Dynamo St. Petersburg: Kisah Sebuah Kelab Yang Dibayangi Zenit

Mungkin selama ini anda menjangkakan hanya satu kelab sahaja yang mewakili St. Petersburg, bandaraya kedua terpenting Rusia. Tak lain tak bukan ialah Zenit.

Sebenarnya, ada sebuah kelab kedua yang mewakili St. Petersburg. Namanya ialah Dynamo St. Petersburg.

Dynamo sebenarnya salah satu kelab yang terawal ditubuhkan di kota tersebut. Kelab ini diasaskan pada 1922, 3 tahun lebih awal daripada Zenit.

Turun naik

Sebelum itu, St. Petersburg pernah dikenali sebagai nama Leningrad dari tahun 1924 sehingga 1991. Berikutan kejatuhan Soviet Union, penduduk kota itu telah memilih untuk menukar nama daripada Leningrad kepada St. Petersburg dalam satu pungutan suara.

Dynamo pernah menjuarai kejohanan yang disertai kelab-kelab daripada Leningrad tahun 1926, 1927, 1930 dan 1931. Mereka juga memenangi kejohanan sama pada 1935 sekaligus menjadi kelab digeruni di Leningrad.

Pada tahun 1936, mereka menyertai Soviet Top League yang baru diasaskan. Namun, nasib mereka dalam saingan tersebut tidaklah terlalu baik kerana mereka sering menghabiskan kedudukan di tangga pertengahan liga.

Ranap

Dominasi Zenit pula semakin bertambah untuk menjadi kelab terkuat di Leningrad. Malah, Zenit banyak kali menduduki tangga lebih tinggi daripada mereka.

Pada tahun 1953, Dynamo mula merosot dalam saingan liga sehinggakan pengurusan liga menyingkirkan mereka. Tempat mereka digantikan oleh sebuah kelab lain bernama Labour Reserves.

Namun, mereka dapat beraksi semula dalam kancah liga teratas Soviet Union pada musim 1961. Mereka hanya bertahan dua musim sahaja dan turun ke divisyen dua Soviet Union.

Tergolek

Pada 1972, mereka pula turun ke divisyen tiga Soviet Union. Malah, pada waktu tersebut mereka sering naik turun divisyen dua termasuklah selepas pembubaran Soviet Union.

Tambah parah, mereka kehilangan banyak penyokong kepada Zenit Leningrad. Maklumlah, siapa yang nak menyokong kelab ketika di bawah?

Krisis teruk melanda pada tahun 1999 apabila status profesional mereka hilang kerana Dynamo turun ke liga tahap amatur. Tetapi itu tidak lama kerana mereka dapat kembali menaiki divisyen.

Penyokong Dynamo St. Petersburg. Sumber: Twitter Dynamo St. Petersburg.

Mereka diarahkan menutup operasi pada 2003 kerana masalah dalaman. Dipercayai para pemain enggan menandatangani kontrak baru dan ini menjejaskan kempen mereka dalam liga Rusia.

Pengurusan bola sepak negara tersebut menyekat cubaan mereka menghidupkan semula pada 2004.

Akhirnya usaha kelab itu dihidupkan semula berjaya pada 2007. Itu pun disebabkan mereka bergabung dengan sebuah kelab lain bernama Petrotrest. Penggabungan itu juga menyaksikan nama Dynamo St. Petersburg digunakan.

Nasib mereka sekarang

Sebenarnya pada musim 2014-15, mereka sekali lagi terpaksa dibubarkan. Musim seterusnya, nama Dynamo St. Petersburg ini muncul kerana dibentuk semula tanpa bergantung pada Petrotrest.

Meskipun hayat baru mereka bermula di divisyen tiga Rusia, mereka sudah berjaya mengubah nasib mereka. Mereka menjuarai divisyen tiga Zon Barat dan dipromosi ke divisyen dua.

Sebenarnya, divisyen tiga di Rusia diasingkan kepada 5 zon dan juara setiap zon dinaikkan ke divisyen dua.

Skuad Dynamo St. Petersburg musim ini. Sumber: Twitter Dynamo St. Petersburg.

Kini, Dynamo berada di tangga ke-6 carta divisyen dua Rusia. Mereka meraih 46 mata daripada 12 kemenangan dan 10 seri selepas 29 perlawanan.

Divisyen dua Rusia disertai 20 pasukan dan setiap pasukan akan bermain 38 perlawanan semusim. Dua pasukan teratas akan naik ke Liga Perdana Rusia. Pasukan tempat ketiga dan keempat akan beraksi dalam pusingan play-off.

Penutup

Mungkinkah suatu hari nanti akan ada pertemuan setempat antara Zenit dengan Dynamo di St. Petersburg. Pertemuan antara mereka sudah lama tidak diadakan kerana mereka berbeza darjat.

Baru-baru ini diberitakan pengurusan Dynamo St. Petersburg akan mempertimbangkan untuk berpindah ke Sochi. Malah, di sekitar Sochi sudah tidak ada kelab yang berstatus profesional.

Stadium Sochi salah satu stadium untuk Piala Dunia 2018. Sumber: RT.

Kali terakhir bandaraya Sochi mempunyai kelab profesional ialah pada tahun 2017, di mana FC Sochi beraksi. Namun, mereka mengambil keputusan untuk tidak beraksi di dalam saingan kompetitif pada musim ini.

Pengurusan Dynamo merasakan wajarlah mereka memanfaatkan stadium Sochi yang akan digunakan pada Piala Dunia nanti. Sekurangnya tidak ada projek gajah putih.

Malah, Sochi sendiri pernah menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk dan mempunyai Litar Formula 1. Katanya tujuan perpindahan itu juga akan membantu industri pelancongan sukan di kawasan Sochi itu nanti.

Sungguh bijaksana usaha ini!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN