Liga Super bakal bersambung semula pada malam ini dengan pelbagai aksi menarik bakal diadakan di pelbagai lokasi.
Antaranya aksi perlawanan di Shah Alam apabila pasukan PKNS FC menentang JDT.
JDT dengan jelas dalam usaha mahu mendapatkan 3 lagi mata untuk terus melebarkan penguasaan di puncak teratas liga.
Sementara itu, PKNS FC pastinya tidak mahu kecundang di tangan JDT dan mereka pastinya mahu dapatkan keputusan positif di laman sendiri malam ini.
Jangan hormat mereka
Menurut laporan Sinar Harian, pengendali PKNS FC iaitu E. Elavarasan menegaskan yang beliau mahukan anak-anak buahnya tidak takut untuk berhadapan dengan JDT.
Beliau mahukan anak-anak buahnya tidak menunjukkan sebarang hormat kepada pasukan lawan tersebut.
“Sudah pasti kami mahu mencatat kemenangan apabila beraksi di laman sendiri.”
“Namun, misi itu perlukan komitmen tinggi pemain. Jangan terlalu menghormati lawan walaupun mereka dibarisi ramai bintang.”
Tegas Elavarasan, beliau mahukan anak-anak buahnya beraksi dengan lebih agresif untuk memastikan JDT ‘tidak senang duduk’ ketika bermain di Shah Alam.
Selain itu, beliau juga merasakan yang pasukannya perlu mendapatkan 3 mata pada malam ini untuk mendapatkan momentum untuk terus memperbaiki kedudukan dalam liga.
“Kita masih mampu baiki kedudukan liga, jadi kemenangan sangat penting untuk pasukan dan saya akan memperbaiki corak permainan.”
“Tapi, saya ingatkan pemain agar tidak memandang rendah cabaran lawan kerana mereka juga mahu elak kalah.”