Pemain tengah Real Madrid berusia 19 tahun, Eduardo Camavinga tidak ketinggalan mencuri perhatian pemerhati bola sepak tempatan selepas Real Madrid menewaskan Manchester City dengan agregat 6-5 di separuh akhir UEFA Champions League pada awal pagi tadi.
Dalam perlawanan pada awal pagi tadi, Real Madrid bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Manchester City 3-1 pada masa tambahan.
Skuad kendalian Carlo Ancelotti itu tewas 4-3 pada perlawanan pertama, namun menggunakan peluang sebaiknya beraksi di tempat sendiri dalam perlawanan timbal balik.
Peranan Camavinga
Pemain tengah berusia 19 tahun itu mungkin tidak berada di dalam senarai penjaring Los Blancos pada awal pagi tadi.
Namun sumbangan dan penglibatan Camavinga dalam semua tiga gol yang dihasilkan oleh Real Madrid di Estadio Santiago Bernabeu amat signifikan.
Gol pertama Real Madird misalnya menyaksikan hantaran lintang Camavinga menemui Karim Bezema yang kemudiannya melakukan assist kepada Rodrygo.
CAMAVINGA IS 19 YEARS OLD 😳
(h/t @totalcristiano) pic.twitter.com/kf0wC2uQNZ
— ESPN FC (@ESPNFC) May 4, 2022
Untuk jaringan kedua Real Madrid, Camavinga berjaya merampas penguasaan bola daripada Manchester City sebelum memulakan serangan balas yang disempurnakan sekali lagi oleh Rodrygo.
Hantaran Camavinga pada masa tambahan kepada Federico Valverde kemudiannya berjaya memenangi sepakan penalti untuk Real Madrid sebelum disudahkan oleh Benzema untuk gol penting Real Madrid yang melayakkan mereka ke final.
Elite Cup Cote D’Azur 2016
Nama Eduardo Camavinga sebenarnya bukan nama asing di kalangan pemain berbakat besar di Eropah.
Pada 2016, Camavinga adalah sebahagian daripada anggota skuad akademi (Bawah-14 Tahun) Rennes yang mengambil bahagian di pertandingan bola sepak elit peringkat umur di Eropah, Elite Cup Cote D’Azur.
Turut mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut pada ketika itu adalah skuad B-14 tahun negara yang dikendalikan oleh Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFPD).
Skuad B-14 NFDP pada ketika itu tidak tewas satu perlawanan pun. Mereka berjaya mengikat Monaco 0-0, Bordeaux dan FC Servette, sebelum menewaskan Lyon dan Nice 2-0.
Bagaimanapun keputusan tersebut gagal melayakkan mereka ke pusingan seterusnya – yang selepas itu turut menewaskan Montepellier dan Paris Saint-Germain (PSG) melalui penentuan sepakan penalti di perlawanan klasifikasi.
Rennes yang dianggotai Camavinga pula menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan kedua dan mara ke pusingan seterusnya.
Camavinga dan pasukannya kemudian mara ke final selepas tewas 1-0 kepada kepada Marseille
Kesebelasan terbaik Elite Cup Cote D’Azur 2016
Dan selepas tamat kejohanan, dua pemain negara iaitu Alias Alan dan Sikh Izhan dipilih sebagai antara pemain kesebelasan terbaik Elite Cup Cote D’Azur 2016.
Tidak ketinggalan adalah dua pemain Rennes iaitu Clement Jaslet dan Eduardo Camavinga.
"Best XI: 14 Elite Cup Cote D'Azur 2016", atas pilihan pencari bakat di sepanjang kejohanan. #JelajahEropahPPBN pic.twitter.com/KsjTvz0qVJ
— Youth Football Malaysia (@youthfootballmy) June 14, 2016
Apa yang dilalui oleh Alias Alan dan Sikh Izhan berbanding Camavinga selepas itu amat berbeza. Tatkala Camavinga sudah bergelar juara La Liga, Alias Alan dan Sikh Izhan belum lagi merasa berada di dalam kesebelasan utama skuad utama pasukan mereka.
Selepas tamat kejohanan peringkat umur itu, karier Camavinga terus berkembang dan diserap ke dalam pasukan simpanan Rennes sebelum diserap masuk ke pasukan utama dan beraksi dalam 71 perlawanan Ligue 1.
Dan pada jendela perpindahan Eropah pada Ogos lalu, Camavinga dipancing Real Madrid dengan nilai perpindahan €40 juta.
Bukanlah niat untuk membandingkan. Tetapi timbul tanda tanya, mengapakah laluan pemain-pemain tempatan kita yang cemerlang di peringkat usia seolah-olah terbantut selepas itu jika dibandingkan dengan pemain di Eropah?