Bekas pengendali PDRM, E. Elavarasan memilih untuk menutup mulut mengenai masalah yang dihadapinya bersama skuad The Cops, sehingga memaksanya memilih untuk mengangkat kaki.
Masuk menggantikan Fauzi Pilus pada Mac lalu ketika prestasi buruk pasukan, E. Elavarasan telah membantu melonjak pasukan sehingga meraih tiket ke saingan Liga Super musim 2020.
Mengakui dirinya amat gembira dapat membantu PDRM bangkit membaiki prestasi dan kedudukan, pengendali berusia 54 tahun tidak mahu isu ini dibesarkan walaupun ada yang mengatakan antara perkara yang menimbulkan pertikaian adalah soal gaji.
“Bermula satu mata ketika saya ambil alih sebagai ketua jurulatih, PDRM mengumpul 30 mata dan dipromosikan pula ke Liga Super musim depan,” ujarnya yang berpengalaman melatih beberapa pasukan di Liga Super seperti Melaka United dan PKNS FC.
“Ada pihak bertanya, mungkinkah saya bermasalah dengan pihak pengurusan. Bukan itu puncanya. Tapi saya masuk [sertai pasukan] dengan baik, saya keluar pun cara baik,” tambahnya lagi.
“Tidak perlu dedahkan apa-apa demi jaga hubungan kerana dalam bola sepak mungkin kami akan berjumpa semula selepas ini,” jelasnya yang pernah membimbing pasukan seperti Public Bank, Melaka dan juga FELDA United meraih promosi ke liga atasan.
Menurutnya lagi, masih terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikannya dengan PDRM sebelum kembali fokus dengan karier kejurulatihan selepas ini. Setakat ini, E. Elavarasan belum menerima sebarang tawaran daripada mana-mana pasukan.
“Saya belum putus asa menjadi jurulatih bola sepak. Cuma saya menunggu penyelesaian berkaitan beberapa perkara antara saya dengan pengurusan PDRM sebelum fokus karier kejurulatihan.
“Sekarang semua pasukan sudah ada ketua jurulatih. Jadi, saya hanya menunggu dan bersabar. Jika ada tawaran saya bersedia menerimanya,” ujarnya lagi yang dipetik menerusi Harian Metro.
Musim lalu, kemasukkan beberapa pemain Perlis seperti penjaga gol, Shahril Saa’ri, Azmizi Azmi dan Shukor Azmi selepas masalah gaji memberi tonik tambahan buatnya ketika menyertai pasukan.
Kecemerlangan pemain import, Lee Chang-hoon dan Uche Agba merobek gawang lawan juga menjadi faktor kepada peningkatan buat PDRM yang akhirnya meraih tiket promosi ke Liga Super.
Kredit Foto: PDRM FA