat ia amat diperlukan.

DYMM Sultan Ibrahim juga secara peribadi telah perkenan menghulurkan bantuan kewangan puluhan juta Ringgit yang disalurkan kepada MFL tanpa mengenakan apa-apa faedah.

Leave a Reply