10 Pasangan Duo Ikonik Yang Pernah Beraksi Di Liga Malaysia

Terdapat satu meme iaitu – name a more iconic duo, I will wait (namakan lebih banyak duo yang ikonik, saya akan tunggu.)

Hasil daripada perkongsian di laman Instagram Semuanya BOLA, kami bertanya kepada anda semua siapakah duo ikonik yang pernah beraksi di Liga Malaysia?

Setakat artikel ini ditulis, kami berjaya dapatkan 72 komen dari pengikut kami di Instagram. Terima kasih,  semua!

Oleh itu, kami tampilkan 10 pasangan duo paling ikonik yang pernah beraksi di Liga Malaysia.

Shakir Shaari – Badhri Radzi (Kelantan)

Pasangan yang memacu bahagian tengah Kelantan ini merupakan tunjang kepada kejayaan Kelantan ketika zaman puncak mereka.

Sepanjang Shakir berada di Kelantan pada 2010 hingga 2013, beliau dan Badhri berjaya membawa Kelantan menjuarai pelbagai kejuaraan yang dipertandingkan di Malaysia.

Duo ini memenangi kesemua gelaran yang dipertandingkan di Malaysia sepanjang beraksi bersama di Kelantan. Kemuncaknya apabila 2012 mereka menjulang treble 3 piala iaitu Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA Malaysia.

Baddrol Bakhtiar – Khyrill Muhymeen (Kedah)

Pasangan ikonik merupakan kebanggaan para peminat Kedah. Bukan sahaja kerana mereka merupakan pemain yang berasal daripada Kedah tetapi mereka tetap bersama pasukan walaupun mereka sedang mengalami masa sukar.

Mereka merupakan sebahagian daripada skuad double treble pada tahun 2007 dan 2008. Namun malang buat Muhymeen, kecederaan lutut yang dialami beliau membuatkan prestasi beliau tidak sama seperti dahulu.

Duo ini akhirnya berpisah pada 2014 dengan Khyrill membawa diri ke NS Matrix. Kini Baddrol masih lagi bersama Kedah dan Khyrill di Piala FAM bersama Air-Asia All Stars FC.

Bambang Pamungkas – Elie Aiboy (Selangor)

Digambarkan oleh pengulas tersohor Allahyarham Datuk Hasbullah Awang sebagai Indonesian Connection. Bambang dan Elie membantu Selangor untuk menjajah bola sepak Malaysia pada musim 2005.

Memperoleh treble pada musim itu, kedua-dua pemain ini menjadi pemain terbaik pada perlawanan akhir dengan Bambang menjadi pemain terbaik Piala Malaysia dan Elie merupakan pemain terbaik Piala FA Malaysia.

Bambang juga merupakan satu daripada 5 pemain yang menjaringkan hatrik di perlawanan akhir Piala Malaysia. Menariknya, 2 gol Bambang merupakan hasil umpanan dari Elie!

Khalid Jamlus – V. Saravanan (Perak)

Merupakan teraju serangan utama pasukan Perak satu ketika dahulu. Khalid dan Saravanan sempat bergandingan sebanyak 2 kali walaupun Saravanan pernah meninggalkan Perak pada 2000.

Khalid dan Saravanan bergandingan bersama di bahagian serangan Perak tahun 1999 sebelum berpisah pada 2000.

Namun mereka kembali bersama menjadi penggempur Perak apabila Saravanan kembali ke Perak pada 2001.

Ramles Sari – Ramos Sari (Sarawak)

Ramos dan Ramles Sari merupakan pasangan kembar pertama yang beraksi di dalam skuad kebangsaan. Pasangan duo kembar ini pernah mendedahkan bahawa mereka tidak selesa tidak beraksi bersama-sama.

Dalam satu temu ramah bersama Sarawak Football , duo kembar ini lebih memilih untuk bermain bersama-sama kerana keserasian yang sudah ada secara semula jadi dalam diri mereka berdua.

“Kami akan lebih bersemangat untuk main bersama-sama. Tapi kalau jurulatih dah pisahkan kami terpaksalah kami akur.”

Juan Manuel Arostegui – Bruno Martelotto (MBPJ FC)

Selain daripada Bambang Pamungkas, Arostegui merupakan salah satu pemain yang pernah menjaringkan hatrik pada perlawanan akhir Piala Malaysia.

Duo pemain berdarah Argentina ini memimpin pasukan glamor MBPJ FC ke kancah kejuaraan Piala Malaysia apabila menjadi juara pada 2003 menewaskan Sabah.

Hasil kejayaan itu menjadikan MBPJ FC kelab pertama yang menjuarai Piala Malaysia. Dan sehingga kini, belum ada lagi juara Piala Malaysia dalam kalangan pasukan berstatus kelab selain mereka.

Scott Ollerenshaw – Matlan Marjan (Sabah)

Sabah mengalami zaman kemuncak mereka ketika zaman 90-an. Ketika itu, mereka bersaing kuat dengan pasukan Selangor.

Ketika itu, Scott Ollerenshaw dan Matlan Marjan merupakan gandingan terbaik mereka pada era tersebut.

Gandingan berbisa Sabah ini bagaimana pun hanya bertahan setahun sahaja pada 1994 apabila Matlan ditangkap kerana terpalit dengan skandal rasuah.

Ashari Shamsudin – Abdul Manaf Mamat (Terengganu)

Ashari Shamsudin dan Manaf Mamat adalah sebahagian dari teraju utama serangan Terengganu yang cemerlang terutamanya pada musim 2011.

Pasangan duo ini berjaya memperoleh ganjaran dalam bola sepak bersama Terengganu apabila menjuarai Piala FA Malaysia pada 2011.

Ashari dan Manaf akhirnya berpisah selepas Manaf berkeputusan untuk menyertai pasukan Kelantan pada musim 2016.

Philemon Chipeta – Zachariah Simukonda (Perlis)

Era duo ikonik Perlis ini bermula pada musim 2005 apabila Simukonda tiba di Stadium Utama, Kangar untuk menyertai Singa Utara.

Gandingan pemain import ini berjaya memberikan Perlis kejuaraan apabila menjuarai Liga Super pada 2005.

Namun begitu gandingan Chipeta dan Simukonda ini berakhir apabila Simukonda meninggalkan Perlis pada 2007. Setahun kemudian, Chipeta pula meninggalkan Perlis.

Matias Conti – Dickson Nwakaeme (Pahang)

Matias Conti dan Dickson Nwakaeme berjaya membantu Pahang menjadi salah satu daripada pasukan paling seronok untuk ditonton beberapa tahun yang lalu.

Gandingan Conti dan Nwakaeme cukup berbisa dan cukup profilik apabila mereka berjaya memperoleh Piala Sumbangsih, Piala FA Malaysia dan Piala Malaysia pada tahun 2014.

Kini, 2 pemain ini sudah pun tidak lagi bersama Pahang. Dan Pahang sekarang masih lagi mencari-cari rentak mereka yang hilang.

Honourable Mentions:

Terlalu ramai duo ikonik yang pernah beraksi di Liga Malaysia. Terdapat juga pasangan duo yang cukup berjaya apabila beraksi bersama skuad kebangsaan.

Oleh itu, kami senaraikan 5 lagi pasangan duo ikonik yang pernah bermain sama ada di Liga Malaysia atau ketika bersama skuad kebangsaan:

  • Jorge Pereyra Diaz – Luciano Figeroa (JDT)
  • Victor Andrag – Bernard Huggins (Kedah)
  • Rezal Zambry Yahya – Idris Karim (Negeri Sembilan)
  • Indra Putra – Hairuddin Omar (Pahang)
  • Norshahrul Idlan Talaha – Safee Sali (Malaysia)

Baca juga artikel kami yang lain mengenai sejarah Liga Malaysia:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN